PERANG poster dan kempen pilihan raya kini semakin hangat dengan tarikh hari mengundi pada esok hari. Calon-calon pilihan raya semakin giat berjumpa pengundi dan berceramah demi memperkenalkan diri serta menonjolkan manifesto masing-masing.

PRU14 ini dikatakan yang paling sengit dengan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru melibatkan tiga blok pakatan politik terdiri daripada Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera.

Namun, artikel kali ini bukanlah mengenai pilihan raya. Justeru, saya tidak ingin menyentuh tentang peluang mana-mana calon atau blok pakatan.  

Peluang yang hendak saya perkatakan di sini adalah peluang untuk melanjutkan pelajaran bagi mereka yang sudah berumur, atau sudah berkerjaya, atau memiliki komitmen keluarga, tetapi masih bersemangat untuk menuntut ilmu dan seterusnya menggenggam segulung ijazah.

Pada saat calon-calon pilihan raya sibuk berkempen demi meraih undi, seramai 136 perwakilan Persatuan Cina Muslim Malaysia, atau Malaysian Chinese Muslim Association (Macma), telah berkampung di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan pada hari Jumaat dan Sabtu yang lepas untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Macma peringkat kebangsaan kali ke-24. Perwakilan datang dari seluruh negara; dari Perlis hingga ke Johor, juga Sabah dan Sarawak.

Antara acara kemuncak mesyuarat agung tersebut, selain daripada majlis makan malam sempena perasmian mesyuarat yang disempurnakan oleh YBM Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, adalah acara menandatangani memorandum persefahaman antara Macma dengan Open University Malaysia (OUM). Macma diwakili oleh presidennya, Profesor Dr Taufiq Yap Yun Hin manakala OUM diwakili oleh Puan Kamariah Mohd Noor, Naib Presiden (Operasi & Pengalaman Pembelajaran) OUM.

Memorandum persefahaman tersebut ditandatangani sebagai tanda kerjasama kedua-dua pihak dalam membantu ahli-ahli Macma yang layak, dari seluruh Malaysia, untuk menyambung pengajian di OUM. Mereka yang layak juga mendapat diskaun istimewa ke atas yuran pengajian.

Selain itu, jika cukup ramai ahli Macma yang berdaftar sebagai pelajar, OUM juga akan memberikan biasiswa kepada ahli Macma yang terpilih. Inisiatif ini diharap dapat memberikan galakan kepada ahli-ahli Macma untuk menyambung pengajian di OUM, seterusnya melahirkan lebih ramai ahli yang berilmu dan berpendidikan tinggi.

Ramai yang tidak tahu bahawa OUM yang merupakan sebuah universiti swasta yang ditubuhkan pada 2002, dimiliki dan dikendalikan oleh Multimedia Technology Enhancement Operations (Meteor) Sdn Bhd, konsortium kepada 11 universiti awam di Malaysia.

Penubuhan OUM merupakan salah satu cara untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk terus menuntut ilmu walaupun mempunyai kekangan masa kerana OUM menggunakan teknologi moden untuk menyampaikan ilmu bagi membolehkan pembelajaran yang fleksibel dengan harga berpatutan.

Adakah mereka yang hanya memiliki kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Rendah Pelajaran (SRP), biasanya berpeluang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda?

Inilah keunikan OUM. Sesiapa yang berumur 21 tahun ke atas dan hanya ada PMR atau SRP tetapi mempunyai pengalaman kerja, layak mengikuti program Ijazah Sarjana Muda di OUM sekiranya lulus ujian Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) yang diadakan di OUM. Peluang melanjutkan pelajaran peringkat ijazah terbuka luas bagi mereka yang dahagakan ilmu tetapi tidak berpeluang atau terlepas peluang satu ketika dahulu.

Staf Macma Kelantan sepenuh masa, Rasyidah Kang berpeluang menyambung pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Pengajian Islam (Pengurusan Islam) dan kini hampir tamat pengajian semester satu.

Setiausaha Kehormat Macma Kelantan, merangkap guru menjahit dan guru bahasa Mandarin, Siti Nur Aini Lin, baru saja diberikan surat tawaran untuk mengikuti pengajian yang sama selepas lulus ujian APEL baru-baru ini.

Ahli-ahli Macma dari cawangan lain di seluruh Malaysia diseru mengambil peluang ini untuk meningkatkan ilmu masing-masing, sejajar dengan salah satu objektif Macma, iaitu melahirkan golongan Cina Muslim sebagai umat terbaik (khairu ummah).

* Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Jika sudah mempunyai ijazah sekalipun, tidak salah memiliki ijazah kedua dalam bidang Pengajian Islam dari OUM. Semoga dengan usaha ini, tiada lagi istilah mualaf seumur hidup yang menjadi stigma kepada golongan Muslim bermata sepet.