PEMIKIR kritis mampu menganalisis pelbagai isu dari sudut yang berbeza, tidak hanya tertumpu kepada sama ada air di dalam gelas itu separuh penuh atau separuh kosong. Bagaimanapun, dalam proses tersebut, seorang pemikir kritis mungkin akan berlebihan menganalisis sesuatu perkara; seolah-olah membesar-besarkan perkara yang kecil. Otak mereka memproses sesuatu pada tingkat yang tinggi, mencari penyelesaian yang kompleks sedangkan masalah mungkin sederhana sahaja.

Minggu lepas, sahabat saya, Xifu Naser, mengkritik masyarakat kita yang terlalu mengagungkan pendakwah selebriti dan meminggirkan pendakwah tanpa nama dan gambar. Maka bertalu-talu komen yang kasar serta kesat dihamburkan dalam laman Facebook Sinar Harian. Ramai yang marah.

Apa yang saya lihat, Xifu Naser banyak mengkritik manhaj dan ideologi, bukannya mengkritik individu secara personal. Namun, masyarakat Malaysia agak sensitif bila dikritik. Mereka akan terus melenting tanpa memikirkan dan mencerna apa yang dibaca terlebih dahulu. Hati jadi panas, meronta-ronta. Masing-masing menjadi gopoh untuk memberikan tindak balas.

Saya baca tulisan Xifu Naser beberapa kali. Beliau memuji dan mengetengahkan pendakwah yang senyap. Menurut beliau, pendakwah senyap inilah yang sebenarnya memperkenalkan Islam kepada Nina Grace dan pendakwah ini lebih hebat daripada Dr Zakir Naik (DZN). Di penghujung artikel tersebut kita faham bahawa beliau merujuk kepada yang memberi hidayah; tak lain tak bukan, ALLAH SWT. Tiada yang salah mengenai kenyataan itu.

Bagaimanapun, di bahagian lain artikel tersebut, saya akui cara penyampaiannya mungkin menampakkan seolah-olah Xifu mengkritik DZN dan anak-anak didiknya.

Menerima kritikan bukanlah mudah. Kata pepatah Cina, orang yang memuji itu adalah musuh kamu dan orang yang mengkritik itu adalah teman sebenar. Ini selaras dengan syiar Islam. Bersyukurlah apabila dikritik kerana mungkin itu adalah cara ALLAH mendidik hati kita. Sekurang-kurangnya didikan untuk bersabar sekiranya kritikan itu tidak betul.

Sebagai seorang Muslim, apa yang penting adalah apa-apa yang mendekatkan kita dengan ALLAH SWT. Maka, jika dibandingkan di antara pujian dan kritikan atau tohmahan, maka kritikan dan tohmahanlah yang lebih berpotensi mendekatkan kita dengan ALLAH.

Walau bagaimanapun, kritikan juga perlulah dilakukan dengan cara berhikmah demi menjaga hubungan sesama insan. Dengan cara itu juga, ia akan diterima baik dan membuahkan hasil yang lebih baik bagi semua, insya-ALLAH.

Siapa pun kita, sama ada yang mengkritik atau dikritik, niat perlu dibersihkan agar tidak berasa diri lebih baik. Kritikan sebahagiannya berasal daripada prasangka sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Berhati-hatilah kamu dari berprasangka kerana sesungguhnya berprasangka itu adalah sebohong-bohong ucapan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka Rasulullah SAW memberi peringatan, “Sebaik-baik manusia adalah yang menahan lidah dan tangannya dari menyakiti orang lain”. Sabda Nabi SAW lagi, “Berbicaralah dengan mereka sesuai dengan kemampuan akal mereka”.

Dunia dakwah ini boleh diibaratkan sebagai permainan bola. Setiap orang ada peranan masing-masing. Penjaga gol akan memastikan gawang tidak ditembusi, manakala pemain pertahanan membantu penjaga gol dengan menjaga benteng pertahanan. Pemain tengah pula mengawal corak serangan dengan bantuan pemain sayap yang akan mengumpan bola kepada penyerang untuk menjaringkan gol.

DZN boleh diibaratkan penyerang yang menjaringkan gol kemenangan apabila berjaya memimpin Nina Grace untuk mengucap dua kalimah syahadah. Kita tidak menafikan sumbangan pengurus pasukan bola, jurulatih, serta pemain simpanan yang turut menyumbang kepada kehebatan pasukan. Tetapi kita juga tidak boleh menyalahkan penyerang apabila disanjung oleh masyarakat umum kerana menjaringkan gol kemenangan.

Oleh itu, saya melihat DZN tidak wajar disalahkan jika beliau mendapat sorakan serta liputan media. Beliau juga tidak minta untuk disanjung. Beliau hanya menjalankan tugas dakwah sebagaimana rakan-rakan lain menjalankan dakwah masing-masing dengan cara dan melalui media yang pelbagai.

Sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam, adalah lebih afdal bagi kita memberi sokongan dalam perkara makruf, memfokuskan pada persamaan dan kebaikan, mengutamakan budaya hormat-menghormati serta adab komunikasi, daripada membesar-besarkan perbezaan dan kesilapan kecil. Apatah lagi apabila tindakan-tindakan kita menjadi ikutan anak-anak muda dan generasi baharu yang mungkin juga berminat untuk berdakwah.


* Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KITA sering mendengar pepatah orang tua-tua, hidup ini biarlah menjadi benih yang baik. Benih yang baik, jika jatuh ke laut, akan menjadi pulau. Ia bermaksud, orang yang berketu-runan baik, ke mana pun dia pergi, akan sentiasa menjadi baik.
  • BEBERAPA hari lagi masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Lunar yang juga dikenali sebagai Tahun Baharu Cina. Sebagaimana biasa, akan kedengaran ungkapan Gong Xi atau Gong Xi Fa Cai di sana sini.
  • MASYARAKAT kita sudah terbiasa dengan pemi-kiran bahawa pelajar perlu belajar rajin-rajin, masuk universiti, dapatkan segulung ijazah dan apabila selesai pengajian, dapat kerja yang baik-baik.
  • ALLAHYARHAM Abdul Rahman bin Othman, yang lebih terkenal dengan nama Tok Selehor, merupakan seorang ulama kelahiran Kelantan yang zuhud dan warak.
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?