APABILA pihak produksi drama dan filem datang kepada pihak kami di Grup Buku Karangkraf untuk mendapatkan senarai judul-judul novel yang terbaik untuk diadaptasi, rasa gembira itu sebenarnya adalah bahagia yang wajar dikongsi bersama novelis kami.

Penat-lelah mereka menghasilkan karya berbaloi. Karya itu bukan sahaja laris dalam bentuk novel naskhah, bahkan sudah layak diadaptasi ke layar untuk lebih dinikmati oleh jutaan penonton. Ini bermakna lebih ramai lagi dapat menikmati hasil kreativiti novelis kami.

Fenomena terkini ialah novel Setia Hujung Nyawa yang kini sedang ditayangkan di televisyen. Serentak itu juga novel adaptasi Sehangat Asmara sedang ditayangkan di satu saluran berbayar. Sebelum itu adaptasi novel Adam dan Hawa juga mendapat rating tertinggi.

Kenyataan menunjukkan novel itu popular terlebih dahulu dalam kalangan pembaca. Kemudian pihak penerbit mencadangkan novel itu kepada pihak produksi untuk diadaptasi dan akhirnya hasil kolaborasi penerbit dan produser berjaya melariskan lagi jualan novel-novel adaptasi.

Secara rambang ada peminat novel yang kurang berpuas hati dengan hasil karya pihak produksi drama dan televisyen. Kepuasan antara membaca dan menonton amat subjektif sifatnya. Bergerak sebagai sebuah karya kreatif sama ada atas kertas atau dengan visual, masing-masing pihak ada kelebihan dan kekurangan mereka sendiri.

Namun dengan pengalaman kami menyerahkan hasil karya novel kepada pihak produksi dan dengan istilah adaptasi longgar, kemelut ini berjaya dikurangkan. Masyarakat pembaca dan penonton mulai faham kerja kreatif ini ada persamaan dan tetap juga ada perbezaan.

Dengan lebih 10 judul novel yang sudah sah menjadi milik pihak produksi drama dan filem pada 2012, kini untuk 2013 terdapat lagi lima judul novel sedang dalam peringkat akhir perundingan untuk diadaptasi.

Kami melihat ini sebagai satu fenomena kebangkitan karya kreatif setelah bertahun-tahun masyarakat memandang dingin terhadap novel-novel dalam pasaran. Suatu masa dulu masyarakat memasuki satu ruang lingkup yang pengap dan tepu hingga tidak mempunyai tarikan langsung terhadap novel tempatan.

Masyarakat suatu masa dulu ada alasan keras mengapa menolak karya penulisan. Mereka tidak ada minat dan tidak timbul langsung keinginan untuk membaca.

Novel-novel yang diterbitkan oleh pihak semi kerajaan menjadi buku lapuk dalam gudang. Novel-novel dan industri perbukuan menjadi lompong apabila pihak syarikat menerbit buku hanya untuk disorok sahaja di dalam gudang.

Apabila Alaf 21 dan Buku Prima menemui resipi yang sangat baik untuk meneruskan minat membaca novel dalam kalangan masyarakat, fenomena tepu dan pengap terhadap karya kreatif dalam bentuk novel berubah 200 peratus. Masyarakat di mana-mana sahaja akan memperkatakan tentang novel yang mereka baca dan mencadangkan pula kepada orang lain.

Kini setiap novel yang diterbitkan dalam kiraan 5,000 hingga 7,000 naskhah untuk cetakan pertama, akan mendapat pesanan tambahan bagi cetakan dua kali dalam masa tidak sampai satu bulan. Faedah ini dinikmati dengan baiknya oleh golongan penulis apabila royalti mereka naik berkali ganda.

Sebagai penerbit yang berwibawa, Alaf 21 dan Buku Prima mempunyai garis panduan jelas tentang apa yang boleh dan tidak boleh ditulis dalam novel. Garis panduan ini diketahui oleh semua bakal penulis dan ia dipantau ketat oleh pihak editorial.

Adegan bercumbuan, maksiat, bersekedudukan sebelum nikah, khalwat dan segala yang negatif tidak boleh langsung dimasukkan dalam isi cerita. Jika ada sekalipun haruslah disampaikan dengan cara yang murni dan mendapat pembalasan pada pengakhiran cerita. Karya yang menaikkan nilai negatif dilarang sama sekali!

Sekalipun ada tuduhan mengatakan karya novel yang dipaparkan bersifat popular, namun perjuangan untuk menambah minat orang ramai membaca sudah menjadi kenyataan. Kemudian perlahan-lahan, akan diterapkan minat untuk membaca karya lebih tinggi dan mantap kandungannya.

Kini bersempena Karnival Karangkraf yang berlangsung mulai esok 1 hingga 3 Februari di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, dapatkan judul-judul novel terbaik kami dengan diskaun istimewa. Temui juga penulis kegemaran anda di sini.

Ada satu sudut khas untuk karya-karya adaptasi drama dan filem. Untuk kemudahan, kami juga menyediakan satu kaunter khas untuk pembayaran bagi karya-karya adaptasi ini. Segalanya untuk anda, penyokong tegar produk Grup Buku Karangkraf!