MUNGKIN ramai yang belum mengetahui tentang program Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah), satu pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad. Beliau mempelawa semua lapisan masyarakat untuk menjadi Sahabat Gerah.

Matlamat utama Sahabat Gerah SPRM adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat bersama dengan SPRM dengan menjadi mata dan telinga SPRM dalam usaha pencegahan rasuah. Masyarakat juga turut diajak menyumbang tenaga dan buah fikiran serta bertindak sebagai ejen SPRM untuk menyebarluaskan mesej antirasuah bagi memastikan rasuah diperangi habis-habisan.

Rasuah merupakan jenayah yang agak sukar dikesan jika tiada kerjasama dan penglibatan anggota masyarakat. Ini kerana tiada mangsa yang terlibat. Yang memberi rasuah mendapat sesuatu, manakala yang menerima rasuah mendapat habuannya juga. Ahli masyarakat yang lainlah mangsa sebenar rasuah. Akhirnya, negara yang rugi.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, mengingatkan penularan gejala rasuah dalam masyarakat Malaysia adalah lebih dahsyat berbanding mana-mana wabak kerana wabak rasuah hanya boleh dibasmi dengan keinsafan hati dan diri.

Menurut beliau lagi, perbuatan rasuah biasanya bermula dengan pelawaan makan malam di hotel-hotel terkemuka yang kemudiannya membawa kepada pelawaan bermain golf dan melancong bersama-sama dengan semua perbelanjaan ditanggung. Ia akhirnya merebak dan menjerumuskan kepada pemberian dan penerimaan wang ringgit serta barangan berharga secara terbuka tanpa rasa segan silu.

Empayar Kesultanan Melaka yang gah dengan kehebatan pahlawan dan pendekar akhirnya jatuh ke tangan Portugis pada 1511 bukan kerana ketiadaan senjata atau kudrat pahlawan tetapi ia dirobohkan sedikit demi sedikit lantaran rasuah, oleh mereka yang sepatutnya menjaga kedaulatan empayar tersebut. Kejatuhan Kesultanan Melaka dikatakan ekoran sogokan wang dan hadiah daripada tentera-tentera Portugis kepada pegawai-pegawai tertentu yang bertugas di Istana Sultan Melaka ketika itu.

Begitu juga dengan pembinaan Tembok Besar China. Mereka membina tembok besar dengan anggapan tiada siapa mampu memanjatnya kerana terlalu tinggi. Namun hakikatnya dalam seratus tahun pertama sahaja mereka diserang sebanyak tiga kali; setiap kali musuh hendak menyerang, mereka tidak perlu bersusah payah berusaha untuk merobohkan atau memanjat tembok besar, mereka hanya perlu merasuahi para pengawal dan dengan mudahnya masuk melalui pintu.

Sejak 2014 hingga 2016, SPRM telah menahan seramai 2,329 orang dengan 54 peratus daripadanya, iaitu 1,267, individu berumur 40 tahun ke bawah. Statistik ini menggambarkan betapa golongan muda yang sepatutnya gigih berusaha membangunkan negara sebaliknya menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan keuntungan mudah yang akhirnya menggadai maruah diri, agama, bangsa dan negara.

Sememangnya rasuah bukanlah satu isu yang baharu. Perang menentang rasuah sudah lama dijalankan dan jenayah ini juga sudah wujud sejak bermulanya peradaban manusia. Mereka yang masih mengamalkan jenayah rasuah perlulah segera bertaubat. Apa yang anda lakukan bukan sahaja merosakkan maruah diri tetapi juga menghakis kepercayaan masyarakat terhadap organisasi tempat anda bekerja, sama ada swasta atau kerajaan. Keluarga anda juga menerima kesan yang sangat besar akibat perbuatan rasuah anda. Bukan itu sahaja, imej negara juga akan rosak dan tercemar di mata dunia.

Rasuah boleh dianggap seperti anai-anai yang boleh meruntuhkan bangunan yang kuat dan mantap. Jika tidak ditangani dengan betul dan dibiarkan berleluasa, anai-anai akan terus memakan tiang, dinding, bumbung dan lantai bangunan sehingga akhirnya tidak ada lagi bahagian yang kukuh dan bangunan pun ranap menyembah bumi.

Sebagaimana rasuah yang mungkin sukar dikesan, kita juga tidak dapat melihat anai-anai yang berselindung di sebalik binaan rumah. Tanpa kewaspadaan yang tinggi, kita mungkin hanya akan tersedar bila sudah terlambat.

Umum perlu tahu bahawa kegagalan melaporkan pemberian, janji atau tawaran rasuah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali. Begitu juga dengan kegagalan melaporkan permintaan atau memperoleh suapan yang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Marilah kita sebagai rakyat Malaysia membantu SPRM memerangi rasuah, musuh nombor satu negara. Mari sertai Sahabat Gerah SPRM!

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • RAMAI yang teruja apabila mendengar berita mengenai sembilan kanak-kanak Tionghoa yang menyertai program Khatan Perdana di Pejabat Pilihan Raya BN, Dun Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan. Program tersebut disertai seramai 80 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.
  • HUJAN mencurah-curah di tiga negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia sejak minggu lepas. Kita sedia maklum, hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari boleh mengakibatkan banjir, sama ada pada skala kecil atau besar.
  • ANTARA kisah yang tersimpan dalam lipatan sejarah, adalah tentang seorang putera raja bernama Siddhartha Gautama yang lahir pada 623 sebelum Masihi di Lumbini, Kapilavasthu, Nepal.
  • PEGAWAI tentera wanita beragama Islam di Malaysia mempunyai pakaian seragam bertudung.
  • SKIM Ponzi adalah salah satu skim penipuan yang mendapat namanya rentetan penipuan Charles Ponzi terhadap rakyat Amerika yang melibatkan wang sejumlah AS$20 juta pada 1920. Ponzi menawarkan pulangan jangka pendek yang luar biasa tinggi untuk menarik pelabur.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.