NASI lemak ialah makanan tradisi Melayu yang bukan sahaja digemari oleh orang Melayu, tetapi turut menjadi kegemaran orang Cina dan India, dan kaum-kaum lain di Malaysia. Buku sains sosial yang diterbitkan pada tahun 1909 bertajuk, The Circumstances of Malay Life, yang ditulis oleh Sir Richard Olof Winstedt, turut bercerita tentang nasi lemak.

Siapa tidak suka nasi lemak? Jika anda menjejakkan kaki ke kedai “Nasi Lemak Kopi O” yang terletak bersebelahan Hospital USM di Kubang Kerian, Kelantan, anda akan lihat begitu ramai pelanggan Cina dan India yang turut menikmati nasi lemak di situ. Meskipun berlainan agama, fahaman politik dan pemikiran, tidak kira muda atau tua, mereka mampu duduk semeja sambil menikmati nasi lemak. Ia mempunyai maksud yang tersirat yang membawa kepada penyatuan masyarakat kita.

Menurut pemilik kedai tersebut, Meor Nazir yang berasal dari Perak, nasi lemak kini turut digemari di Kelantan selain makanan tradisi Kelantan seperti nasi kerabu dan nasi berlauk.

Jika dahulu nasi lemak biasanya untuk sarapan, sekarang ia juga dijadikan hidangan makan tengah hari dan malam. Malah, ia turut dijadikan salah satu menu di hotel-hotel serta restoran mewah dan dihidangkan semasa rumah terbuka, termasuk rumah terbuka Tahun Baharu Cina terutama dalam kalangan Cina Peranakan Kelantan. Ia juga dijadikan menu utama di dalam penerbangan MAS.

Selain telur rebus, sambal dan timun, nasi lemak boleh juga dinikmati bersama lauk sampingan seperti kari ayam, rendang ayam atau daging, ayam goreng, paru goreng dan bermacam jenis sambal seperti sambal ikan bilis, sambal sotong kering, sambal udang dan sambal kerang.

Namun, nasi lemak dikatakan tidak begitu sihat untuk dimakan setiap hari kerana mengandungi lemak dan kalori yang tinggi. Menurut laporan akhbar, ada 70 jenis makanan yang dihadkan kekerapan jualannya oleh Kementerian Kesihatan kepada dua kali seminggu di kantin-kantin sekolah bagi menangani masalah obesiti dalam kalangan pelajar. Ini termasuk nasi lemak. Sebelum itu, siaran Buletin Utama TV3 turut melabelkan nasi lemak sebagai faktor utama obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia.

Benarkah nasi lemak makanan yang tidak sihat? Pada Mac 2016, majalah antarabangsa Time yang berpangkalan di New York, telah menyenaraikan nasi lemak sebagai salah satu daripada 10 sarapan antarabangsa yang sihat.

Memetik laporan majalah tersebut, meskipun ia berlemak tetapi nasi yang dimasak menggunakan santan itu mengandungi lemak baik yang bagus untuk kesihatan. Cili dalam sambal juga membantu merangsang metabolisme.

Menurut AJK Biro Media Pertubuhan Doktor-Doktor Islam (Perdim), Dr Norzaidi Zakaria, bahan yang digunakan dalam nasi lemak secara umumnya baik untuk kesihatan tubuh badan. Santan merupakan asid lemak yang dipanggil asid laurik, iaitu lemak yang sama jenis dengan susu ibu dan dapat membantu perkembangan otak serta menguatkan tulang. Dr Norzaidi menjelaskan lagi, sambal yang diperbuat daripada cili api pula boleh bertindak sebagai agen penghalang kanser kerana ia mempunyai antioksida yang tinggi.

Selain itu, nasi lemak juga telah dijadikan judul sebuah filem komedi sosial, Nasi Lemak 2.0, yang diarah oleh Wee Meng Chee atau lebih terkenal dengan nama Namewee. Filem yang dibintangi oleh Karen Kong, Felixia Yeap, Adibah Noor, Afdlin Shauki, Nadine Ann Thomas, David Arumugam dan Reshmonu ini mengisahkan Chef Huang yang menghadapi masalah dalam perniagaan makanan miliknya.

Chef Huang mengambil keputusan untuk mengembara bagi mencari resipi nasi lemak yang terbaik. Beliau berdepan pengalaman yang menyedarkan dirinya, serta bertemu dengan ramai wira tempatan yang memberikan sokongan kepadanya dalam pencariannya untuk mengetahui asal-usul serta erti sebenar yang tersembunyi di sebalik nasi lemak.

Filem tersebut yang disajikan dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil, Mandarin, Kantonis dan dialek Cina yang lain, menggambarkan suasana 1Malaysia. Sebagaimana nasi lemak merupakan campuran nasi (golongan majoriti) dengan sambal ikan bilis, timun, telur dan kacang (golongan minoriti) yang bersatu dalam satu hidangan yang menyelerakan, begitu juga ia dapat menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, hingga mereka dapat hidup bersama secara harmoni.

* Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?
  • MINGGU ini bermulanya penggal persekolahan bagi tahun 2018. Barangkali, ramai anak yang mengeluh kerana perlu kembali bersiap awal pagi untuk ke sekolah, setelah lama bercuti.
  • SAYA cukup tersentuh apabila diingatkan oleh seorang sahabat tentang murka manusia dan murka ALLAH.
  • TINDAKAN Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengisytiharkan Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu negara Israel telah menyebabkan ramai yang menyeru agar seluruh umat Islam di Malaysia memboikot barangan Amerika Syarikat dan Israel.
  • RAMAI yang teruja apabila mendengar berita mengenai sembilan kanak-kanak Tionghoa yang menyertai program Khatan Perdana di Pejabat Pilihan Raya BN, Dun Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan. Program tersebut disertai seramai 80 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.