TIBA-tiba negara gempar dengan isu berus yang diperbuat daripada bulu babi. Seperti biasa, timbullah pelbagai kenyataan daripada wira-wira papan kekunci di media sosial.

Ada yang menuduh pihak atau peniaga terbabit sengaja enggan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Ada yang mencadangkan tindakan keras terhadap peniaga-peniaga ini kerana mereka tidak mengasingkan berus bulu babi ini daripada barangan lain, atau tidak meletakkan tanda 'tidak halal'. 

Memang benar, secara umumnya rakyat Malaysia tahu bahawa babi adalah haram bagi orang Islam, tetapi, adakah mereka tahu bahawa berus bulu babi juga haram?

Adakah kita ambil tahu sejauh mana pemahaman mereka yang bukan Islam mengenai konsep halal dan haram dalam Islam? Adakah permasalahan ini akan selesai dengan merampas berus cat babi di seluruh negara? 

Dalam hal ini, saya ucapkan tahniah kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang telah mengarahkan pegawai penguat kuasa agar menghentikan operasi merampas berus cat yang diperbuat daripada bulu babi.

Sekurang-kurangnya peniaga diberi masa sebulan untuk melabelkan berus dengan betul; menyatakan dengan jelas jika ia diperbuat daripada, atau mengandungi, produk babi atau anjing.

Maka redalah sekejap ribut yang melanda media sosial kita walaupun masih kedengaran suara-suara sumbang yang terus sindir-menyindir dengan tulisan berbentuk sarkastik.

Sebenarnya, masih ramai masyarakat bukan Islam yang tidak tahu bahawa berus cat yang diperbuat daripada babi tidak boleh digunakan oleh umat Islam. Bagi mereka, berus cat bukannya dimakan atau digunakan untuk memproses makanan. 

Baru-baru ini, presiden Macma Malaysia telah dihubungi oleh wartawan akhbar China Press untuk bertanyakan isu ini.

Prof Dr Taufiq Yap menerangkan kepada mereka bahawa orang Islam bukan sahaja dilarang memakan babi tetapi juga dilarang menggunakan semua yang mengandungi sumber daripada babi termasuk berus bulu babi dan kasut yang menggunakan kulit babi.

Wartawan itu bertanya lagi bagaimana pula dengan wang kertas yang telah digunakan dalam pembelian yang melibatkan peniaga daging babi di pasar? Jawapan beliau, Islam itu mudah. Kita tidak diminta untuk menyiasat hingga sedemikian. 

Mudah-mudahan penerangan Prof Dr Taufiq itu akan sampai kepada masyarakat Cina bukan Islam memandangkan ia disiarkan dalam surat khabar berbahasa Cina. 

Umat Islam di Malaysia sangat sensitif apabila timbul isu sebegini. Sebelum ini kecoh mengenai DNA babi dalam coklat Cadbury sehingga ada yang mencadangkan di media elektronik agar umat Islam menukar darah kerana termakan coklat tersebut. Ia memberi gambaran seolah-olah Islam itu sangat rumit, menyusahkan. 

Seorang sahabat yang juga telah kembali kepada Islam disuruh minum air tanah yang digoncang dalam botol mineral. Beliau diminta minum air yang jernih pada bahagian atas apabila tanah sudah berkumpul pada bahagian bawah botol. Ini kononnya untuk menyertu perut (atau samak, mengikut istilah yang difahami umum) setelah beliau memeluk agama Islam.

Jika demikian, bagaimana dengan orang Islam yang minum arak, makan rasuah atau berjudi? Adakah reaksi kita akan sama? Ironinya juga sensitiviti ini seolah-olah tiada bila bercakap tentang rokok.

Malah, begitu ramai umat Islam menghisap rokok yang telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak tahun 1995 lagi.

Selain itu, satu Malaya juga pernah kecoh mengenai isu salib sehinggakan setiap benda yang bersilang seperti bingkai tingkap bangunan pun dikatakan kelihatan seperti salib. Aduhai.

Sememangnya sukar memahami pendapat golongan yang merasakan bahawa salib boleh mengancam keimanan atau akidah seseorang.

Mujur pihak berkuasa dan pemerintah cekap dalam menangani isu ini. Jika tidak, dibimbangkan huruf  't' juga akan turut dipersoalkan kerana mempunyai bentuk seperti salib.

Sensitiviti itu memang penting dan perlu tetapi tidak perlu mempropagandakan isu sebegini. Jangan cepat menghukum terutama mereka yang tidak tahu dan tidak faham.

Adil dan konsistenlah dalam menghukum. Utamakan ilmu termasuk bagaimana menangani hal-hal sebegini. Islam itu mudah. Jangan diberi gambaran sebaliknya. 

Bertanggungjawablah dalam memelihara dan menegakkan Islam kerana kita akan ditanya mengenainya nanti.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KITA sering mendengar pepatah orang tua-tua, hidup ini biarlah menjadi benih yang baik. Benih yang baik, jika jatuh ke laut, akan menjadi pulau. Ia bermaksud, orang yang berketu-runan baik, ke mana pun dia pergi, akan sentiasa menjadi baik.
  • BEBERAPA hari lagi masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Lunar yang juga dikenali sebagai Tahun Baharu Cina. Sebagaimana biasa, akan kedengaran ungkapan Gong Xi atau Gong Xi Fa Cai di sana sini.
  • MASYARAKAT kita sudah terbiasa dengan pemi-kiran bahawa pelajar perlu belajar rajin-rajin, masuk universiti, dapatkan segulung ijazah dan apabila selesai pengajian, dapat kerja yang baik-baik.
  • ALLAHYARHAM Abdul Rahman bin Othman, yang lebih terkenal dengan nama Tok Selehor, merupakan seorang ulama kelahiran Kelantan yang zuhud dan warak.
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?