SUDAH hampir dua dekad (19 tahun sebenarnya) saya menulis kolum Ceritalah. Pada awal zaman saya menceburkan diri dalam bidang penulisan, Kuala Lumpur (KL) sedang berada dalam zaman pembangunan dan pemodenan - di mana segalanya mampu dikecap.

Walaupun saya masih teringat kenangan manis era itu, apa yang saya amat kesali ialah wujudnya undang-undang yang membatasi kebebasan wartawan dan pimpinan redaksi.

Namun demikian, semakin lama menulis, saya telah mempelajari bagaimana untuk mengupas isu-isu sensitif seperti rasuah dan penyelewengan kuasa dengan melihat kepada negara luar, seperti bagaimana saya menulis tentang pilihan raya Rusia minggu lepas. Oleh kerana saya terpaksa menulis sebegitu, gaya penulisan saya menjadi berbunga-bunga dan elegan, tetapi tidak mampu membincangkan isu penting ini dengan tajam.

Pada 1996, saya menerbitkan himpunan kolum saya dalam bentuk buku dan apabila menyelak naskhah itu tempoh hari, 15 tahun kemudian, saya terkejut melihat betapa terhadnya perkembangan yang telah kita kecapi dalam perjuangan memperoleh kebebasan sivil terutamanya kebebasan media.

Dalam buku saya berjudul: Ceritalah: Malaysia dalam Peralihan (1996), terdapat dua esei yang mengupas isu ini dengan mendalam iaitu “Seni Silam Membaca Apa yang Tersirat” dan “Seni Menulis yang Tersirat”.

Masyarakat Malaysia sudah membiasakan diri mereka untuk membaca dengan “mata ketiga”, mengesan maksud yang tersirat di sebalik laporan media tempatan yang dikawal. Ini membuatkan mereka bersikap sinis dan cuba untuk mencari maksud tersirat walaupun kadangkala semuanya sudah tersurat.

Seperti yang ditulis dalam kolum saya ketika itu: “Inilah masalah mata ketiga: ia menukar tanggapan kita terhadap dunia. Bagaimanakah ia mengherotkan pandangan kita? Kita terang melihat semua kejadian dari segi personaliti dan kumpulan… Kita selalunya berfikir dari segi prinsip kerana kita sentiasa mencari motif individu: Siapa yang akan mendapat untung daripada sesuatu urus niaga dan berapa banyak keuntungannya.”

Ini amat berbahaya kerana ia menghakis peranan media arus perdana sebagai pembentuk fikiran masyarakat dan pemacu pendapat umum. Tambahan lagi, masalah ini memberi kesan negatif kepada penulis Malaysia kerana ia memaksa kami untuk mempraktikkan akrobatik kesusasteraan untuk mengutarakan sesuatu hujah atau tidak menulisnya langsung.

Menulis untuk media arus perdana hari ini masih memerlukan seseorang itu untuk berhati-hati. Membacanya juga memerlukan kita untuk memiliki mata ketiga dan untuk bersikap sinis apabila membaca baris-baris yang tersusun rapi di dada-dada akhbar, Kita seakan-akan tidak ke mana, dan mungkin juga sudah tertinggal ke belakang di kala jiran kita dan dunia seluruhnya maju ke depan.

Sememangnya, kehadiran media alam siber membuatkan kehidupan wartawan konvensional semakin sukar. Ini kerana, mereka dibenarkan untuk menulis dengan menggunakan daya kreativiti mereka dengan bebas, di saat mereka di media arus perdana harus menapis informasi mereka dan menulis dengan gaya yang tertentu. Apa yang lebih perit lagi, selalunya, kita bersetuju dengan mereka secara peribadi.

Sememangnya, hampir semua penyunting dan penulis media arus perdana hari ini menentang segala bentuk tapisan dan kawalan yang dipraktikkan di Malaysia. Namun, mereka tidak berhijrah ke alam maya sahaja dan cuba untuk hidup “dalam lingkungan sistem”. Tetapi mengapa?

Saya sudah memberi jawapan ini sebelumnya, dan saya akan mengulanginya: ini kerana kita percaya akan genre ini. Akhbar sebagai wadah ilmu dan suara rakyat. Walaupun saya mungkin dicemuh sebagai seorang yang ketinggalan zaman, saya yakin akhbar masih mempunyai peranan untuk dimainkan dalam era siber ini. Ia merupakan kraf yang sudah diperbaiki dari zaman ke zaman dan mempunyai potensi untuk memberi pencerahan kepada rakyat umum.

Inilah tugas wartawan dan penulis kolum saban hari, saban minggu. Sememangnya kita semua mempunyai pandangan tersendiri, dan saya ingat mengingatkan, bukan setiap kata pujian itu bermakna kita ‘dibayar’ sesuatu pihak atau bukan setiap kritikan itu bermakna kita mahu menjatuhkan sesiapa.

Memang benar, semua perkara itu ada aturan politik, tetapi kita harus bersama-sama memastikan masyarakat umum mampu bercakap atau bertindak tanpa diambil kira atau difikirkan seperti menentang kerajaan dan harus ditentang. Melihat dengan “mata ketiga” menggambarkan betapa terhadnya perkembangan spiritual kita di sebalik pencapaian material yang kita banggakan selama ini.