SEBUAH pesawat dilaporkan hilang di Laut China Selatan- membuat jutaan masyarakat sedih dan bingung. Seorang lelaki dibicara di mahkamah dan penghakiman dikeluarkan terhadapnya dalam tempoh yang singkat.

Udara yang kita hirup berbau asap, bertukar warna menjadi perang kekuningan dan wang pembayar cukai “terlepas” ke Kepulauan Carribean.

Di mana saya ketika ini? Malaysia. Siapa saya? Sepertinya, seorang yang telah diperdaya.   

Dua minggu lepas, saya menulis tentang “Rekonsiliasi atau permuafakatan nasional” dan saya benar-benar maksudkan apa yang saya katakan: bahawa muafakat itu penting dan ia memerlukan persefahaman tinggi di kalangan masyarakat Melayu – termasuk mencapai perjanjian damai dengan pihak-pihak bertelagah.

Tetapi saya sedar ini adalah sesuatu yang mustahil dan oleh sebab itu saya berasakan diri telah diperdaya.

Apa tersurat bukanlah apa yang tersirat. Jika kita mahu kekal waras, kita harus bijak “mengasingkan” apa tersurat dan tersirat.

Sememangnya di permukaan, kita di Malaysia hidup dalam sistem yang di atas kertas adalah cukup baik: demokrasi, kesaksamaan dan keadilan. Benar, kita mempunyai parti-parti politik, pilihan raya, media, dan sistem perundangan. Namun apa yang menyedihkan institusi-institusi tidak berfungsi seperti mana diharapkan

Adil atau tidak adil? Masalah kekurangan air atau rakyat menjadi mangsa manipulasi bekalan air? Sesungguhnya, masalah jerebu yang melanda sebahagian besar Semenanjung Malaysia seolah-olah menggambarkan keruntuhan moral yang bakal menjatuhkan kita.

Mari kita tumpukan kembali perhatian kepada Anwar Ibrahim yang nasibnya baharu ditentukan Mahkamah Rayuan pada Jumaat lepas. Saya bukanlah seorang peminat beliau tetapi berasa sangat kurang senang dengan proses penghakiman yang dijalankan terhadap beliau.

Ketua Pembangkang itu adalah seorang yang bijak, tetapi penuh dengan kekurangan. Saya berpendapat nasib Anwar sepatutnya ditentukan melalui pilihan raya yang adil dan bersih.

Namun, kes “liwat II” (atau dikenal sebagai “fitnah II” oleh penyokong-penyokong Anwar) akan memberi kesan dalam kedua-dua aspek sosial dan politik.

Adakah Anwar – yang mempunyai cita-cita menakluki Putrajaya – sebenarnya seorang pembohong atau reformis? Apa jua tanggapan sekalipun, Anwar dilihat seorang ejen perubahan yang telah mencetus harapan dalam kehidupan masyarakat Malaysia, terutama bagi mereka yang berasa telah dizalimi oleh negara sendiri.

Sementara keputusan Mahkamah Rayuan terhadap Anwar telah menggugat semangat juang sesetengah pihak, penghakiman tersebut membuat kebanyakan rakyat Malaysia – termasuk juga mereka yang tidak menyokong beliau – berasa marah dan sinis.

Pertama, ia mendedahkan perasaan ketidakyakinan kerajaan. Sekiranya mereka mengatakan sebahagian besar masyarakat yang tidak bersuara (atau “silent majority”) menyokong mereka dan bahawa Anwar pemimpin yang tidak menyedari realiti rakyat – mengapa mereka perlu membuang masa dengan mencemarkan nama beliau?

Seterusnya, apabila sebuah pendakwaan dilihat sebagai suatu usaha penganiayaan, pihak kerajaan nampak seperti tidak mengalu-alukan sebarang perubahan di kalangan rakyat Malaysia.

Ironinya, keputusan tersebut akan memperkukuh kepercayaan mereka yang berada dalam kem anti-Anwar bahawa beliau hanya boleh dikalahkan dengan cara serangan peribadi dan taktik kotor.

Keputusan ini juga akan mengeruhkan lagi jurang sosiopolitik yang sudah cukup besar. Akhir sekali, anda tidak boleh bercakap mengenai “permuafakatan nasional” jika pada masa sama juga pemimpin-pemimpin pembangkang dipenjarakan.

Sungguhpun demikian, pihak yang paling rugi dalam episod ini bukanlah Anwar. Ini kerana sekali lagi beliau mampu menggambarkan dirinya sebagai seorang “pejuang”, sekali gus mengukuhkan lagi sokongan masyarakat kepada Pakatan, terutamanya menjelang persiapan bagi pilihan raya kecil Kajang dan Balingian.

Kesemua “drama” dari peristiwa ini telah mengaburkan peranan penting politik di Malaysia- membahas dasar-dasar awam penting yang sepatutnya dilakukan.

Sebaliknya, kita akan terus hanyut jika pembaharuan yang amat diperlukan dari aspek ekonomi, pentadbiran dan hubungan kaum sering diketepikan.

Golongan paling dirugikan dalam seluruh episode ini: tidak lain dan tidak bukan adalah rakyat Malaysia.

Namun demikian, kita semua tanpa mengira afiliasi politik boleh bersetuju dan bersatu dalam mendoakan penumpang dan krew pesawat MH370 serta ahli keluarga mereka. Inilah seharusnya semangat yang dimahukan dari “permuafakatan nasional.”