SIAPA sangka seorang anak muda yang lahir pada 6 Disember 1992 akan mencatat rekod baharu sebagai menteri penuh termuda di Malaysia pada umur 25 tahun.

Sebelum ini, rekod pemimpin paling muda dalam Kabinet Malaysia disandang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada tahun 1978 ketika berusia 25 tahun sebelum memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan ketika berumur 33 tahun.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memenangi kerusi Parlimen Muar dalam pilihan raya umum yang lepas merupakan Ketua Armada, satu sayap Pemuda bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau juga ketua pemuda yang termuda jika dibandingkan dengan ketua pemuda parti-parti politik lain yang kebanyakannya berumur lebih dari 40 tahun.

Beliau mula dikenali ramai pada tahun 2016 apabila beliau bersama-sama 24 pemuda, kumpulan yang menggelar diri mereka Change Led by the Young Generation (Challenger), membuat kenyataan menolak kepimpinan perdana menteri ketika itu atas isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Pergerakan itu telah mendapat sokongan lebih ramai anak muda dari seluruh Malaysia.

Pada awal tahun 2018, beliau yang diberi amanah untuk memimpin anak muda dalam PPBM, telah berjaya menarik ramai anak muda menyertai parti yang baru ditubuhkan itu.

Ketika itu, lebih separuh daripada 200,000 ahli parti tersebut merupakan anak muda di bawah umur 35 tahun, menurut laporan Yusof Ishak Institute of Singapore (ISEAS) yang bertajuk, PPBM in Johor: New Party, Big Responsibility.

Kerana nekad untuk meneruskan perjuangannya dalam PPBM, Syed Saddiq mengambil keputusan menolak tawaran biasiswa penuh untuk melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana di University of Oxford, United Kingdom pada Oktober 2017.  

Selain dihalang untuk berucap di beberapa universiti awam tempatan, beliau juga menerima pelbagai ugutan termasuk ugutan bunuh kerana terlibat dalam gerakan “Selamatkan Malaysia”. Pengorbanan itu berbaloi apabila beliau kini telah dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Lebih kurang tiga tahun yang lepas, Syed Saddiq yang ketika itu dalam pengajian tahun keempat dalam bidang Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) telah membawa pasukan UIA memenangi pertandingan debat peringkat Asia di Indonesia.

Lebih manis lagi, beliau juga telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik, mengalahkan 276 pendebat lain yang mewakili 92 pasukan dari universiti-universiti terkemuka di sekitar Asia dalam pertandingan yang diadakan dari 4 hingga 12 Jun 2015 itu.

Selain itu, Syed Saddiq juga muncul sebagai pendebat terbaik Asia dengan memenangi pertandingan debat Asian British Parliamentary (ABP) sebanyak tiga kali berturut-turut.

Penyertaan Syed Saddiq dalam debat bermula di Maktab Tentera Diraja (MTD) ketika di tingkatan lima. Pendidikan di MTD telah mengubah beliau daripada seorang yang nakal, dengan disiplin yang teruk, sering ponteng sekolah suatu ketika dahulu, kepada seorang pemimpin muda yang berkaliber.

MTD telah berjaya membentuk jati diri beliau dengan menerapkan semangat berpasukan, kerjasama, disiplin, nilai kerohanian, dan kualiti kepimpinan.

Pengajian di MTD juga membuka minda dan perspektif beliau yang dulunya agak pasif dan pemalu. Di MTD, Syed Saddiq bergaul dengan individu yang berbeza latar belakang, kaum dan agama. Ini menyebabkan beliau telah membuang sikap rasis, seksisme dan ekstremis serta segala yang negatif.

MTD juga banyak membentuk beliau sehingga menjadi kental dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam politik.

Syed Saddiq bukanlah berketurunan bangsawan. Menurut wartawan Amy Chew dalam laporannya untuk Channel News Asia pada 21 Mac 2018, bapa Syed Saddiq merupakan buruh binaan yang berulang-alik dari Johor ke Singapura setiap hari untuk mencari rezeki manakala ibu beliau merupakan seorang guru sekolah menengah yang bangun seawal 5 pagi setiap hari untuk memasak bagi keluarga, dan sering tidur lewat malam setelah selesai mengajar kelas tuisyen demi mencari pendapatan tambahan.

Pada usia 25 tahun, pencapaian Syed Saddiq dalam arena politik tanah air sememangnya membanggakan. Semoga Syed Saddiq terus berjaya dan menyumbang kepada perubahan yang positif dalam politik dan ekonomi negara.

*Penulis merupakan pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan