KITA sering kali tidak menghargai dan kurang mensyukuri nikmat sihat sehinggalah kita sakit. Kita mengambil mudah penjagaan kesihatan. Apabila sakit, barulah kita sedar betapa tingginya nilai kesihatan dalam hidup kita.

Ada yang terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk kos perubatan semata-mata ingin kembali sihat seperti sedia kala.

Sesungguhnya nikmat yang ALLAH berikan kepada kita tidak terhitung banyaknya. Nikmat mata membolehkan kita melihat, nikmat kaki memampukan kita berjalan, nikmat mulut untuk makan, dan pelbagai nikmat lain yang tidak mungkin akan dapat disenaraikan semuanya. Apabila sudah sakit, nampak ayam KFC depan mata pun tidak menyelerakan.

Beberapa bulan yang lepas, saya telah diketemukan kembali dengan sahabat lama yang sama-sama bersekolah rendah di SRK Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan. Saya sangat gembira apabila mendengar Ee yang juga berketurunan Tionghoa telah mendapat hidayah ALLAH SWT dan kini bergelar Nur’ain Khalisa Teo. Tetapi, pada masa yang sama, saya juga amat sedih kerana beliau sudah terlantar di Hospital Raja Perempuan Zainab II hampir lima bulan.

Sebelum jatuh sakit, Nur’ain dan suaminya, Iqbal, mengusahakan restoran yang dinamakan D’Nangka di Bukit Katil, Melaka. Sejak kesihatan Nur’ain semakin merosot, mereka tidak mampu lagi menjalankan perniagaan dan telah kembali ke Kelantan kerana Iqbal perlu menjaga Nur’ain sepenuh masa di hospital, bergilir dengan ibu kandung Nur’ain, di samping menjaga empat orang anak mereka yang masih kecil.

Mujurlah pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pantas bertindak dengan menghantar pegawai untuk menyiasat dan memberikan bantuan tunai segera sebanyak RM3,000 dalam tempoh dua hari setelah siasatan dilakukan. Begitu juga beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu lain yang turut sama memberikan sumbangan untuk meringankan beban mereka.

Setiap kita tidak akan terlepas daripada musibah yang berupa kesakitan. Namun, usah mengeluh. Setiap kesakitan yang datang akan menggugurkan dosa-dosa kita, dengan izin ALLAH. Lumrah manusia mudah lupa dan lalai maka sakit juga penting sebagai satu peringatan bagi pesakit dan orang sekeliling agar ingat akan nikmat sihat.

Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan ALLAH akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kira-kira 18 tahun yang lepas, saya terkena sindrom “Stevenson Johnson” akibat alahan terhadap ubat penisilin. Keseluruhan bahagian dalam mulut dipenuhi ulser; bukan sahaja susah untuk makan, malah langsung tidak dapat minum kerana terlalu sakit. Saya terlantar di hospital hampir sebulan dan bergantung kepada air yang dimasukkan ke dalam tubuh melalui tiub kerana tidak boleh makan.

Sewaktu terlantar, terdetik di fikiran berapa lama lagikah saya akan hidup sebelum maut datang menjemput? Cukupkah amalan untuk dibawa sebagai bekalan di alam barzakh dan akhirat kelak? Begitulah, sewaktu sakit kita akan merasa kematian itu begitu dekat. Tua bukan pra-syarat kematian.

Terdapat banyak hikmah dan kebaikan yang terkandung dalam setiap kesakitan atau musibah. Kebaikan bagi si pesakit yang sabar dan tawakal, kebaikan bagi keluarga yang melayani dan menjaga, kebaikan bagi sahabat yang melawat dan memberi sokongan serta bantuan, juga kebaikan bagi ahli masyarakat yang menghulurkan sumbangan serta mendoakan kesembuhan pesakit. Sering kali juga hidayah diterima, ukhuwah dieratkan dan kesatuan terserlah ketika ditimpa sakit atau musibah.

Gunalah nikmat sihat untuk memperbanyakkan amal ibadat khusus seperti solat, puasa sunat, dan jika berkemampuan dari segi kewangan, mengerjakan umrah dan haji; juga ibadat umum dengan membuat sebanyak-banyak kebaikan untuk insan lain. Janganlah apabila sakit dan tidak berupaya untuk bergerak baru ada kesedaran untuk membuat amal dan menjadi insan yang bermanfaat.

Syukur dan hargailah nikmat sihat.

*Johari Yap, pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?
  • MINGGU ini bermulanya penggal persekolahan bagi tahun 2018. Barangkali, ramai anak yang mengeluh kerana perlu kembali bersiap awal pagi untuk ke sekolah, setelah lama bercuti.
  • SAYA cukup tersentuh apabila diingatkan oleh seorang sahabat tentang murka manusia dan murka ALLAH.
  • TINDAKAN Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengisytiharkan Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu negara Israel telah menyebabkan ramai yang menyeru agar seluruh umat Islam di Malaysia memboikot barangan Amerika Syarikat dan Israel.
  • RAMAI yang teruja apabila mendengar berita mengenai sembilan kanak-kanak Tionghoa yang menyertai program Khatan Perdana di Pejabat Pilihan Raya BN, Dun Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan. Program tersebut disertai seramai 80 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.