KITA sedia maklum perubahan musim dan fenomena alam mempengaruhi keadaan cuaca negara. Monsun timur laut biasanya akan bermula pada November.

Sepanjang tempoh monsun timur laut, yang dikenali sebagai musim tengkujuh, negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, terutamanya Kelantan dan Terengganu, akan mengalami keadaan cuaca yang lembap.

Taburan hujan biasanya dijangka meningkat setiap tibanya musim tengkujuh.

Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan cuaca yang lembap di Pantai Timur Semenanjung Malaysia akan berterusan hingga Disember 2017. Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor dijangka menerima hujan melebihi 500 mm. Manakala negeri-negeri lain dijangka menerima hujan pada paras yang normal bagi Semenanjung Malaysia, iaitu antara 150 mm hingga 350 mm.

Taburan hujan untuk kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dijangka akan kembali normal dengan jumlah hujan antara 50 mm hingga 300 mm dari Januari hingga Februari 2018.

Kebanyakan tempat di Sarawak pula dijangka menerima curahan hujan pada paras normal antara 350 mm hingga 500 mm pada November dan Disember 2017.

Curahan hujan yang normal ini dijangka berterusan hingga Januari dan Februari 2018 dengan julat hujan antara 150 mm hingga 500 mm. Begitu juga Sabah yang dijangka menerima curahan hujan pada paras normal antara 200 mm hingga 500 mm untuk November dan Disember 2017.

Syabas saya ucapkan kepada Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Sukarelawan Rakyat Kelantan (MeSRA) yang mengambil inisiatif untuk memberikan peringatan kepada rakyat tentang persediaan menghadapi banjir.

Begitu juga Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang sejak beberapa bulan lepas sudah mula memberikan latihan persediaan kepada agensi berkaitan, termasuk lebih 100 NGO yang berdaftar dengan Nadma, dalam membantu menguruskan bantuan ketika banjir.

Sebagaimana api yang ketika kecil menjadi kawan dan bila besar menjadi lawan, begitu juga banjir. Banjir di Pantai Timur, terutamanya Kelantan, sudah dianggap umpama pesta.

Ramai yang akan keluar bersiar-siar di bandar untuk melihat air yang sedang naik, mungkin ke paras betis atau lutut. Saya masih ingat ketika kecil, kami akan menggunakan tiub tayar lori yang sudah siap ditampal bahagian bocornya sebagai pelampung. Terasa begitu seronok mempunyai 'kolam mandi' yang amat besar untuk bermain air.

Ketika banjir juga kami akan memasang pukat di tepi jalan atau tali air untuk menangkap ikan puyu, ikan haruan dan ikan sepat. Setelah banjir surut pula, kami akan membuat longkang laluan air dan memasang bubu pada laluan air tersebut.

Pelbagai jenis ikan akan terperangkap dalam bubu tersebut; boleh dijadikan lauk untuk dimakan seisi keluarga. Musim hujan sebegini, jika dapat makan ubi kayu rebus yang dicicah dengan kelapa parut bergula, memang menaikkan selera.

Namun begitu, dengan aktiviti pembangunan, pergerakan muka bumi dan perubahan iklim global, banjir sekarang tidak sama seperti zaman dahulu. Ibu bapa sekarang perlu memastikan anak-anak tidak bermain air berhampiran kawasan sungai, parit atau longkang kerana dibimbangi akan dihanyutkan air deras.

Jika dulu kita mungkin hanya berjaga-jaga agar tidak terpijak ranting kayu tetapi sekarang, kita perlu lebih berhati-hati kerana air banjir juga menghanyutkan sampah sarap dan kemungkinan juga besi berkarat atau papan berpaku. Jika terpijak, bukan sahaja luka tetapi boleh menyebabkan jangkitan kuman yang lebih memudaratkan.

Orang ramai juga perlu berpindah segera jika mendapat arahan berbuat demikian daripada pihak berkuasa. Simpan barangan berharga di tempat tinggi dan pastikan pintu dan tingkap dikunci sebelum meninggalkan rumah. Juga jangan lupa membawa dokumen peribadi, ubat-ubatan, pakaian asas dan ibadah, kit kebersihan, air mineral, dan makanan asas jika ke tempat perpindahan.

Umat Islam yang menghadapi musibah banjir bolehlah mengamalkan doa seperti yang diriwayatkan dalam Hadis Riwayat Muslim, nombor 918 yang bermaksud:

“Sesungguhnya kami milik ALLAH dan kepada-Nya kami akan kembali (di hari Kiamat). Ya ALLAH! berilah pahala kepadaku dan gantilah untukku dengan yang lebih baik (dari musibahku).”

Ambil langkah sewajarnya dan berhati-hatilah menghadapi banjir.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BEBERAPA hari lagi masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Lunar yang juga dikenali sebagai Tahun Baharu Cina. Sebagaimana biasa, akan kedengaran ungkapan Gong Xi atau Gong Xi Fa Cai di sana sini.
  • MASYARAKAT kita sudah terbiasa dengan pemi-kiran bahawa pelajar perlu belajar rajin-rajin, masuk universiti, dapatkan segulung ijazah dan apabila selesai pengajian, dapat kerja yang baik-baik.
  • ALLAHYARHAM Abdul Rahman bin Othman, yang lebih terkenal dengan nama Tok Selehor, merupakan seorang ulama kelahiran Kelantan yang zuhud dan warak.
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?
  • MINGGU ini bermulanya penggal persekolahan bagi tahun 2018. Barangkali, ramai anak yang mengeluh kerana perlu kembali bersiap awal pagi untuk ke sekolah, setelah lama bercuti.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.