KEJADIAN seorang nenek 89 tahun yang dipotong kakinya pada Ramadan yang lepas di sebuah kampung di Pasir Mas telah menggemparkan negara. Akhbar melaporkan suspek yang berusia 19 tahun itu merupakan jiran sekampung mangsa.

Remaja tersebut telah ditahan penduduk kampung dan diserahkan kepada pihak polis. Ujian air kencing mendapati dia positif dadah.

Banyak faktor yang menyumbang kepada kejadian jenayah. Salah satunya ialah desakan hidup. Dalam kes ini, pemuda tersebut terdesak kerana dipercayai ingin membeli dadah. Mungkin kesan dadah telah menguasai pemikirannya sehingga dia tidak berfikir secara waras dan sanggup mencederakan seorang wanita yang bukan sahaja sudah tua dan tidak berdaya, malah dikenalinya.

Jika diteliti kes-kes jenayah seperti ragut, samun atau pecah rumah, kebanyakan yang didakwa adalah golongan penagih dadah. Penyalahgunaan dadah terutamanya pil kuda, menjadi punca utama kegiatan jenayah termasuk kes keganasan rumah tangga.

Kita sering juga mendengar kejadian suami memukul isteri dan anak mencederakan ibu bapa kerana terdesak untuk mendapatkan wang bagi membeli najis dadah.

Kes penagihan dadah di Kelantan sememangnya agak serius. Jumlah penagih dadah di bawah pengawasan pada tahun lepas ialah 3,239 orang, peningkatan seramai 813 berbanding 2,426 orang pada 2014.

Jumlah penagih wanita berasal dari Kelantan yang ditempatkan di Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Bachok juga tinggi, iaitu 51 orang daripada 300 penghuni. Yang sangat memeranjatkan, ada penghuni perempuan berusia 12 tahun.

Menurut Ketua Polis Kelantan, seramai 14,299 penjenayah ditangkap di Kelantan tahun lepas atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah; 121 daripadanya merupakan pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Pada awal tahun ini, pihak polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar Malaysia apabila berjaya menahan 14 orang termasuk dua wanita serta merampas 414,000 pil kuda bernilai RM8.3 juta di Rantau Panjang.

Selain operasi membanteras dadah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga sering melaksanakan program pencegahan dadah yang melibatkan murid prasekolah hingga menengah bagi memupuk kesedaran untuk membenci dadah.

Mengapa masih banyak kes dadah walaupun dadah adalah haram dari segi syarak? Sebilangan besar penagih dadah di negara ini terdiri daripada mereka yang beragama Islam. Persoalannya, mengapa tidak jijik dengan dadah tetapi jijik pada babi?

Suatu ketika dahulu, seorang wanita dari sebuah NGO, mahukan kilang coklat Cadbury yang dua produknya dikesan mempunyai DNA babi, membayar kos menukar darah bagi umat Islam yang telah termakan coklat tersebut. Ada juga pihak yang menggesa umat Islam menyamak mulut. Tidak pernah pula kita mendengar sesiapa menyarankan perkara yang sama bagi mereka yang mengambil pil kuda atau menghisap ganja.

Jika kumpulan yang sama menganggap jijik najis dadah sebagaimana mereka memandang jijik apa sahaja yang berkaitan dengan babi, termasuk pada peringkat DNA, mungkin masalah dadah di negara ini dapat dibendung.

Mereka yang termakan coklat Cadbury yang tercemar dengan DNA babi tidak menjadi khayal, berjalan terhuyung-hayang atau hilang kewarasan. Jauh sekali menjadi ketagih atau hilang kawalan sehingga boleh memotong kaki seorang tua yang tidak berdaya.

Sebaliknya, sebagaimana yang kita lihat dalam kejadian di Pulau Pinang baru-baru ini, contohnya, suspek yang dipercayai mengambil dadah, telah membunuh keluarga sendiri, empat beranak termasuk kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

Empat tahun lepas, seorang bapa bertindak kejam dengan mengelar leher anak kandungnya sendiri yang berusia 11 bulan selepas khayal mengambil dadah di rumahnya di Felda Panching Selatan, Kuantan. Bayi perempuan tersebut mati akibat kecederaan serius di leher.

Di Malaysia, stigma terhadap babi, terutama dalam kalangan masyarakat Islam, adalah sangat tinggi. Namun tidak kepada najis dadah, sehingga ada yang mengatakan najis dadah tidak seharam babi sedangkan kemudaratan dadah itu lebih besar berbanding babi.

Sangat paradoksikal! Perlu ada usaha untuk mengubah persepsi ini agar perasaan benci dan jijik pada dadah sebati dalam setiap individu dan usaha itu perlu bermula sedari kecil.

*Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?
  • MINGGU ini bermulanya penggal persekolahan bagi tahun 2018. Barangkali, ramai anak yang mengeluh kerana perlu kembali bersiap awal pagi untuk ke sekolah, setelah lama bercuti.
  • SAYA cukup tersentuh apabila diingatkan oleh seorang sahabat tentang murka manusia dan murka ALLAH.
  • TINDAKAN Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengisytiharkan Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu negara Israel telah menyebabkan ramai yang menyeru agar seluruh umat Islam di Malaysia memboikot barangan Amerika Syarikat dan Israel.
  • RAMAI yang teruja apabila mendengar berita mengenai sembilan kanak-kanak Tionghoa yang menyertai program Khatan Perdana di Pejabat Pilihan Raya BN, Dun Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan. Program tersebut disertai seramai 80 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.