BARU-baru ini, saya terbaca tulisan sahabat Cina Muslim saya dalam sebuah majalah Islam. Beliau bimbang ada gerakan dalam kalangan Cina Muslim yang lebih mahu 'mencinakan' Islam daripada mengislamkan Cina.

Beliau risau sekiranya tidak dipantau ia akan menjadi gerakan dakwah yang bersifat rasis. Menurutnya lagi, kumpulan ini mahu menjadi secina-cinanya tanpa mahu 'dimelayukan' langsung.

Tulisan beliau tampak tidak adil apabila pendekatan dakwah melalui budaya dianggap sebagai keterlaluan, sehinggakan perbuatan menyambut Tahun Baharu Cina, juga bersama keluarga bermain tanglung, dikatakan lebih Cina daripada Cina.

Pada pandangan saya, seseorang yang sememangnya dilahirkan dalam keluarga Cina tidak boleh menjadi lebih Cina daripada Cina yang asalnya beragama Buddha, Tao mahupun berfahaman Confucius, walaupun selepas memeluk agama Kristian mahupun Islam. Bagaimana seorang Cina itu menjadi lebih Cina daripada Cina? Melainkan seseorang itu daripada kaum lain, bolehlah perbandingan tersebut dibuat jika dia mengamalkan budaya Cina lebih daripada Cina asal.

Seorang Cina boleh dianggap lebih Inggeris daripada Inggeris jika dia meninggalkan terus kebudayaan Cina, mengamalkan adat resam bangsa Inggeris, hanya memakai kemeja dan baju kot, dan terus-menerus mengecam orang Cina atau kebudayaan mereka.

Realitinya, persepsi masuk Islam sebagai masuk Melayu masih tebal dalam kalangan masyarakat Cina bukan Islam. Masyarakat Melayu sememangnya sudah tahu Islam itu universal, Islam milik semua kaum, dan orang Islam yang terbaik adalah mereka yang bertakwa. Tetapi bagaimana caranya untuk menyampaikan kepada masyarakat Cina secara umum bahawa masuk Islam bukannya masuk Melayu?

Apatah lagi jika dilihat sejarahnya; dahulu, mereka yang mengucap dua kalimah syahadah diwajibkan menukar nama serta meletakkan 'bin/binti Abdullah' pada nama mereka. Secara teknikal, mereka telah menjadi 'Melayu', lebih-lebih lagi apabila mereka memakai baju Melayu dan bersamping ketika hendak melafazkan syahadah. Sah masuk Melayu!

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Pertama yang bersidang pada 28–29 Januari 1981 telah membincangkan perihal penamaan saudara baharu. Muzakarah memutuskan bagi saudara baharu (mualaf) nama mereka hendaklah ditambah nama Islam mendahului nama asal. Misalnya, Ahmad Chong Ah Kaw.

Presiden Macma, Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin, meletakkan nama Arab di depan nama Cina beliau. Begitu juga sahabat lain seperti Firdaus Wong Wai Hung dan Amilee Ong Shiau Ling. Manakala ada sahabat yang memilih untuk mengekalkan nama mereka; antaranya, Khaw Lek Ming, Beh Boon Seng dan Lim Jooi Soon.

Walaupun fatwa tersebut telah dibuat pada 1981, masih ada aduan daripada mualaf berkenaan kesukaran untuk mengekalkan nama asal. Masih terdapat kelompok (biasanya yang bekerja di jabatan agama) yang memaksa Cina Muslim untuk menggunakan nama dengan bin/binti Abdullah. Atas sebab inilah sahabat-sahabat Cina Muslim saya terus menyebut perkara ini; agar masyarakat biasa dengan nama Cina yang menganut Islam.

Ada dalam kalangan masyarakat Cina yang berminat dengan Islam tetapi tidak mahu menukar nama mereka. Ada juga yang sudah melafazkan dua kalimah syahadah tetapi enggan untuk mendaftarkan diri dengan Jabatan Agama ataupun Majlis Agama Islam Negeri.

Sememangnya ada yang bertanya, "Apa yang susah sangat nak tukar nama?” Tukar nama pada kad pengenalan memang tidak susah. Hanya perlu bawa kad Islam ke pejabat Pesuruhjaya Sumpah, kemudian ke JPN.

Tapi, selepas itu kena pula tukar nama pada lesen di JPJ. Jika memiliki hartanah, perlu juga tukar nama. Tidak lupa juga pinjaman bank. Begitu juga insurans, sijil, akaun bank, dan apa sahaja dokumen rasmi atau yang mengandungi nama. Ya, mujur ada UTC, tidak perlu pergi banyak tempat, tetapi prosesnya tetap banyak dan menyukarkan.

Sememangnya, daripada satu sudut, nama bukanlah satu isu yang besar. Yang lebih penting adalah akidah. Tetapi, ini adalah satu permulaan dalam mesej yang ingin disampaikan iaitu Islam itu universal, sesuai untuk semua bangsa termasuk Cina. Tiada keperluan untuk melabel sesiapa lebih Cina daripada Cina dan sebagainya.

Kita juga sering diingatkan tentang bahaya budaya melabel yang semakin tular dewasa ini. Semoga kita dapat sama-sama memupuk sifat berlapang dada dan saling menghormati dalam menangani apa sahaja perbezaan yang wujud antara kita.

*Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DALAM keluaran sebuah majalah Islam baru-baru ini, seorang sahabat Cina Muslim mengkritik salah satu artikel saya di ruangan ini yang bertajuk Izinkan Hazman bermain tanglung.
  • NEGARA China yang terletak di tengah-tengah benua Asia juga dikenali sebagai Zhongguo dalam bahasa Mandarin atau Tiongkok dalam dialek Hokkien yang bermaksud negara atau kerajaan tengah.
  • SEBAGAI sebuah negara membangun yang sedang menuju ke arah negara maju, Malaysia terdedah dengan pelbagai cabaran dan antaranya ialah kejadian jenayah.
  • MUNGKIN ramai yang masih belum mengenali kasut jenama Hilman Authentic. Hilman Authentic adalah jenama kasut yang memberi lebih ketinggian kepada pengguna yang memakainya. Ia telah dilancarkan di Malaysia pada Disember 2016.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.