TARIAN singa sudah sinonim dengan masyarakat Cina. Kebiasaannya tarian singa diadakan untuk meraikan sambutan Tahun Baharu Cina. Ia turut diadakan bagi meraikan majlis perkahwinan, ulang tahun kelahiran, dan pembukaan perniagaan. Kebelakangan ini, tarian singa turut dimainkan sebagai acara pembukaan majlis atau sebagai menyambut kedatangan tetamu kehormat ke program-program tertentu.

Tarian singa dimainkan oleh dua penari; seorang menggerakkan kepala dan pasangannya menggerakkan bahagian belakang kostum singa. Seni tarian singa berbentuk senaman fizikal yang baik untuk kesihatan. Pergerakan yang pantas ketika mempersembahkan tarian ini menyebabkan anggota badan sentiasa berpeluh, lantas mempertingkatkan kecerdasan rohani dan jasmani.

Persembahan tarian singa diiringi dengan bunyi ketukan dan pukulan gendang dan canang dan beberapa peralatan lain termasuk simbal. Muziknya yang sungguh lantang dan pasti menenggelamkan bunyi-bunyi lain di sekitar menggambarkan kemeriahan suasana. Kebanyakan yang terlibat dalam tarian ini adalah golongan belia. Faktor umur penting kerana tarian ini memerlukan stamina yang kuat.

Tarian singa sudah dapat diterima oleh majoriti rakyat Malaysia yang terkenal dengan kepelbagaian warisan budaya dan kaum. Baru-baru ini, wartawan Sinar Harian, Nor Azura Md Amin, telah membuat laporan mengenai persembahan tarian singa oleh kanak-kanak dan remaja Melayu, Cina dan India yang mencuri perhatian penonton.

Menurut Azura, ramai penonton Cina yang terkejut kerana tidak menyangka di sebalik kostum singa rupanya penari Melayu. Malah, tarian singa yang dikendalikan Persatuan Tarian Singa dan Naga Kung Seng Keng di Pontian, Johor ini, turut mengalunkan muzik tradisi masyarakat Melayu, Cina dan India.

Konsep persatuan tersebut yang menekankan kepelbagaian kaum menarik minat ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka belajar tarian singa pada setiap hujung minggu. Persatuan ini turut dijemput untuk mempersembahkan tarian singa pada majlis rumah terbuka bukan sahaja sempena Tahun Baharu Cina, malah untuk perayaan Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri juga, di sekitar daerah Pontian.

Di Terengganu, pasukan Tarian Singa Kesun Malaysia turut dianggotai oleh kaum Melayu, India dan Siam. Kepelbagaian kaum dalam pasukan tarian singa tersebut menjadikan ia istimewa dan unik sehingga mereka digelar Tarian Singa 1Malaysia. Begitu juga di Seremban, Negeri Sembilan, apabila terdapat remaja Melayu yang turut menjadi penari tarian singa bersama Persatuan Yun Loong Lion Dance & Wusyu Seremban.

Di ibu kota Kuala Lumpur, Syahdatul Azmi Bustaman yang berumur 23 tahun, mula menyertai Persatuan Tarian Singa dan Naga Kun Seng Keng sejak berusia 11 tahun. Menurut beliau, penglibatannya dalam pasukan tarian singa ini turut mendidiknya agar bekerja secara berpasukan, bergaul dan menghormati kaum lain. Beliau berminat dengan tarian singa kerana pergerakannya yang lincah dan aksi akrobatiknya yang unik.

Syahdatul Azmi pernah menjadi juara pertandingan tarian singa peringkat antarabangsa di Arena of Stars, Genting Highlands, pada tahun 2010 dan kini memegang gelaran Raja Singa Barat serta Raja Singa Selatan. Lebih menarik lagi, beliau memenangi kejuaraan itu ketika berganding dengan abangnya, Amirul Firdaus Bustaman, 24 tahun.

Selain itu, pada September tahun lepas, sebuah perkahwinan Melayu di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa di Kuching, Sarawak, turut diserikan dengan persembahan tarian singa, satu kelainan yang ditampilkan dan menarik perhatian para jemputan yang hadir.

Pasangan pengantin Jefrey Ansam dan Husna Syahirah telah dipertontonkan dengan persembahan pencak silat terlebih dahulu sebelum diarak meriah dengan tarian singa. Begitu juga pasangan pengantin di Kampung Pasir, Johor Bharu, yang disambut bukan dengan paluan kompang, tetapi dengan paluan gendang dan tarian singa.

Tarian singa merupakan satu persembahan kebudayaan Cina dan tidak ada kena-mengena dengan unsur-unsur syirik atau khurafat. Semoga dengan lebih banyak penglibatan orang Islam dalam tarian ini dapat mengubah persepsi sebilangan ahli masyarakat yang beragama Islam yang menganggap tarian singa sebagai bertentangan dengan syariat Islam. Mungkin juga NGO Islam boleh mewujudkan pasukan tarian singa sendiri sebagai salah satu usaha untuk membetulkan salah tanggapan ini.


* Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan