ISTILAH ‘meng-ahok-kan’ sudah jadi sebahagian daripada kosa kata politik Indonesia. Ia membawa maksud menuduh seseorang (terutama lawan politik) menghina agama.

Semua orang sedia maklum, saya ini seorang peminat tegar segala-galanya Indonesia. Tetapi dengan pemenjaraan Gabenor Jakarta yang akan tamat tempoh jawatan, Basuki Tjahaja Purnama (Ahok), imej Indonesia sudah tercalar dan sudah wujud pula keresahan luar biasa dalam kalangan masyarakat minoriti.

Rakyat Malaysia pula sekarang dihadapkan dengan situasi sama seperti kes Ahok.

Ia melibatkan Hannah Yeoh Tseow Suan, ahli politik yang kuat bekerja dan disayangi di peringkat akar umbi.

Saya pertama kali bertemu dengan Hannah (merupakan ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP)) pada 2013 dan sejak itu saya mengikuti rapat kerjaya politiknya.

Malah, selepas Pilihan Raya Umum 2013, saya menulis bahawa pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri Subang Jaya di Selangor (yang pada ketika itu merangkumi 29.2 peratus Melayu dan 68.8 peratus bukan Melayu): “... menyukai Hannah Yeoh kerana beliau sangat kuat bekerja, jujur dan mudah didekati. Bahawa beliau seorang ahli DAP sudah tidak menjadi hal lagi.”

Hannah menang sekali lagi dengan majoriti besar 28,069 undi. Beliau kemudian dipilih sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, sekali gus jadi wanita pertama (dan wakil rakyat paling muda) memegang jawatan tersebut.

Saya selalu merasakan Hannah seorang ahli politik luar biasa dan lebih penting lagi, seorang yang baik. Cerdas dan berani, beliau ada dedikasi untuk masyarakat yang lebih baik.

Oleh itu, adalah sangat mendukacitakan bagi saya — sebagai seorang rakyat Malaysia — apabila dapat tahu laporan polis telah dikemukakan terhadapnya. Hannah dituduh cuba mengkristiankan orang Muslim, yang merupakan satu kesalahan jenayah di negara kita ini.

Kenapa? Kerana bukunya, Becoming Hannah, tampaknya mengandungi beberapa petikan daripada Bible. Ini sesuatu kelucuan: tidak ada sesiapa yang memaksa sesiapa pun untuk membaca bukunya.

Saya mungkin suka kepada YB Hannah tetapi tidak ada sebab untuk saya membaca memoir politiknya. Hidup ini terlalu singkat dan Subang Jaya bukanlah sebuah tempat yang jadi perhatian saya.

Hannah juga kemudiannya memfailkan laporan polis terhadap orang yang menuduhnya dan saya yakin beliau akan dibersihkan daripada tuduhan mengikut undang-undang.

Saya juga benar-benar berharap tuduhan-tuduhan ini tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya yang akan datang, yang mana Selangor dijangka akan jadi negeri panas.

Apatah lagi, kalau kita mengkaji sejarah, kita akan tahu betapa mencampuradukkan agama dengan politik selalunya akan berakhir dengan bencana: tidak ada pengecualian dalam hal ini.

Indonesia belajar mengenai ini dengan cara yang menyakitkan: pemenjaraan Ahok telah mencemarkan reputasi cemerlang kemajmukan republik itu di pentas dunia. Ini kemudiannya akan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat minoriti dan tentunya, pelabur.

Apa yang lebih membimbangkan ialah episod pahit ini datang susulan daripada beberapa pertelingkahan antara orang Islam dan bukan Islam di Malaysia.

Pertelingkahan ini dikatakan timbul daripada rasa kurang selamat orang Melayu-Islam: sama ada berhubung tempat rumah ibadah atau kononnya kandungan 'tidak halal' dalam makanan dan malah bulu berus.

Tetapi saya tidak pernah faham kenapa kita orang Melayu-Islam harus berperasaan begini.

Lihat saja kepada fakta-fakta ini: pada 2016, Jabatan Perangkaan menganggarkan 68.6 peratus penduduk Malaysia ialah Bumiputera, yang sebahagiannya adalah orang Melayu.

Pada 2015 pula, laporan Masa Depan Agama-Agama Dunia oleh Pew Reasearch Center menunjukkan bahawa orang Islam akan membentuk 72.4 peratus daripada penduduk Malaysia pada 2050, atau 32.7 juta orang daripada jangkaan penduduk sebanyak 45.2 juta.

Penganut Kristian di Malaysia, sebaliknya, akan kekal pada hanya 9.4 peratus manakala penganut agama-agama lain akan berkurangan.

Selebihnya, kedudukan orang Melayu dan Islam terjamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan kita dalam politik, urus tadbir, pertahanan dan bisnes semuanya selamat.

Jadi kenapa kita harus rasa takut dan terkepung sepanjang masa? Kenapa kita harus bertindak balas dengan begitu negatif setiap kali orang bukan Islam mengamalkan agama mereka secara terbuka dan aman — iaitu satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan?

Memang betul orang Melayu-Islam merupakan kelompok majoriti dan penjaga tanah air ini. Tetapi jangan kita lupa juga  semua rakyat Malaysia — biar apa pun kaum atau agamanya — ada hak pada negara ini dan masa depannya.

Seperti yang pernah diucapkan Tunku Abdul Rahman:    “Ada tempat untuk semua orang di Malaysia.”

Saya tidak menafikan bahawa orang Melayu-Islam sedang berdepan banyak cabaran dan ancaman.

Tetapi rakan-rakan kita orang bukan Islam yang senegara — seperti Hannah Yeoh — bukanlah satu daripadanya.