PERCUTIAN ke Kelantan tidak lengkap jika tidak mencuba sarapan di kedai yang popular dalam kalangan penduduk tempatan. Jika suatu ketika dahulu, kedai nasi kerabu atau nasi berlauk menjadi pilihan, kini kedai ala kopitiam pula yang sering dikunjungi.

Antara kedai sarapan yang popular ialah Kopitiam Kita yang terletak di Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Kedai ini menjadi terkenal kerana ia menghimpunkan semua jenis nasi berlauk Kelantan yang popular seperti Nasi Air Dingin, Nasi Kak Wok, Nasi Tumpang Kubang Pasu, nasi lemak dan sebagainya.

Kopitiam Kita merupakan pusat sehenti untuk segala jenis makanan sarapan yang popular di Kelantan. Menu lain yang disediakan ialah Roti Titab, menu istimewa kedai tersebut dengan telur separuh masak diletakkan di bahagian atas dan tengah roti bakar yang dibuat ala french toast. Kopitiam Kita sering dikunjungi ramai golongan VIP, tokoh politik, ahli sukan, dan tidak kurang juga artis. Gambar-gambar mereka dipampangkan di dinding kedai sebagai salah satu strategi pemasaran.

Satu lagi kopitiam yang popular di Kelantan dari dahulu lagi ialah kopitiam White House yang terletak berhadapan dengan Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Kedainya kecil dan papan tanda juga kecil tetapi sentiasa penuh. Tidak asing lagi untuk melihat pengunjung beratur menunggu kedai ini dibuka seawal pukul 8 pagi. Namun begitu, waktu operasi dan penutupan kedai juga tidak menentu. Antara menu popular kopitiam White House ialah nasi dagang, nasi berlauk, roti toast, telur separuh masak dan kopi hainan yang pekat dan beraroma harum.

Perkataan kopitiam merupakan gabungan perkataan kopi dalam bahasa Melayu dan tiam yang bermaksud kedai dalam bahasa Hokkien. Maka kopitiam bermaksud kedai kopi. Kopitiam biasanya menyajikan makanan seperti telur, roti bakar bersama kaya serta minuman seperti kopi, teh dan milo. Bagaimanapun, dengan peredaran zaman, kopitiam sekarang turut menghidangkan makanan lain mengikut selera setempat.

Kopitiam bukan sahaja terdapat di Kelantan tetapi di merata tempat di Malaysia. Satu ketika dahulu, ia merujuk kepada kedai kopi Cina yang lazimnya hanya menawarkan sajian masakan orang Cina. Uniknya, kedai kopi yang kebanyakan dimiliki oleh masyarakat Cina ini hanya menyediakan minuman, manakala makanan seperti nasi bungkus diambil daripada orang Melayu atau Cina Muslim. Maka tidak asing untuk melihat masyarakat berbilang kaum makan bersama-sama di kopitiam.

Saya percaya tempat-tempat lain juga mempunyai kedai sebegini.

Kebelakangan ini, telah muncul jenis kopitiam baharu dengan imej restoran segera dan agak eksklusif. Trend kopitiam baharu ini terhasil setelah meletusnya fenomena budaya minum kopi yang dibawa oleh rangkaian kedai kopi antarabangsa seperti Starbucks dan The Coffee Bean & Tea Leaf.

Harga segelas kopi di francais antarabangsa agak tinggi, maka francais kopitiam tempatan yang menawarkan harga yang lebih berpatutan menjadi pilihan. Kini, kedai ala kopitiam muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan, antaranya kopitiam Uncle Lim, Uncle Chow, D’Klasik, Old Town White Coffee dan sebagainya.

Jadi kita lihat kopitiam telah seiring dengan kedai mamak sebagai  tempat pelbagai kaum menjamu selera. Jika sebelum ini, orang ramai pergi ke kopitiam untuk mendapatkan hidangan ringkas secawan kopi hitam pekat bersama roti kahwin, iaitu roti bakar disapu mentega dan kaya, kini kebanyakan kopitiam turut menampilkan pelbagai pilihan makanan Melayu, makanan Baba Nyonya mahupun makanan Mamak.

Pengunjung kopitiam yang terdiri daripada pelbagai kaum menghidupkan suasana harmoni, di mana ada kalanya mereka boleh makan di meja yang sama walaupun tidak mengenali antara satu sama lain. Keadaan sebegini simbolik kepada perpaduan. Dengan gabungan cita rasa pelbagai kaum di Malaysia, konsep kopitiam kontemporari umpama kedai 1Malaysia.

Dengan cabaran hidup masa kini, semoga kita rakyat Malaysia bukan sekadar gemar menjamu selera di mana-mana rangkaian kopitiam tetapi sama-sama berusaha memupuk semangat muhibah antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KITA sering mendengar pepatah orang tua-tua, hidup ini biarlah menjadi benih yang baik. Benih yang baik, jika jatuh ke laut, akan menjadi pulau. Ia bermaksud, orang yang berketu-runan baik, ke mana pun dia pergi, akan sentiasa menjadi baik.
  • BEBERAPA hari lagi masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Lunar yang juga dikenali sebagai Tahun Baharu Cina. Sebagaimana biasa, akan kedengaran ungkapan Gong Xi atau Gong Xi Fa Cai di sana sini.
  • MASYARAKAT kita sudah terbiasa dengan pemi-kiran bahawa pelajar perlu belajar rajin-rajin, masuk universiti, dapatkan segulung ijazah dan apabila selesai pengajian, dapat kerja yang baik-baik.
  • ALLAHYARHAM Abdul Rahman bin Othman, yang lebih terkenal dengan nama Tok Selehor, merupakan seorang ulama kelahiran Kelantan yang zuhud dan warak.
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?