SAMBUTAN Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2017 bertemakan slogan Negaraku Sehati Sejiwa. Tema yang dipilih sesuai bagi mengekalkan dan memperbaharui semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Kelestarian hubungan antara kaum ini amat penting agar negara menjadi stabil dan aman damai.

Sehati Sejiwa yang merupakan lagu tema sambutan tahun ini juga mempunyai lirik dan melodi yang indah yang menyemarakkan semangat bersatu padu.

“Walaupun berbeza, budaya agama; bukanlah penghalang, kita bergandingan; marilah bersatu, sehati sejiwa; Malaysia, kekal sejahtera”.

Tema Negaraku Sehati Sejiwa ini mencerminkan rakyat Malaysia yang bermuafakat, memahami antara satu sama lain dan mempunyai semangat kekitaan tidak kira di mana mereka berada; yang belajar atau mencari rezeki di luar negara juga berbangga menjadi rakyat Malaysia.

Sambutan Hari Kebangsaan yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini, bakal menampilkan kelainan berbanding sambutan sebelum ini.

Ia dikatakan akan membawa konsep Stadium Merdeka bagi mengimbau nostalgia sambutan kemerdekaan pada 1957. Sambutan Hari Malaysia 2017 pula akan diadakan pada 16 September di Kota Kinabalu, Sabah.

Sambutan tahun ini perlu dijadikan satu titik permulaan untuk memperbaharui dan merealisasikan hasrat pembentukan satu bangsa Malaysia. Seperti kata ahli falsafah Cina Lao Tzu, "Perjalanan seribu batu itu bermula dengan langkah pertama.”

Walaupun terdapat beberapa insiden yang hampir menggugat perpaduan negara, kita harus bersyukur Malaysia masih aman. Prasangka dan ketidakpuasan hati antara pelbagai kaum dan etnik dalam sesebuah negara bukanlah perkara asing. Ia umpama rencah kehidupan yang kita lalui sehari-hari. Sampai bila sekalipun, akan tetap ada golongan manusia yang lebih terdorong ke arah perkara-perkara negatif dan tidak mengutamakan agama sebagai paksi hidup.

Persoalannya, bagaimana kita mendepani pelbagai cabaran dengan berhemah agar tidak menjejaskan keamanan dan keharmonian negara?

Sesungguhnya, nikmat keamanan di negara yang berbilang kaum ini perlu kita syukur. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula rakyat yang berlainan bangsa, agama dan budaya. Janganlah biarkan sebarang perselisihan faham mencemar keamanan yang kita kecapi selama ini.

Bersatu bukan bermakna kita mesti sama atau sependapat dalam semua segi. Bersatu bermakna kita menerima kepelbagaian yang wujud antara kaum-kaum di Malaysia. Dalam bahasa bekas penjajah kita, agree to disagree. Untuk membentuk bangsa Malaysia, kita mesti ada sifat toleransi.

Ahmad yang berkulit sawo matang dan berbaju Melayu boleh bersahabat baik dengan Ah Chong yang bermata sepet dan berpakaian tradisi Cina. Mereka juga rapat dengan Muthu yang berkulit gelap tetapi segak bergaya dengan baju tradisi India. Mereka sama-sama suka makan char kuetiau, nasi lemak dan poori.

Jangan jadikan perbezaan politik pemisah hubungan. Jangan jadikan perbezaan adat dan budaya alasan untuk tidak bersatu. Jangan jadikan khilaf antara ulama perosak kesatuan umat Islam. Jangan jadikan perbezaan pemikiran dan ideologi penghalang perpaduan negara.

Prinsip kemerdekaan bukan bermakna kita bebas melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati, atau mengecam pemimpin mahupun individu yang tidak sebulu dengan kita melalui media sosial atau media massa.

Masyarakat yang berjiwa merdeka haruslah bebas daripada belenggu pemikiran yang terjajah, bersikap terbuka dan berlapang dada jika ada perbezaan pendapat, tidak bersikap jumud dan yang paling penting, mesti berjiwa patriotik.

Amat rugilah sebuah negara yang telah dimerdekakan hasil perjuangan generasi terdahulu tetapi kemudiannya musnah lantaran rakyat yang enggan bertolak-ansur dan bersepakat.

Hubungan harmoni dan kerjasama antara kaum, juga kumpulan pemikir dan politik yang berbeza, merupakan kunci utama untuk berkembang maju dan sejahtera, lebih-lebih lagi ketika negara menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran seperti kejatuhan nilai mata wang dan kewujudan kelompok yang berniat untuk mengambil kesempatan mahupun mengganggu ketenteraman negara.

Perbezaan budaya, bahasa, warna kulit, adat dan agama tidak sepatutnya menghalang kita untuk terus bersatu serta saling menghormati.

Semoga kita dapat sama-sama menterjemahkan aspirasi di sebalik tema dan lagu sambutan Hari Kebangsaan 2017 ke dalam kehidupan seharian kita untuk mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur dan harmoni.

Marilah bersatu, sehati sejiwa.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MUNGKIN ramai yang belum mengetahui tentang program Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah), satu pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad. Beliau mempelawa semua lapisan masyarakat untuk menjadi Sahabat Gerah.
  • BARU-baru ini, masyarakat Cina di Malaysia telah menyambut Pesta Tanglung. Oleh kerana di Malaysia ia dirayakan semasa Pesta Kuih Bulan, maka Pesta Tanglung juga dikenali sebagai Pesta Kuih Bulan di Malaysia.
  • APA itu bencana? Sekiranya sebuah kapal terbang terhempas di Banjaran Titiwangsa, adakah ia satu bencana atau sekadar kemalangan? Bagaimana pula jika kapal terbang tersebut terhempas di kawasan perumahan? Adakah bencana dan kemalangan membawa maksud yang sama?
  • TAHNIAH kepada semua penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena sambutan tahun baharu 1439H. Syabas kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bukan sahaja mengiktiraf seorang tokoh tetapi 15 tokoh pendakwah termasuk Pengerusi Macma Melaka dan Terengganu.
  • MASYARAKAT Cina di Kelantan telah wujud sejak abad ke-17 Masihi lagi. Malah, ada yang tiba di Kelantan lebih awal daripada kedatangan orang Cina pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ini berdasarkan penemuan patung dan tokong yang berusia 600 tahun atau lebih di Kampung Pulai, Gua Musang yang berasal daripada Dinasti Ming.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.