DALAM tulisan di laman Facebooknya baru-baru ini, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah menyarankan agar umat Islam negara ini menunjukkan rasa hormat terhadap rakyat Malaysia yang bukan Islam.

Menurut Raja Zarith Sofia, umat Islam di Malaysia begitu bernasib baik; mereka tidak tahu bagaimana rasanya menjadi sebahagian daripada kumpulan minoriti. Tambah baginda lagi, mereka yang pernah belajar atau menetap di luar negara tahu perasaan itu dan belajar menyesuaikan diri. Baginda menyeru agar umat Islam menunjukkan rasa hormat yang sama kepada warga Malaysia yang tidak seagama.

Islam memberi panduan kepada umatnya agar hidup bermasyarakat, baik sesama Islam ataupun dengan bukan Islam. Perkataan Islam itu sendiri bermaksud sejahtera, aman atau harmoni dalam bahasa Arab. Ia dirujuk daripada istilah yang bermaksud menyerah diri sepenuhnya kepada Pencipta Yang Maha Kuasa, melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan larangan-Nya.

Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum dan agama. Setiap kaum perlu menghormati agama dan budaya kaum lain. Ini mungkin tidak menjadi masalah kepada golongan Cina Muslim, sebagai contoh, kerana mereka memahami budaya Cina walaupun telah memeluk Islam. Malah, mereka masih boleh meneruskan adat dan budaya Cina selagi ia tidak melanggar syariat. Begitu juga bagi kaum lain yang asalnya bukan Islam tetapi telah memeluk Islam.

Mungkin juga masih ramai ahli keluarga dan saudara-mara mereka yang bukan Islam. Sudah tentu mereka faham perspektif orang bukan Islam dan menghormatinya.

Antara adab Islam adalah memelihara perasaan orang lain dan menghindarkan perkara yang menyakitkan dan mengganggu ketenteraman orang lain. Firman ALLAH yang bermaksud; “Dan apabila kamu dihormati dengan suatu (salam) penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah penghormatan itu dengan yang sepadan dengannya. Sungguh, ALLAH memperhitungkan segala sesuatu.” (Surah an-Nisa’: ayat 86)

Para ahli tafsir sepakat bahawa yang dimaksudkan dengan penghormatan dalam ayat ini adalah salam. Ketika kita menerima ucapan assalamualaikum, maka kita dianjurkan untuk menjawabnya dengan yang lebih baik dan lebih lengkap, iaitu waalaikumus salam warahmatullahi wabarakatuh.

Namun, ayat ini sebenarnya tidak hanya berkaitan dengan salam. Salah satu konsep dasar dalam Islam adalah membalas kebaikan dengan balasan yang lebih baik. Ini bermaksud, ketika berinteraksi dengan orang lain, tidak kira Islam ataupun tidak, kita sepatutnya membalas hormat lebih daripada penghormatan yang diberikan orang kepada kita. Paling tidak pun, mestilah membalas dengan hormat yang sama dengan penghormatan yang diterima.

Begitu jugalah seharusnya mereka yang bukan Islam perlu menghormati orang Islam sebagaimana orang Islam menghormati mereka. Yang bukan Islam juga patut bersyukur dan berterima kasih kerana diberi kebebasan untuk mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing walaupun Islam merupakan agama rasmi di Malaysia.

Ketika perayaan Thaipusam, sebagai contoh, penganut Hindu di seluruh dunia akan memberikan penghormatan kepada Dewa Murugan. Sudah menjadi kebiasaan, akan ada perarakan di Kuala Lumpur dan beberapa bandar raya lain di seluruh Malaysia dan ini melibatkan penutupan jalan-jalan tertentu tetapi itu tidak menjadi isu.

Nilai persaudaraan kemanusiaan sejagat inilah yang menjadi roh kepada syariat Islam yang tinggi nilainya. Firman ALLAH dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud; “ALLAH tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil pada orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang berlaku adil.”

Namun demikian, Islam juga tidak membiarkan manusia kekal dalam kesesatan. Islam adalah agama dakwah yang membimbing manusia ke jalan yang benar. Menjadi kewajipan kita sebagai orang Islam untuk menyampaikan dakwah. Bagaimana untuk menyampaikan dakwah jika kita tidak menghormati mereka yang belum Islam?

Maka, sebagai orang Islam, kita bukan sahaja harus menghormati orang bukan Islam tetapi perlu menunjukkan akhlak yang baik. Melalui pergaulan yang baik antara umat Islam dan bukan Islam, golongan bukan Islam akan dapat melihat keindahan Islam yang sebenar, sekali gus mendorong mereka untuk menganutnya, dengan izin ALLAH jua.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KITA sering mendengar pepatah orang tua-tua, hidup ini biarlah menjadi benih yang baik. Benih yang baik, jika jatuh ke laut, akan menjadi pulau. Ia bermaksud, orang yang berketu-runan baik, ke mana pun dia pergi, akan sentiasa menjadi baik.
  • BEBERAPA hari lagi masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Lunar yang juga dikenali sebagai Tahun Baharu Cina. Sebagaimana biasa, akan kedengaran ungkapan Gong Xi atau Gong Xi Fa Cai di sana sini.
  • MASYARAKAT kita sudah terbiasa dengan pemi-kiran bahawa pelajar perlu belajar rajin-rajin, masuk universiti, dapatkan segulung ijazah dan apabila selesai pengajian, dapat kerja yang baik-baik.
  • ALLAHYARHAM Abdul Rahman bin Othman, yang lebih terkenal dengan nama Tok Selehor, merupakan seorang ulama kelahiran Kelantan yang zuhud dan warak.
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?