BAGI mereka yang bersekolah di sekolah berasrama penuh, terutama bagi mereka yang rumahnya jauh, antara perkara yang paling menyeronokkan adalah pulang ke kampung apabila ada cuti panjang. Lebih menyeronokkan ketika cuti perayaan.

Itulah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh David Ong Chin Chau yang merupakan pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) dari tahun 1988 hingga 1992.

Beliau yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan, sentiasa rindu untuk pulang ke kampung halaman semasa berada di sekolah ala tentera tersebut yang bertempat di Kem Perdana Sungai Besi.

Pemergiannya ke MTD merupakan kali pertama beliau berpisah dengan keluarga.

Tahun pertama di MTD juga amat memeritkan David Ong. Latihan ketenteraan, aktiviti fizikal dan hukuman ala tentera amat memenatkan rohani dan jasmani beliau. Ada juga beberapa pelajar yang tidak tahan dan memohon untuk keluar dari MTD.

Bagi David Ong, beliau hanya ingin pulang bercuti dan merehatkan minda di rumahnya bersama keluarga.

Kebetulan seorang lagi sahabat baik beliau, Yap Guan Kheng, yang turut belajar di MTD, berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat. Mereka akan sama-sama menaiki bas di Hentian Putra untuk pulang ke Kota Bharu.

David Ong turut merasai kemeriahan suasana hari raya apabila Ramadan menghampiri penghujungnya.

Lebih manis lagi, David Ong dan Yap turut cuba berpuasa; mereka sama-sama bersahur dan berbuka puasa bersama rakan-rakan Islam di dewan makan untuk menjiwai pengalaman berpuasa.

Aktiviti bersukan dan latihan ketenteraan masih diteruskan pada bulan puasa dan ini merupakan cabaran besar buat David Ong dan Yap yang ketika itu baru pertama kali berpuasa sepanjang hidup mereka.Menjadi amalan di MTD, sebelum balik bercuti, semua pelajar tingkatan satu akan dikumpulkan oleh pelajar senior untuk pertandingan lagu hari raya.

Antara lagu yang sering menjadi pilihan ialah lagu Selamat Hari Raya (Saloma), Dendang Perantau (P Ramlee) dan Menjelang Hari Raya (DJ Dave).

Ada juga yang menyanyikan lagu duet Suasana Hari Raya (Anuar Zain dan Ellina).

Oleh kerana David Ong tidak pernah menyanyikan lagu raya dan beliau juga sebelumnya bersekolah di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina, lagu raya agak asing bagi beliau.

 Ketika itu, tiada lagi enjin carian Google untuk mendapatkan rujukan. Yang ada hanyalah radio dan pada waktu itu, antara lagu yang sering berkumandang di corong radio ialah lagu iklan Hari Raya EON (Ucapan Selamat Hari Raya dari EON untuk semua) yang dinyanyikan oleh Jamal Abdillah dan Raja Ema.

Maka, pada malam itu, beliau telah menyanyikan lagu tersebut dengan penuh perasaan.

Ramai yang mentertawakan beliau, termasuklah para senior yang menjadi juri pertandingan tidak rasmi tersebut.

Walaupun tidak memenuhi kriteria lagu, beliau diberi pelepasan dan pelajar tingkatan satu yang lain diberi amaran agar tidak menyanyikan lagu tersebut lagi.

 Bagaimanapun, mereka boleh mengulang lagu lain yang sudah dinyanyikan.

Di MTD, walaupun pelajar baharu sering disuruh melakukan perkara yang pelik atau kelihatan bodoh, tujuannya adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara pelajar tingkatan satu dengan senior di tingkatan empat dan lima.

Jika sekolah lain mungkin biasanya melakukan program orientasi selama dua minggu atau sebulan untuk pelajar baharu, orientasi tidak rasmi di MTD adalah selama satu tahun.

Proses inilah yang mengeratkan persahabatan antara pelajar junior dan senior.

Kesannya dapat dilihat setelah mereka menamatkan pengajian; persahabatan yang terbina tetap utuh dan akrab.

Setiap kali teringatkan kenangan tersebut, atau terdengar lagu iklan hari raya EON, David Ong akan tersenyum sendiri.

Setiap daripada kita pasti mempunyai pengalaman-pengalaman yang tidak dapat dilupakan, terutama ketika masih bergelar pelajar.

Lagu iklan hari raya EON ini akan sentiasa terpahat dalam ingatan David Ong. Kini tidak banyak lagu iklan raya seumpama itu.

Kepada perantau yang pulang berhari raya, berhati-hatilah ketika memandu untuk kembali ke ibu kota. Ingatlah orang tersayang. Semoga selamat sampai ke destinasi. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

* Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan