PEGAWAI tentera wanita beragama Islam di Malaysia mempunyai pakaian seragam bertudung.

Begitu juga anggota polis wanita Muslim; mereka segak beruniform dan bertudung dan mampu melakukan tugas lasak tanpa sebarang halangan.

Sejak tahun lepas pula, Scotland secara rasminya membenarkan anggota polis wanita bertudung dan ini turut diikuti Kanada. Sweden dan Norway juga memberi kelonggaran kepada anggota polis wanita Islam untuk berhijab; begitu juga di London dan beberapa negeri di Amerika Syarikat.

Bertudung tidak menghalang wanita untuk bergerak aktif. Atlet Bahrain, Ruqaya al-Ghasra, yang berhijab, memenangi pingat emas dalam acara larian 200 meter di Sukan Asia Doha 2006.

Memakai tudung tidak sedikit pun mengurangkan kelajuannya. Ternyata, pemakaian tudung atau hijab bukanlah faktor yang boleh menjejaskan prestasi seseorang.

Begitu juga atlet menembak kebangsaan, Nur Suryani Mohd Taibi dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, yang meraih emas acara menembak 10 meter air rifle berpasangan wanita semasa kejohanan Sukan Komanwel di India pada 2010.

Mereka membuktikan bahawa menutup aurat bukan penghalang untuk berjaya.

Lalu, sangat menghairankan mengapa kini bertudung pula menjadi isu untuk industri perhotelan di Malaysia, khususnya bagi kakitangan wanita beragama Islam yang berhijab untuk berkhidmat di bahagian khidmat pelanggan (front desk)?

Di manakah rasionalnya peraturan sebegini? Lebih-lebih lagi di Malaysia yang agama Persekutuan atau agama rasminya ialah Islam.

Bagaimana pula dengan hak asasi mereka untuk memakai tudung? Salahkah pekerja hotel bertudung? Bukankah setiap individu berhak memilih gaya hidup dan penampilan masing-masing terutama apabila ia tidak bercanggah dengan nilai murni dan tidak pula boleh menimbulkan kerosakan atau membahayakan masyarakat?

Syabas dan terima kasih kepada Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S Vell Paari, yang mengeluarkan kenyataan bahawa, “Profesionalisme seseorang tidak terjejas hanya kerana seseorang itu memakai tudung bagi mematuhi tuntutan agamanya,” apabila mengulas mengenai isu larangan bertudung bagi wanita Islam yang bekerja di barisan hadapan sektor perhotelan di negara ini.

Malah, beliau mengatakan bahawa dasar ini tidak adil dan satu diskriminasi kepada wanita Islam.

Dua tahun lepas, negara dikejutkan dengan berita seorang jururawat beragama Islam yang diberhentikan kerja serta dikenakan amaran kompaun sebanyak RM5,000 kerana enggan patuh pada kod pakaian jururawat. Insiden ini bukannya berlaku di Zimbabwe tetapi di Malaysia.

Hospital swasta tersebut menyatakan bahawa sejak 1989 peraturan hospital dan etika pemakaian seragam untuk semua kakitangan adalah memakai kemeja berlengan pendek.

Alasan peraturan pemakaian seragam berlengan pendek untuk mengelak jangkitan kuman pada pesakit serta memudahkan kerja juga tidak dapat diterima kerana hospital lain tidak pula mempunyai masalah jangkitan kuman yang disebabkan jururawat mereka bertudung dan berlengan panjang.

Hakikatnya, diskriminasi sebegini sememangnya masih berlaku di Malaysia dan ia tidak terhad di hospital mahupun industri perhotelan sahaja.

Saya pernah menulis di ruangan ini tentang pakaian seragam pramugari yang begitu seksi yang membuatkan kita tertanya sama ada mereka pramugari atau peragawati.

Mengapakah pramugari Islam, terutamanya di syarikat penerbangan milik negara, tidak diberi kelonggaran untuk memakai tudung? Ironinya, mereka perlu memakai tudung dalam penerbangan haji dan tudung tersebut tidak sedikit pun mengganggu tugas mereka sebagai pramugari.

Ini belum lagi mengambil kira keperluan mereka menghidangkan minuman beralkohol untuk penerbangan antarabangsa.

Saya pernah menaiki pesawat Royal Brunei Airlines beberapa tahun lepas. Pramugari mereka tetap kelihatan manis dan cantik menawan walaupun bertudung. Selain tidak menghidangkan arak, Royal Brunei juga mengamalkan bacaan doa sebelum pesawat berlepas.

Hotel lima bintang di Kota Bharu tidak mempunyai masalah dengan pekerja bahagian khidmat pelanggan yang memakai tudung. Malah, undang-undang pihak berkuasa tempatan mewajibkan semua pekerja wanita Islam memakai tudung, walaupun di pasar.

Bukan itu sahaja, wanita yang dipamerkan di papan iklan juga perlu memakai tudung sejajar dasar kerajaan negeri iaitu Membangun Bersama Islam.

Semoga wanita Islam yang menutup aurat atau berkehendak untuk menutup aurat sebagaimana disyariatkan, sama ada ketika atau di luar waktu bekerja, diberi jalan keluar daripada permasalahan mereka.