NEGARA China turut dikenali sebagai Tiongkok dalam dialek Hokkien, atau Zhongguo dalam bahasa Mandarin, yang bermaksud negara atau kerajaan tengah, kerana kedudukan geografinya di tengah-tengah benua Asia.

Agama Islam mula tersebar ke bumi Tiongkok pada pertengahan abad ke-7 setelah sahabat Nabi Muhammad SAW, Saad bin Abi Waqqas, diutuskan Khalifah Uthman secara rasminya untuk menghadap Maharaja Yong Hui daripada Dinasti Tang pada 651M. Mengikut sejarah China, tahun itu dianggap sebagai bermulanya pengenalan Islam kepada China.

Ada sarjana sejarah mengatakan bahawa itu merupakan kunjungan dakwah yang ketiga; rombongan pertama dan kedua adalah pada 616M dan 629M. Islam tersebar hingga ke pedalaman China ketika pemerintahan Dinasti Tang dan Dinasti Song (618 – 1279M).

Masjid tertua di China, Masjid Huaisheng yang terletak di Guangzhou, dikatakan telah dibina oleh Saad bin Abi Waqqas pada 627M. Rekod China menunjukkan sepanjang tempoh 651 hingga 798M, seramai 39 utusan Arab melawat China dan semakin ramai juga pedagang Arab dan Parsi datang ke China melalui laluan sutera.

Hasil perkahwinan campur antara pedagang Islam dengan penduduk Han tempatan melahirkan masyarakat Islam yang dikenali sebagai Hui. Generasi anak-anak mereka ini berpegang kepada ajaran Islam dan hidup bersama komuniti Han yang bukan Islam dengan aman.

Mereka masih mengekalkan kebudayaan Cina yang tidak bertentangan dengan syariah. Ini boleh dilihat daripada seni bina masjid yang tidak berkubah, jenis makanan serta pakaian, dan mereka juga menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pertuturan harian.

Baru-baru ini, saya berpeluang menyertai delegasi Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) yang diketuai oleh Presiden Macma, Profesor Dr Taufiq Yap Yun Hin, membuat kunjungan hormat kepada Persatuan Islam China (CIA) di Beijing. Delegasi Macma disambut oleh Timbalan Presiden CIA, Abdullah Amin Jia Rubin, dan ahli jawatankuasa CIA yang lain.

Antara maklumat yang kami peroleh daripada lawatan tersebut ialah jumlah penduduk China yang beragama Islam, berdasarkan kajian yang dilakukan pada 2010, adalah seramai 23 juta, iaitu 1.7 peratus daripada keseluruhan penduduk China. Oleh kerana kerajaan China tidak mencatat atau merekodkan agama penduduk, jumlah tersebut adalah berdasarkan etnik mereka. Daripada 55 etnik minoriti di China, 10 etnik beragama Islam.

Maka, jumlah 23 juta adalah berdasarkan bilangan 10 etnik tersebut. Angka sebenar penduduk beragama Islam berkemungkinan lebih daripada itu kerana agak ramai juga komuniti Han yang memeluk Islam. Komuniti Islam Hui merupakan kumpulan penduduk Islam terbesar di China, iaitu seramai 10 juta. Sembilan lagi etnik yang beragama Islam ialah Uighur, Kazak, Uzbek, Kirgiz, Tajik, Tatar, Dongxiang, Sala dan Baoan.

Kami berkesempatan melawat dan menunaikan solat di beberapa masjid di Beijing. Antaranya ialah Masjid Niujie, masjid tertua di Beijing, yang dibina pada 996M. Terdapat lebih kurang 10,000 umat Islam yang menetap di sekitar masjid ini.

Masjid yang dibina menggunakan kayu ini mempamerkan gabungan budaya Arab dan Cina. Pintu dan tiang berwarna merah manakala bahagian atas berwarna biru. Terdapat tanglung yang digantung di siling. Tulisan Cina dan kaligrafi Arab turut menghiasi ruang masjid.

Pengurusan semua masjid dan latihan untuk para imam di China dikendalikan sepenuhnya oleh CIA. Zakat dikutip dan diuruskan oleh masjid. Imam-imam yang dilatih CIA harus memiliki sekurang-kurangnya ijazah pertama.

CIA turut mengawal selia sijil halal serta menguruskan jemaah haji sebagaimana Lembaga Tabung Haji menguruskan jemaah haji di Malaysia. Kos menunaikan haji dari Beijing adalah sekitar 40,000 Yuen atau RM24,000.

Sejak Republik Rakyat China ditubuhkan pada 1949 di bawah pemerintahan komunis, kerajaan China mengamalkan dasar bebas agama; mereka tidak menggalakkan rakyat beragama tetapi agama yang sah boleh diamalkan. Walaupun dalam keadaan sukar dan apa jua cabaran, Islam masih terus diamalkan dan makin berkembang di bumi Tiongkok.

Pengalaman sebegini bagi saya membuka minda dan membuatkan kita refleksi diri. Jika mereka yang hidup di negara bukan Islam sanggup dan boleh melakukan apa sahaja demi memartabatkan Islam, apakah alasan kita di Malaysia untuk tidak melakukannya?

*Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan