DALAM meniti kehidupan, banyak perkara yang ditempuhi, sama ada duka atau suka. Perjalanan hidup ibarat sebuah perjuangan yang terpaksa melalui jalan-jalan yang berliku-liku, berbukit dan bergunung-ganang, ke lembah dan mengharungi lautan yang penuh cabaran. Zaman remaja adalah pengembaraan yang paling menyeronokkan, hidup tanpa had disebabkan tiada tanggungjawab yang dipikul.

Pada saat kenakalan mula bertapak, pengalaman bersama kawan-kawan seangkatan di bangku sekolah sukar dilupakan. Masih segar dalam ingatan Salih Ali, kenangan kira-kira 40 tahun lalu, ketika melaporkan diri di Maktab Tentera Diraja (MTD).

Ketika itu, pegawai bertugas memberi pesanan, “Kat sini kau orang boleh buat apa saja. Kalau kena tangkap, baru salah.”

Bermulalah kehidupan dengan penuh tanggungjawab, iaitu kalau silap, tanggung sendiri. Mencuci tandas dan bilik sendiri mendidik mereka untuk berasa rendah diri dan bertanggungjawab.

Slogan Berkhidmat Memimpin melatih pelajarnya agar patuh pada arahan untuk berkhidmat sebelum mampu menjadi seorang pemimpin.

Untuk menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab, skil kepimpinan boleh dibentuk dengan pendedahan kepada pengalaman sebagai seorang yang dipimpin. Dalam kata lain, pemimpin yang baik bermula sebagai pengikut yang baik.

Mengharungi kehidupan dengan rakan-rakan yang berbeza cara hidup dan budaya, sama-sama menerima keperitan dan sama-sama bergelak ketawa, telah berjaya mengeratkan semangat berpasukan dan saling melindungi sesama mereka. Namun, tempoh dua tahun di MTD terasa begitu singkat dan mereka terpaksa berpisah dengan haluan masing-masing.

Ada yang menjalani latihan untuk ditauliahkan sebagai pegawai tentera, ada yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti tempatan, dan ada yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Kesibukan masing-masing dalam mengejar cita-cita menyebabkan hubungan mereka terputus. Pada masa itu, belum ada media sosial mahupun mel elektronik. Yang ada hanya kiriman surat melalui pos biasa, dengan menggunakan setem, yang agak sukar untuk dilakukan, lebih-lebih lagi bagi golongan lelaki.

Pada waktu muda, tumpuan hanya pada latihan dan pengajian. Selepas tamat pengajian dan latihan, sibuk pula dengan kerjaya masing-masing.

Perkahwinan menambahkan lagi kesibukan dengan tugas dan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak, juga keluarga sendiri dan mentua. Tanggungjawab yang besar ini menyebabkan waktu lapang berkurangan.

Setelah anak-anak membesar dan tamat pengajian menengah barulah terasa ada ruang dan kekosongan. Kekosongan ini diisi dengan menghubungi sahabat-sahabat yang telah sekian lama ditinggalkan.

Pertemuan semula dengan insan-insan yang pernah hidup sebumbung satu ketika dahulu ini biasanya bermula dengan cerita-cerita zaman sekolah yang membuatkan mereka tak kering gusi.

Lalu bermulalah episod mengumpulkan kawan-kawan lama yang lain. Persahabatan yang telah terputus kembali akrab, yang sakit diziarahi, yang susah dibantu, dan yang telah pergi didoakan, semoga mereka aman di sana.

Sebagai acara kemuncak tahunan, Persatuan Bekas Putera MTD atau Old Putera Association (OPA) akan menganjurkan Majlis Makan Malam dan secara tradisinya kumpulan yang menyambut ulang tahun yang ke-40 meninggalkan MTD akan diberi peluang membuat persembahan pada malam tersebut.

Maka, tahun ini adalah giliran kumpulan pelajar yang masuk pada 1977, atau Old Putera 77 (OP 77), untuk membuat persembahan. OP 77 juga dikenali sebagai Silver Jubilee Intake kerana tahun 1977 adalah tahun perayaan jubli perak bagi MTD.

Seperti biasa, majlis makan malam tahunan kali ini, yang akan diadakan pada 5 Ogos 2017, bukan sahaja bakal mengumpulkan kumpulan OP 77 tetapi juga  mana-mana bekas pelajar yang berkesempatan untuk sama-sama berkumpul bersama rakan-rakan mereka.

Majlis tahun ini yang akan diadakan di Hotel One World,  Bandar Utama akan diserikan dengan kehadiran TYT Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud. Kemuncak majlis makan malam adalah penyampaian Anugerah Bekas Putera Terbaik.

Bertemakan Sebuah Perjalanan, majlis kali ini akan menyingkap perjalanan kehidupan bekas putera dari selepas mereka meninggalkan MTD sehinggalah mereka berjaya hari ini.

Ucapan Salih Ali yang kini merupakan pengurus OPA kepada rakan-rakan OP semua, "Jumpa anda di sana!”

*Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • RAMAI yang teruja apabila mendengar berita mengenai sembilan kanak-kanak Tionghoa yang menyertai program Khatan Perdana di Pejabat Pilihan Raya BN, Dun Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan. Program tersebut disertai seramai 80 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.
  • HUJAN mencurah-curah di tiga negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia sejak minggu lepas. Kita sedia maklum, hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari boleh mengakibatkan banjir, sama ada pada skala kecil atau besar.
  • ANTARA kisah yang tersimpan dalam lipatan sejarah, adalah tentang seorang putera raja bernama Siddhartha Gautama yang lahir pada 623 sebelum Masihi di Lumbini, Kapilavasthu, Nepal.
  • PEGAWAI tentera wanita beragama Islam di Malaysia mempunyai pakaian seragam bertudung.
  • SKIM Ponzi adalah salah satu skim penipuan yang mendapat namanya rentetan penipuan Charles Ponzi terhadap rakyat Amerika yang melibatkan wang sejumlah AS$20 juta pada 1920. Ponzi menawarkan pulangan jangka pendek yang luar biasa tinggi untuk menarik pelabur.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.