SABAN tahun, lebih 5,000 pemohon dari seluruh Malaysia menghantar permohonan dalam talian untuk memasuki Maktab Tentera Diraja (MTD) yang sinonim dengan kecemerlangan akademik, disiplin, kokurikulum dan sukan.

MTD merupakan satu-satunya Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang bertaraf Sekolah Premier di bawah Kementerian Pertahanan. Daripada ribuan yang memohon, hanya 600 pelajar cemerlang PT3 yang terpilih untuk menghadiri temu duga bagi merebut 200 tempat sebagai pelajar tingkatan empat di MTD.

Ujian kelayakan kemasukan ke MTD bukan sekadar ujian bertulis sebagai saringan yang diikuti dengan temu duga, tetapi calon-calon turut diuji dengan ujian kecergasan asas iaitu larian 2.4 km, larian ulang alik, lompat jauh, mendagu dan bangkit tubi.

Selain perlu melepasi syarat minimum 7A dalam peperiksaan PT3, calon juga harus lulus pemeriksaan perubatan serta tidak rabun warna. Walau bagaimanapun, mereka yang berkaca mata boleh mendapat pelepasan.

Pelajar di MTD terdiri daripada remaja lelaki warganegara Malaysia pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Siam, Portugis, Serani, Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak. Ini menjadikan sekolah tersebut sebagai satu platform terbaik untuk merapatkan hubungan antara kaum dan seterusnya me­nguatkan perpaduan di Malaysia.

Walau bagaimanapun, bilangan pelajar Cina di MTD pada hari ini semakin berkurangan. Bilangan mereka malah lebih kecil jika dibandingkan dengan jumlah pelajar ­India, Siam dan Orang Asli. Keadaan ini jelas tidak mencerminkan komposisi kaum di Malaysia.

Menurut Pegawai Pendidikan MTD, Mejar Khairil Hakimin Ismail, pihak MTD telah menetapkan minimum 20 peratus untuk jumlah pelajar bukan Bumiputera. Menurutnya lagi, pengajian di MTD ialah pembelajaran yang berasaskan di­siplin ketat dan cara hidup ala ketenteraan.

Ia diserlahkan lagi dengan keutamaan aspek kepimpinan dan kecemerlangan dalam setiap ­bidang, sekali gus menjadikan MTD tempat melahirkan pemimpin-­pemimpin masa hadapan di Malaysia yang pelbagai kaum ini.

Demi menambah bilangan pelajar Cina yang memohon memasuki MTD, pihak MTD yang diketuai oleh Mejar Khairil Hakimin telah membuat beberapa siri jerayawara untuk memperkenalkan MTD di  sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina.

Baru-baru ini, mereka telah menyampaikan taklimat tentang MTD kepada lebih 100 pelajar tingkatan tiga dan juga lebih 100 pelajar tingkatan dua dalam dua sesi yang berlainan di Sekolah Menengah ­Jenis Kebangsaan Chung Hwa di Kota Bharu, Kelantan.

Ramai ibu bapa yang takut untuk menghantar anak mereka ke MTD  kerana bimbangkan kemampuan anak mereka untuk hidup berdikari di asrama penuh, apatah lagi sekolah yang mempunyai latihan ketente­raan. Ini lebih ketara bagi mereka yang mempunyai seorang atau dua orang anak sahaja.

Menurut seorang bekas pelajar MTD, Lim Ee Van, anak-anak lelaki harus dibawa keluar daripada zon selesa untuk membolehkannya menjadi seorang lelaki yang hebat. Pelajar di MTD dilatih untuk berdikari dan lebih berdisiplin pada tahap yang lebih tinggi berbanding sekolah biasa.

Atas sebab inilah Laksamana Pertama Chan Peng Cheong yang merupakan bekas pelajar MTD, turut menghantar  ketiga-tiga anak lelaki beliau ke MTD. Begitu juga dua beradik kembar, Alex Hwong dan Jeff Hwong, kedua-duanya bekas pelajar MTD. Anak kembar Alex Hwong pula, Hwong Yie Hong dan Hwong Yie Yang, juga berjaya ke MTD. Sebelum itu, dua abang mereka turut memasuki MTD.

Menurut Alex Hwong, beliau tidak risau untuk menghantar kesemua empat anak lelaki beliau ke MTD kerana percaya mereka akan dikawal dengan sempurna dan bebas daripada gejala sosial. Selain mampu mendisiplinkan pelajar, latihan di MTD juga berupaya mewujudkan solidariti.

Seperti yang pernah saya kongsikan dahulu, di MTD, selain kos makan dan minum, kos buku, alat tulis, pakaian seragam dan sukan, semuanya ditanggung oleh kerajaan. Malah, semua pelajar MTD diberi elaun RM100 sebulan sepanjang tempoh pendidikan mereka. Perbelanjaan untuk segala aktiviti di MTD juga ditaja oleh kerajaan.

Jerayawara yang diadakan oleh pihak MTD diharapkan dapat membantu meningkatkan kesedaran dan minat dalam kalangan pelajar lelaki Cina untuk meneruskan pendidikan menengah di MTD dan semoga bilangan pelajar Cina di MTD akan bertambah pada masa hadapan.

*Penulis adalah pengerusi Macma Kelantan dan Ajk Perkim KelantanSinar Harian