MUNGKIN ramai yang sudah biasa dengan amalan bersedekah sama ada untuk anak yatim mahupun golongan asnaf dan golongan-golongan lain yang memerlukan. Bersedekah sememangnya amalan mulia yang patut diteruskan.

Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Apabila mati anak Adam akan terhentilah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya”. (Riwayat Imam Muslim)

Wakaf merupakan salah satu cabang amal jariah. Dari segi istilah, wakaf adalah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta itu daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat, di samping mengekalkan sumber fizikalnya untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada ALLAH SWT. Wakaf adalah suatu pemberian atau sumbangan ikhlas sebahagian daripada harta yang dimiliki untuk kepentingan dan kesejahteraan umum yang dibenarkan syarak.

Sejarah wakaf bermula apabila Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail bersama-sama membina Kaabah. Kaabah merupakan bangunan wakaf terawal yang kekal sehingga hari ini.

Rasulullah SAW merintis jalan ini dengan membina Masjid Quba pada tahun 622M dalam perjalanan Baginda ke Madinah. Enam bulan kemudian Baginda membina pula Masjid Nabawi.

Jejak langkah Rasulullah SAW ini diikuti dan dijadikan amalan oleh para sahabat sehinggakan Jabir RA berkata, “Tidak ada para sahabat yang kaya melainkan mereka berwakaf.” Antara harta yang diwakafkan oleh sahabat ialah tanah, rumah dan telaga.

Antara cabaran besar dalam pengurusan wakafialah apabila pewakaf mewakafkan harta mereka secara lisan dan tanpa dokumen sokongan. Ada pula yang mewakafkan harta atas nama penghulu, sebagai contoh.

Dalam keadaan sedemikian, apabila penghulu tersebut meninggal dunia, tanah wakaf itu sebenarnya boleh dituntut sebagai harta pusaka oleh waris kerana geran atas nama penghulu. Begitu juga jika berlaku kematian pewakaf dan waris tidak tahu mengenai wakaf berkaitan.

Cara terbaik untuk mengelak masalah sedemikian adalah berwakaf dengan Majlis Agama Islam Negeri masing-masing. Antara wakaf terawal di Kelantan ialah Wakaf Sultan Mansor.

Pada hari Isnin 22 Syaaban 1317 Hijrah bersamaan 26 Disember 1899, Sultan Mansor ibni Al-Marhum Sultan Ahmad telah mewakafkan tanahnya bagi tujuan mengajar dan belajar mengaji al-Quran dan menziarahi makamnya setiap hari.

Selepas 118 tahun, pihak Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) masih memegang amanah sebagai pengawal wakaf dan mentadbir tanah wakaf tersebut mengikut hukum syarak.

Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin Aishah Puteri di Kota Bharu merupakan antara pembangunan bagi manfaat kebajikan yang dibina di atas tanah Wakaf Sultan Mansor.

Selain itu, Kompleks Islam Jubli Perak yang terletak di Panji, Kota Bharu juga dibina di atas tanah wakaf. Tanah wakaf seluas 4.4 hektar lebih ini telah berfungsi sebagai tempat perkembangan ilmu, kebajikan dan dakwah.

Di kompleks ini terdapatnya Maahad Tahfiz Al-Quran Maik, Perpustakaan Islam Maik dan Asrama Darul Aitam Putera Maik. Program-program dakwah untuk mualaf juga turut diadakan di sini, selain menjadi tempat pelepasan jemaah haji ke tanah suci bermula tahun 2015.

Adakah kita perlu menjadi hartawan terlebih dahulu sebelum berwakaf demi meraih pahala yang berpanjangan ini? Adakah mereka yang berpendapatan rendah mahupun sederhana terhalang daripada berwakaf? Sebenarnya, ada cara untuk setiap umat Islam memperoleh pahala dengan berwakaf walaupun kita tidak kaya-raya.

Sebagai contoh, kita boleh membeli saham wakaf dengan Maik. Satu unit saham wakaf bernilai RM10. Ia akan dikumpul dalam satu tabung wakaf sebelum ditukar menjadi harta kekal. Pondok Bunut Payong di Kota Bharu merupakan salah satu contoh bangunan wakaf yang diuruskan oleh Maik.

Kos untuk membangunkan semula pondok tertua dan terbesar di Kelantan itu adalah sebanyak RM5.6 juta. Jumlah sumbangan semasa setakat ini ialah RM467,068. Masih ada peluang untuk kita berwakaf. Maklumat lanjut boleh didapati pada laman web waqaf.e-maik.my.

Melaburlah dalam saham akhirat. Berwakaflah walau sedikit. Kita pasti memerlukannya di sana nanti.