DI FILIPINA, tiada yang berstatus kerabat diraja. Sebaliknya, terdapat banyak keluarga ternama yang kebanyakannya bertelegah sesama mereka.

Tetapi yang paling hebat antara mereka –keluarga Osmeña, keluarga Cojuangco dan keluarga Roxas– ialah satu keluarga iaitu keluarga Aquino. Kisah perjuangan politik yang tidak mementingkan diri: satu melibatkan satu pembunuhan hendap dan dua Presiden, telah meletakkan keluarga ini di dalam satu kedudukan yang sungguh hebat malah lebih tinggi lagi daripada tokoh demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Filipina telah mewarisi hutang yang banyak dan politik yang tidak stabil dari era pemerintahan Ferdinand Marcos yang menguasai republik itu secara kuku besi selama lebih dua puluh tahun. Natijahnya, negara kepulauan itu terpaksa berdepan dengan prospektif yang amat malap: hampir muflis degan gejala rasuah yang parah. Malang sekali, polemik di Filipina ini berlaku ketika negara-negara Asia lain menikmati “gelombang kebangkitan”.

Kini, dua puluh sembilan tahun selepas Marcos melarikan diri ke Hawaii pada 1986, anak kepada saingan beliau yang dibunuh, Benigno Aquino Jr (Ninoy) telah berjaya mencapai sesuatu yang mustahil. Di bawah kepimpinan Benigno Aquino III (dipanggil NoyNoy), Filipina telah berjaya menjadi ekonomi yang paling pantas berkembang di Asean.

Menurut Bank Dunia, dari tahun 2011-2014 (empat tahun pertama daripada penggal enam tahun NoyNoy sebagai Presiden), ekonomi Filipina telah berkembang dengan purata 5.95% setahun. Cuba bandingkan pencapaian ini dengan Malaysia (5.38%), Vietnam dan Indonesia (5.7%), dan Singapura (4.2%) semasa tempoh yang sama dan anda akan memahami skala pencapaian beliau.

Selain pencapaian ekonomi, Filipina juga menunjukkan peningkatan dalam pelbagai bidang yang jelas kelihatan melalui beberapa indeks utama dunia.

Dari 2010 sehingga 2014, Filipina melonjak dari tangga ke-134 ke tangga ke-85 di dalam carta Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (kenaikan 49 tangga), berbanding Malaysia yang melonjak dari kedudukan ke-56 ke tangga ke-50 (kenaikan hanya 6 tangga), Indonesia dari tangga ke-110 meningkat ke tangga ke-107 (hanya 3), dan Vietnam yang turun dari tiga tempat dari tangga ke-116 ketangga ke-119.

Pada 2014, sektor IT yang proses perniagaannya disumberluarkan yang ikonik telah berjaya membawa masuk pendapatan sebanyak AS$18 billion dan bakal membuka peluang pekerjaan kepada 1.3 juta rakyat Filipina menjelang 2016.

Ironisnya, apabila NoyNoy pada pertama kalinya bertanding sebagai calon presiden pada 2010, ramai pengulas merasakan beliau tidak akan pergi jauh. Mereka melihat beliau sebagai pewaris dinasti politik yang cetek ilmu dan tidak berpengalaman dalam politik.

Jelas sekali, para pengkritik beliau telah dibuktikan salah.

Baru-baru ini saya berpeluang menemuramah beliau di Istana Malacanang yang amat bersejarah di Manila dengan panel kayu Narra dan kelihatan seakan-akan permata, satu pemandangan yang jauh berbeza dari realiti landskap bandaraya Manila.

Dua minggu sebelum sidang kemuncak Apec bulan ini di ibu negara Filipina dan enam bulan sebelum rakyat Filipina membuang undi untuk memilih pengganti beliau, Presiden Aquino jelas kelihatan yakin, terutamanya apabila ditanya tentang transformasi ekonomi negara beliau.

“Beri seorang rakyat Filipina persekitaran yang kondusif dan dia akan berjaya,” kata beliau, sambil menambah, “[Pencapaian kami bermula] daripada kepercayaan yang jitu bahawa sumber terhebat negara ini ialah rakyat kami sendiri.”

Daripada melahirkan ramai graduan yang tidak mampu memperoleh pekerjaan, NoyNoy berusaha keras untuk menyelaraskan pendidikan dan latihan dengan keperluan industri.

Tambahan lagi, kerajaan beliau juga telah meluaskan Program Pemindahan Tunai Bersyarat (Conditional Cash Transfer Program) yang telah berjaya memastikan keluarga-keluarga miskin terus menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Di bawah kepimpinan beliau, Kementerian Kesihatan juga telah menikmati kenaikan bajet sehingga 300%.

Namun demikian, pencapaian beliau bukan sahaja dalam bidang ekonomi.

NoyNoy dipuji atas usaha keras beliau dalam membanteras rasuah. Beliau membenarkan pihak pendakwa raya untuk mendakwa mantan Presiden sebelumnya,Gloria Macapagal-Arroyo dan turut mengheret beberapa Senator yang lebih kanan ke mahkamah. Ketua Hakim Mahmakah Agung, Renato Corona yang kontroversi juga turut dipecat dengan mengatakan, “sekarang kedudukan yang paling tinggi sekalipun  tidak akan terlepas dari dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka.”

Beliau menambah: “Kami bermula dengan frasa, ‘Jika kamu membanteras rasuah kamu boleh membanteras kemiskinan.’ Kami tidak akan bertolak ansur dengan kroni-kroni yang menjadi monopoli…kerana ia hanya menyebabkan kita tidak mampu bergerak. Kita tidak berkembang. Kita hanya kekal statik.

Apa yang mendorong beliau untuk memperjuangkan konsep Daang Matuwid (Jalan yang Lurus)?

Jawapan yang diberikan NoyNoy kepada soalan bagaimana beliau kekal konsisten sepanjang menjadi Presiden ternyata cukup menarik:

“Saya fikir saya beruntung kerana menjadi anak kepada ibu bapa saya… Ayah saya percaya bahawa beliau tidak ada cukup masa untuk melakukan semua yang dia mahukan…dia cenderung untuk menjadi seorang pembina konsensus tetapi secara jelasnya beliau adalah pemimpin… Ibu saya pula, dia lebih fokus kepada aspek membina konsensus. Ia mungkin mengambil masa yang lebih lama, tetapi kamu akan mendapat satu asas yang lebih kukuh dengan keputusan-keputusan yang kamu perlu ambil kelak.”

Pada NoyNoy, konsep Daang Matuwid bukanlah sahaja tentang membanteras rasuah tetapi ia juga tentang meningkatkan keyakinan nasional.

“[Dulu] masalah ketirisan yang kecil dipandang sebelah mata sahaja. Kemudiannya, masalah tersebut menjadi semakin besar sehingga akhirnya…ketirisan tersebut menjadi 100%...dana-dana awam sepatutnya ditujukan kepada kebaikan awam. Apabila hak mereka ditindas, kamu kata ‘…sabarlah sedikit lagi, semuanya akan menjadi lebih baik’, tetapi apabila kamu menyuruh mereka bersabar dari dulu lagi, sampai bilakah mereka akan [masih] berkata, ‘OK, kami akan beri kamu masa lagi’?”

Sesungguhnya, beliau melihat perubahan imej diri rakyat Filipina sebagai kejayaan terbaik beliau.

“Saya fikir meningkatkan kepercayaan diri rakyat Filipina [ialah pencapaian saya yang terhebat]…sikap mereka, persepsi mereka  tentang keadaan semasa dan masa hadapan akan memberi kesan langsung kepada di mana kita akan berada kelak.”

Sudah tentu, masalah-masalah lain masih ada. Sebagai contoh, perbelanjaan infrastruktur Filipina masih kekal suram pada hanya 4% daripada GDP.

Tarif elektrik di Manila adalah antara yang termahal di Asia-Pasifik. Trafik lalu lintas juga masih teruk dan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino masih jauh daripada ideal.

Selain itu, matlamat NoyNoy untuk mengurangkan bilangan Balikbayan (Pekerja Filipina di Luar Negara) nampaknya terhenti, walaupun jumlah keseluruhannya sudah sedikit berkurang kepada 9.1 juta daripada 10 juta sebelumnya.

Selain itu, terdapat juga keraguan sama ada konsep Daang Matuwid akan diteruskan selepas era pemerintahan NoyNoy. Seperti yang beliau terangkan, “Mimpi ngeri saya ialah jika segala-gala yang sudah berjaya kita kecapi bersama hari ini diurai semula dalam enam tahun akan datang ini.”

Namun, beliau ternyata lebih bersedia apabila berbicara tentang dasar luar.

Mengenai isu Laut China Selatan, beliau mengatakan bahawa pertikaian dengan China tidak mengganggu hubungan perdagangan dan pelancongan antara kedua-dua negara: Syarikat-syarikat China telah melabur AS$600 juta dalam Filipina manakala lebih daripada 800,000 rakyat Filipina telah melawat China.

Walaupun Mahkamah Tetap Timbang Tara Hague baru-baru ini, mengisytiharkan yang ia layak mendengar permintaan Filipina untuk keputusan dalam isu pertikaian tersebut, NoyNoy menekankan: “Tindakan-tindakan kami bukanlah untuk memburukkan lagi keadaan. Kami tidak melihat diri kami mempunya kemampuan untuk menyerang mana-mana pihak.”

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia yang memainkan peranan penting dalam proses keamanan Mindanao yang masih berlangsung dengan berkata, “Ia adalah sesuatu yang sangat dihargai oleh negara kami dan rakyat kami…Kami mengucapkan terima kasih kepada mereka atas bantuan dalam menyatukan kedua-dua parti.”

NoyNoy juga mengalu-alukan Komuniti Ekonomi Asean (Asean Economic Community):

“Saya adalah seorang yang percaya bahawa kita tidak boleh mempunyai ekonomi yang terlindung dan berharap ia akan berkembang dengan sendiri. Kita tidak boleh mempunyai tahap ketidakcekapan sedemikian dan masih berharap untuk bersaing dengan pasaran dunia. Kami di Filipina merasakan bahawa kami mempunyai suara yang lebih kuat di pentas dunia kerana penyertaan kami di dalam Asean, terutamanya kerana kami mempunyai salah satu daripada populasi yang terbesar berbanding yang lain.”

Ayat terakhir beliau terngiang-ngiang di minda saya selepas saya meninggalkan Istana Malacanang.

Walaupun konsep Daang Mtuwid belum pasti akan berterusan atau tidak, NoyNoy dan Filipina seakan-akan memberi peringatan kepada negara-negara Asean – terutamanya Malaysia.

Tidak seperti pewaris dinasti yang lain, NoyNoy telah memilih untuk menggunakan masanya di tampuk pemerintahan untuk membanteras rasuah dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya, daripada mengayakan dirinya sendiri.

Walaupun ramai yang akan memperlekehkan “defisit karisma” beliau, tidak ada keraguan di dalam minda saya bahawa beliau ialah salah seorang pemimpin penting Asia Tenggara masa kini - seorang lagi ahli keluarga Aquino yang telah berkhidmat untuk rakyatnya dengan cemerlang, lebih daripada sekadar memenuhi keperluan tugasnya.  

 

KARIM RASLAN ialah pengulas Asia Tenggara.