PERKATAAN on call biasanya digunakan untuk kerja lebih masa bagi para doktor, apabila mereka ditugaskan untuk terus bekerja selepas waktu kerja atau waktu operasi yang biasa, hinggalah keesokan paginya.

Selesai on call semalaman, mereka akan bekerja seperti biasa pula keesokannya. Ini bermakna doktor yang on call akan bekerja selama 24 jam atau lebih.

Sistem on call ini penting kerana perlunya sentiasa ada doktor di hospital, tidak kira siang atau malam, atau hujung minggu,atau pada bila-bila masa sekalipun termasuk cuti umum, untuk memberikan khidmat terbaik kepada pesakit yang berada di dalam wad.

Tugas doktor on calll adalah membuat ward round bersama doktor pakar untuk pesakit yang memerlukan pemantauan rapi. Pemeriksaan ini mungkin setiap beberapa jam, tidak kira siang atau malam.

Mereka juga perlu membuat catatan dalam fail pesakit, serta melakukan pemeriksaan segera jika pesakit tiba-tiba demam mendadak atau susah bernafas dan sebagainya.

Dalam dunia yang kian mencabar, sistem on call ini mungkin boleh diaplikasi dalam bidang dakwah. Saya agak kerap membaca kecaman mahupun luahan kekecewaan masyarakat umum terhadap jabatan agama dan NGO Islam di media sosial.

Ramai yang tidak puas hati kerana acap kali mereka diminta untuk datang berjumpa pihak terbabit pada waktu pejabat. Mungkin perlu juga ada pendakwah yang on call.

Adakah mereka ini langsung tidak boleh kerja lebih masa? Kenapa hanya boleh berjumpa pada waktu pejabat sahaja?

Itulah antara persoalan yang sering ditimbulkan. Secara umumnya, memang mereka mempunyai waktu kerja atau waktu pejabat yang telah ditetapkan, sebagaimana biasa.

Pun begitu, seperti orang lain, mereka juga mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga seperti mengambil anak di sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak, memasak untuk ahli keluarga dan mungkin juga mereka mempunyai komitmen lain yang perlu diurus atau dilaksanakan selepas waktu kerja.

Bagaimanapun, saya mengenali ramai pekerja jabatan agama dan NGO Islam yang bekerja tidak kira masa; malam dan hujung minggu tetap keluar semata-mata untuk menyantuni golongan sasaran.

Ahli jawatankuasa atau sukarelawan NGO Islam juga rata-ratanya mempunyai kerja hakiki masing-masing dan mereka melakukan aktiviti dakwah dan kebajikan selepas waktu kerja serta pada hujung minggu.

Jika begitu, kenapa ramai yang memerlukan khidmat atau bantuan pendakwah berasa terabai?

Ini kerana bilangan golongan pendakwah tidak dapat menampung keperluan atau permintaan golongan sasaran yang semakin tinggi sekarang.

Pendakwah NGO juga terikat dengan kerja hakiki yang ada kalanya memerlukan mereka pergi berkursus atau bekerja di lapangan dan berada di luar kawasan. Maka, kita perlu lebih ramai pendakwah sepenuh masa, yang ketika ini amat sedikit bilangannya.

Amat sedikit yang sanggup menjadi pendakwah sepenuh masa yang tidak menjanjikan pendapatan stabil apatah lagi kemewahan.

Atas sebab inilah saya amat kagum dengan beberapa sahabat saya yang sanggup meninggalkan kerja yang memberikan gaji yang lumayan semata-mata untuk menjadi pendakwah sepenuh masa.

Antaranya, Ustaz Fitri Abdullah yang dulunya merupakan Pengurus Akaun Corporate Banking di Maybank.

Begitu juga saudara Kamarudin Abdullah dari Islamic Propagation Society International (IPSI), Lim Jooi Soon dari Interactive Dakwah Training (IDT), Firdaus Wong Wai Hung dari Multiracial Reverted Muslims (MRM), Shah Kirit Kakulal Govindji dari Global Unity Network (UNITY) dan Muhammad Michael dari International Islamic Information & Dakwah Centre (IIDAC).

Terbaharu, saudara Muhammad Roger Arnold telah menubuhkan Inspirasi Mualaf untuk berdakwah dan membantu golongan mualaf sepenuh masa.

Ada lagi yang tidak dapat saya tulis semuanya di sini. Mereka semua merupakan pendakwah on call yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat. Berapa ramaikah antara kita yang sanggup berkorban seperti mereka?

Untuk sahabat-sahabatku yang berjuang pada jalan dakwah semata-mata kerana ALLAH SWT, semoga kebaikan kalian dalam menjalankan tugas dengan ikhlas dibalas dengan ganjaran pahala yang besar serta kebaikan di dunia dan akhirat.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan