SEBAGAIMANA yang dilakukan oleh pelbagai organisasi, Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) cawangan Kelantan turut menganjurkan program World #QuranHour dan Malaysia #QuranHour setiap tahun sejak ia diperkenalkan beberapa tahun lepas.

Malah, pejabat Macma Kelantan telah menjadi kawasan khas (hotspot) bagi negeri Kelantan. Program yang dipelopori Yayasan Warisan Ummah Ikhlas ini bermatlamat untuk mengajak dan menggalakkan umat Islam supaya membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran yang terkandung dalam al-Quran.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang juga Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk (Dr) Hussamuddin Yaacub, begitu komited mempromosikan program #QuranHour agar disertai oleh seluruh umat Islam, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

Beliau berharap program tersebut menjadi titik permulaan bagi umat Islam membiasakan diri membaca al-Quran sejam setiap hari dengan harapan mereka akhirnya akan benar-benar faham inti pati al-Quran, menghayati serta mengamalkannya yang natijahnya akan menjadikan karakter seseorang itu menjadi lebih baik.

Kita biasa melihat umat Islam yang menunaikan solat tetapi masih tidak menunjukkan akhlak yang baik. Sering kali kita berhadapan mereka yang mengaku Islam tetapi suka memfitnah, mengamalkan rasuah serta bersifat pemarah. Kenapa terjadi sebegitu? Sepatutnya bagi yang memelihara solat, sekiranya mereka benar-benar faham apa yang dibacakan ketika solat, mereka akan mempunyai akhlak yang mulia  serta menjadi orang yang bertanggungjawab, baik, jujur dan amanah.

Antara penyebab berlaku sebaliknya ialah penyakit hati. Cara untuk mengubati penyakit hati ini adalah dengan membaca dan memahami kalam ALLAH. Di sudut yang ekstrem, tindakan militan Daesh yang melakukan keganasan dengan menggunakan nama Islam juga kerana mereka tidak memahami Islam dengan betul dan benar. Kesannya, ia memberikan persepsi buruk ke atas agama Islam daripada kaca mata bukan Islam.

Bak kata Hussamuddin, #Qu-ranHour bukan program biasa tetapi satu gerakan berskala besar dan bersungguh-sungguh untuk mengajak umat Islam agar mula pegang al-Quran, mula buka al-Quran dan mula belek al-Quran.

Katanya lagi, proses ini akan membuka minda dan hati mereka dan akhirnya, ia akan menukarkan operating system dalam hati umat Islam kepada Quranic Operating System. Al-Quran ialah panduan hidup yang lengkap. Masalahnya, kita tidak buka, baca dan faham isi kandungannya.

Saya juga tertarik dengan ucapan Tan Sri Lee Kim Yew, pengasas Cheng Ho Multi Culture Education Trust, di Forum Dialog Muslim – Konfusius, di Jakarta baru-baru ini.

Kata beliau, “Apabila kita sakit atau tidak sihat, kita akan berjumpa dengan doktor dan mengambil ubat. Tetapi, apabila keseluruhan masyarakat sakit, apakah yang perlu kita lakukan?”

Beliau berpendapat ubat yang terbaik ialah al-Quran, yang sesuai bukan sahaja untuk orang Islam malah untuk bukan Islam juga agar mereka memahami ajaran Islam yang sebenar.

Menurut Tan Sri Lee, “Jika dilihat dari sudut sejarah dan ketamadunan, nilai-nilai Islam banyak membantu membaiki akhlak manusia”.

Walaupun bukan seorang Muslim, beliau berminat dengan ajaran Islam dan baginya, Islam ialah agama yang terbaik di dunia. Beliau berkata demikian dalam temu ramah dengan media Indonesia semasa sidang media yang diadakan selepas forum tersebut.

Atas sebab itulah beliau telah menempah mushaf al-Quran sulaman sepanjang 17 meter, yang disulam dengan tangan secara manual oleh komuniti Cina Muslim di wilayah Haiyuan, Ningxia di Tanah Besar China.

Seorang penyulam pakar hanya mampu menyiapkan tiga baris ayat al-Quran sehari kerana prosesnya begitu cermat dan teliti. Al-Quran sulaman sepanjang 17 meter itu mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dan  telah dihadiahkan kepada umat Islam Indonesia melalui Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia, negara berpenduduk Islam terbesar di dunia itu.

Jika seorang penganut Konfusius dapat melihat betapa pentingnya al-Quran, maka amat malanglah bagi kita umat Islam yang tidak membaca, memahami dan mengamalkan ajaran yang terkandung dalam al-Quran. Semoga kebenaran al-Quran dapat mengubati keseluruhan umat manusia di dunia ini, agar mereka beroleh keuntungan dunia dan akhirat, insya-Allah.