PERIBAHASA “enggang sama enggang, pipit sama pipit” memberi gambaran manusia biasanya memilih kawan yang sama darjat, taraf atau kedudukan dengannya.

Burung enggang dijadikan ALLAH jauh lebih cantik dan kuat daripada burung pipit. Enggang mampu terbang lebih tinggi, justeru tempat duduk enggang juga di dahan pokok yang jauh lebih tinggi berbanding pipit. Jika berlumba, pipit pasti kalah kerana kepaknya yang pendek membatasi kemampuannya untuk mengatasi enggang.

Ada antara kita yang dilahirkan dalam serba kekurangan. Ada yang lahir dalam keluarga miskin, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang manakala ada dalam kalangan jiran yang mungkin mempunyai beberapa kereta mewah.

Ada juga yang teringin memakai gelang emas atau jam berjenama sebagaimana orang lain yang lebih berada, lupa bahawa ada yang tiada tangan, langsung tidak mampu memakai gelang atau jam.

Walaupun pipit tidak setanding enggang, tidak salah untuknya berjiwa enggang. Saya bersyukur diketemukan dengan seorang sahabat yang berasal dari sebuah kampung kecil di Pasir Putih, Kelantan. Walaupun sudah memiliki ijazah doktor falsafah dan kini sedang mengambil ijazah doktor falsafah yang kedua, insan yang bernama Raja Shamri Raja Hussinini lebih selesa dengan panggilan Abang Raja.

Apa yang menarik tentang Raja Shamri adalah beliau dilahirkan tanpa sebelah kaki manakala jari-jari tangannya melekat menyebabkan beliau sukar bergerak dan sering diejek ketika kecil. Ayah beliau menoreh getah dan beliau mempunyai tujuh adik-beradik. Namun, semua itu tidak menjadi alasan untuk beliau kecundang dalam pelajaran.

Di samping kecemerlangan akademik, beliau juga sangat aktif dalam kepimpinan pelajar walaupun dalam keadaan kekurangan kerana terpaksa menggunakan kaki palsu. Semasa menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam dan di luar negara, Raja Shamri memegang jawatan-jawatan tertinggi beberapa pertubuhan mahasiswa dan mendapat beberapa anugerah. Terkini, beliau dianugerahkan Tokoh Belia Negeri Kelantan oleh Majlis Belia Malaysia serta Tokoh Wira Rakyat oleh Kerajaan Negeri atas jasa dan pengorbanannya menyelaras dan membantu misi banjir.

Untuk mereka yang belum mengenali Raja Shamri, beliau adalah seorang OKU yang mencetuskan fenomena baru dengan mewujudkan Gerakan Gelombang Ketiga atau the Third Force untuk membantu mangsa-mangsa banjir dalam bencana bah kuning pada akhir Disember 2014 dan bantuan pasca banjir yang diteruskan hingga kini. Gerakan beliau yang dinamakan Thirdforce mendapat pendanaan orang ramai (crowdfunding) termasuk dari luar negara.

Dalam kejadian bah kuning yang disifatkan terburuk di negara ini, Raja Shamri berjaya memasuki kawasan-kawasan kritikal dan setiap pergerakan dilaporkan melalui laman Facebooknya yang kini mempunyai 784,000 likes atau pengikut. Bukan itu sahaja, beliau juga mendapat sukarelawan dari jauh seperti Singapura, Brunei, Doha dan Filipina yang datang ke Kelantan semata-mata ingin membantu.

Susulan kejadian banjir besar tersebut, Raja Shamri kini memperluaskan peranan Thirdforce untuk membantu sesiapa sahaja yang dalam kesusahan melalui maklumat yang disampaikan oleh orang awam. Gerakan beliau bertindak sebagai orang tengah yang menerima sumbangan daripada orang ramai dan menyampaikannya kepada mereka yang memerlukan.

Raja Shamri berusaha menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama serta fahaman politik pada skala yang besar. Beliau pantas membantu golongan kurang bernasib baik; bantuan diusahakan dan dihulurkan dengan cepat tanpa banyak protokol dan birokrasi dengan melancarkan gelombang “Jom jadi orang baik”.

Saya tidak akan lupa peristiwa kaki palsu Raja Shamri hanyut dibawa arus ketika beliau berenang untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir semasa banjir besar di Kelantan. Ia membuatkan saya berfikir sejauh manakah penglibatan kita dalam membantu orang yang dalam kesusahan jika dibandingkan dengan insan bergelar Abang Raja ini?

Cabaran dan liku-liku hidup yang telah dilaluinya membuatkan Raja Shamri sentiasa komited untuk membantu mereka yang dalam kesusahan. Beliau tidak menjadikan apa sahaja kekurangan beliau sebagai alasan untuk tidak turun padang membantu golongan yang memerlukan. Kata-kata yang menjadi pegangan hidup beliau adalah “Kejayaan itu dicipta oleh insan biasa yang berusaha luar biasa”.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan