SAYA berada di Kampung Putaton, jauh di pedalaman Penampang yang sendirinya sudah 15 kilometer dari Kota Kinabalu.

Saya menunggu di dewan komuniti yang terletak bertentangan dengan rumah ayah Menteri Industri Perladangan dan Komoditi dan Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok. Bersama dengan saya ialah ratusan penanam koko kecil-kecilan yang kulitnya gelap dibakar mentari.

Ini ialah wilayah Kadazan. Ia sepi dengan pemandangan pastoral berbukit-bukau, dilewati sungai dan kali, paya buluh, dusun buah-buahan dan tanah tinggi curam. Sudah tentu, zaman beredar dan landskap rustika desa sudah diwarnai pemodenan dengan berdirinya blok-blok pangsapuri, taman perumahan dan rumah kedai di kawasan pinggir kampung.

Bernard dijangka tiba bila-bila masa sahaja untuk merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Penanam Koko Penampang. Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, diikuti makan tengah hari bersama Menteri. Ketika berucap, Bernard dan Ahli Dewan Undangan Negeri, Penampang, Donald Mojuntin berselang-seli berjenaka dalam bahasa Kadazan ketika berucap.

Pilihan Raya Umum ke-13 yang sudah semakin hampir, komuniti Kadazan, Dusun, Murut (dipanggil KDM) menjadi sasaran utama dalam perhitungan politik Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kuasa di Putrajaya. Kini, 22 dari 26 kerusi Parlimen di Sabah dipegang BN dan ini berserta kerusi Parlimen di Sarawak merupakan deposit selamat parti kerajaan di Timur Malaysia.

Antara 22 kerusi ini, 6 mempunyai komposisi majoriti kaum-kaum KDM dan 7 lagi mempunyai majoriti Cina atau majoriti campuran pengundi bukan Muslim. Sememangnya, Sabah merupakan landskap politik yang kompleks dengan kesetiaan kepada pemimpin tempatan, kepelbagaian kaum dan kepercayaan serta agama berbeza. Namun, isu berpanjangan selama ini iaitu keseimbangan etnik yang berbeza, terutama di antara Bumiputera Islam dan bukan Islam kembali hangat.

Dengan parti pembangkang lebih aktif dan kesedaran politik yang meningkat, komuniti KDM mula mempersoalkan peningkatan drastik bilangan penganut agama Islam di Sabah sejak beberapa dekad kebelakangan ini dan pendatang tanpa izin yang membuat angka ini melonjak naik.

Isu ini sememangnya membawa kita untuk bertanya: apakah maknanya untuk menjadi warganegara Malaysia? Apakah nilai kewarganegaraan kita? Bolehkah kita menjadi rakyat Malaysia dan menganut agama Kristian pada masa sama? Adakah kita boleh menjadi rakyat Malaysia dan masih mengekalkan identiti Kadazan? Apakah identiti kolektif kita?

Walaupun belum ada pengumuman rasmi, parti-parti komponen BN secara amnya bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) yang menyiasat pendatang tanpa izin di Sabah. Namun, terma untuk RCI ini masih kabur. Oleh itu, ramai dalam komuniti KDM masih tertunggu-tunggu bilakah PM Najib Razak akan membuat pengumuman rasmi tentang isu ini.

Seperti diberitahu seorang pengamat politik tempatan: “Pendatang haram menjadi ibu kepada semua masalah di Sabah. Komuniti KDM mahukan RCI. Mereka mahu tahu apa selama ini. Ini semua tentang transparensi, integriti dan keikhlasan.”

Namun, siasatan menyeluruh Suruhanjaya Diraja itu sudah pasti akan membongkar skandal yang telah berlaku sejak pentadbiran sebelumnya dan ini mungkin akan menggegarkan pucuk pimpinan BN negeri. Seperti peringatan daripada seorang sumber dalaman Umno: “RCI tidak boleh dijadikan sebagai pentas untuk memburu musuh”

Bernard juga antara pemimpin yang tegas dalam bersuara mengenai RCI: “Pengumuman tentang RCI seharusnya dibuat sebelum Parlimen dibubarkan. RCI tidak seharusnya dibuat sambil lewa. Mereka yang dilantik seharusnya mempunyai kredibiliti dan integriti tinggi.”

“Saya telah mempertaruhkan kerjaya politik saya. Jika isu ini tidak diselesaikan, kedudukan saya dalam Kabinet tidak lagi bermakna. Selain itu, jika kerajaan tidak menyokong RCI, ini mencerminkan sikap sebenar kerajaan terhadap komuniti KDM.”

Mendengar Bernard berkata-kata, saya teringat akan semangat padu yang dipamerkan penanam koko ketika menyanyikan lagu keramat, Negaraku. Melangkah keluar dari dewan itu, saya bertanya: apakah komuniti KDM ini antara minoriti yang semakin ditolak ke pinggiran? Adakah RCI akan mengurangkan marginalisasi ini atau adakah mereka akan semakin terpinggir? Ini soal maruah dan kuncinya ada pada keikhlasan politik mereka di Putrajaya.