TARIKH-TARIKH penting untuk PRU14 telah pun diketahui. Penamaan calon adalah pada 28 April manakala hari mengundi adalah pada 9 Mei. Walaupun tarikh berkempen telah ditetapkan bermula 28 April selepas penamaan calon, kempen awal telah pun dimulakan, sama ada secara langsung atau tidak. Perang saraf di media sosial juga semakin hangat.

Secara umumnya, pilihan raya merupakan proses pemilihan pemimpin yang akan membentuk pemerintahan sesebuah negara.

Bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia, kepimpinan negara ditentukan melalui proses pilihan raya. Setiap warganegara yang telah mendaftar sebagai pengundi mempunyai hak untuk memilih wakil mereka melalui kuasa undi.

Dalam sistem pilihan raya yang dilaksanakan di negara ini, setiap individu yang berdaftar sebagai pengundi berperanan menentukan wakil mereka bagi setiap kawasan Parlimen dan Dun.

Sistem demokrasi juga memberi kebebasan untuk sesiapa jua bertanding dalam pilihan raya jika memenuhi syarat-syarat yang telah ditentukan.

Oleh yang demikian, bermacam-macam jenis ideologi dan perwatakan peribadi boleh tampil sebagai calon wakil rakyat yang mahu menjadi pemimpin. Ada yang mewakili parti politik dan ada yang menjadi calon bebas.

Masing-masing mempunyai manifesto, iaitu satu pernyataan, janji atau deklarasi secara bertulis yang diisytiharkan kepada orang ramai semasa kempen pilihan raya. Ia bertujuan untuk menerangkan secara ringkas dasar dan perancangan pihak yang bertanding sekiranya memenangi pilihan raya.

Ketika inilah kita boleh menilai sama ada setiap yang bertanding berkempen secara sihat atau sebaliknya.

Secara umumnya, dapat dilihat ada yang memburukkan peribadi pihak lawan dan ada yang sanggup membuat cerita atau fitnah semata-mata untuk menjatuhkan pihak lawan. Ada juga yang bersikap sederhana, hanya menonjolkan manifesto demi membantu rakyat di kawasan mereka.

Di sinilah letaknya peranan pengundi untuk memilih calon terbaik bagi membantu dan memimpin mereka sama ada pada peringkat Dun mahupun Parlimen.

 Dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, kita sepatutnya perlu terlebih dahulu memahami ciri-ciri individu yang layak diangkat sebagai pemimpin dan cara-cara membuat pilihan. Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW banyak memberikan panduan tentang perkara-perkara ini juga.

"Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah.” (Surah al-Qasas, ayat 26)

Prof Dr Syeikh Yusuf al-Qara-dawi menggariskan sekurang-kurangnya tiga cara asas dalam mempertimbangkan pilihan:  

• Jika semuanya baik, pilihlah yang paling banyak kebaikannya.

• Jika ada yang baik dan ada yang buruk, pilihlah yang baik.

• Jika semuanya buruk, pilihlah yang paling sedikit keburukannya.

Kita tidak sepatutnya mengangkat pemimpin dalam kalangan mereka yang dikenali dengan kejahatannya, suka mengikut hawa nafsunya atau terlibat dengan rasuah.

Sebaliknya, kita seharusnya memilih pemimpin yang berakhlak mulia, benar-benar ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat, adil, sudi menerima teguran, bersedia mendengar cadangan atau pendapat berkenaan perkara-perkara yang di bawah tanggungjawabnya, serta bukan jenis orang yang suka meminta-minta jawatan dan mengharap untuk hidup bersenang-lenang secara berlebihan.

Jika seseorang mempunyai rekod dan keperibadian yang baik dan bersih, kita seharusnya tidak perlu risau mengenai salah laku ataupun masalah rasuah kerana kemungkinan besar individu tersebut percaya dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupannya dan layak untuk memimpin.

Selain itu, pemimpin juga mestilah seorang yang tegas dan berani menyatakan pendiriannya tentang apa jua perkara dan pada masa yang sama, hormat serta patuh pada Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Bagi orang Islam, menjadi satu kewajipan kepada setiap yang layak untuk menjalankan tanggungjawab mengundi. Sayyidina Ali bin Abi Talib RA berkata, “Kezaliman akan terus ada, bukan kerana ramainya orang jahat, tapi kerana diamnya golongan yang baik.”

Secara peribadi, saya akan memilih wakil rakyat yang tinggal di kawasan yang mereka bertanding, atau setidak-tidaknya sering balik ke kawasan, bukannya calon nomad yang hanya muncul lima tahun sekali. Sebagai penutup, buatlah keputusan dengan bijaksana. Selamat memilih!

* Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan