HUJAN mencurah-curah di tiga negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia sejak minggu lepas. Kita sedia maklum, hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari boleh mengakibatkan banjir, sama ada pada skala kecil atau besar.

Mengimbas kembali memori pada 2014, hujan yang sangat lebat pada akhir Disember telah mengakibatkan bah kuning yang memaksa 150,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat penempatan banjir di seluruh Kelantan. Sebilangan mangsa di Manik Urai terperangkap di kawasan bukit kerana air naik dengan begitu cepat.

Bah kuning yang merupakan banjir terburuk dalam tempoh 47 tahun banyak memberi pengajaran kepada kita dalam memperkasakan prosedur operasi standard (SOP) untuk menghadapi bencana sebegini.

Antara inisiatif Kerajaan Persekutuan adalah menubuhkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). Bagi menjamin persiapan awal dilakukan sebaik mungkin, Nadma telah mula memberikan penerangan dan latihan kepada agensi-agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) sejak awal tahun lagi agar siap siaga menghadapinya.

Kali ini, kerajaan lebih bersedia dengan kekuatan anggota seramai 5,247 orang yang terdiri daripada PDRM, bomba, APM, Rela, kastam dan JPS. Daripada segi logistik, sejumlah 111 kenderaan berat seperti lori, 172 kenderaan pacuan empat roda, 29 buah van serta 21 unit ambulans disediakan sebagai pengangkutan darat untuk operasi menyelamat.

Selain itu, terdapat 737 pusat pemindahan dengan kapasiti lebih 200,000 orang disediakan di seluruh Kelantan. Pusat-pusat pemindahan berkenaan dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dibantu APM, Rela dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM). Sejumlah RM800,000 diperuntukkan kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Kelantan bagi penyediaan bekalan makanan mangsa banjir. Ia cukup bagi menampung 215,955 mangsa banjir.

Walaupun Nadma mempunyai kekuatan terkumpul yang besar, peranan NGO tidak diketepikan, malah dialu-alukan. Minggu lepas, ketika banjir mula melanda, saya berkesempatan untuk turut serta dalam perjumpaan Nadma dan Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO (BBNGO) di pejabat 12 Kompeni Ubat Askar Wataniah yang bertempat di USM Kampus Kesihatan, Kubang Kerian. Ketua Pengarah Nadma, Datuk Abd Rashid Harun, turut serta dalam perjumpaan tersebut.

Bermula dengan gabungan 15 NGO untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa banjir ketika bah kuning 2014, BBNGO di bawah pimpinan Prof Dr Dinsuhaimi Sidek, telah turut menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir dengan liputan di daerah Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang.

Lebih 50 tan makanan dan ubat-ubatan berjaya dihantar pada awal penubuhan BBNGO. Kini, BBNGO merupakan gabungan 40 NGO dengan pelbagai kepakaran.

Semasa bah kuning, secara purata, lapan hingga 10 misi penghantaran bantuan makanan dan doktor dilakukan sehari. Rekod terbesar adalah 22 misi sehari. Lebih kurang 100 sukarelawan yang terlibat; separuh daripadanya ialah doktor dan pakar perubatan.

Prof Dinsuhaimi sendiri merupakan Pakar Otorinolaringologi (ORL) serta Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Jaringan) USM. Walaupun sibuk dengan tugas merawat pesakit di hospital serta sebagai pensyarah, beliau tetap meluangkan masa untuk kerja-kerja kebajikan yang sudah sebati dengan dirinya.

Saya juga kagum dengan Rashid yang turut serta dengan badan-badan NGO meninjau keadaan banjir serta menyampaikan bantuan. Beliau juga mengakui peranan besar NGO dalam membantu agensi kerajaan menghadapi bencana seperti banjir ini.

Ia mungkin bukan perkara yang berat atau sukar bagi bekas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) serta bekas Pesuruhjaya Polis Sabah ini. Tiada gunung yang terlalu tinggi untuk beliau daki di tengah panas dan tiada jurang yang terlalu dalam untuk beliau turun di malam gelap.

Tiada masalah untuk beliau tinggal dan tidur bersama mangsa banjir mahupun sukarelawan atau anggota NGO walaupun sekadar bertilamkan lantai dan berbantalkan lengan.

Menurut Rashid lagi, kontrak beliau akan tamat dalam masa 6 bulan dan beliau ingin memberikan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat sebelum bersara. Jadilah seperti Rashid. Semoga lebih ramai insan seperti Prof Dinsuhaimi, Rashid dan yang seumpama mereka, yang sanggup berkorban dan berkhidmat demi kesejahteraan semua.