ORANG Cina yang memeluk agama Islam sering kali terhimpit antara Cina bukan Muslim dengan Melayu Muslim, sama ada ditolak oleh komuniti Melayu atau Cina atau kedua-duanya sekali, menurut kajian Nagata (1978), Stow (1983), Lim (1983), Amran (1986), Long (1988), Ma (1996) dan Tan (2000).

Menurut kajian Hew Wai Weng (2014) pula, identiti Cina Muslim boleh jadi berorientasikan Cina (etnik asal), Melayu (etnik lain), Islam (identiti agama sahaja), atau Cina Muslim (identiti etnik dan agama).

Tersepit dalam dilema identiti ini, Cina Muslim sering berusaha untuk menunjukkan kemusliman mereka (ada kalanya kemelayuan) dalam komuniti Melayu dan menonjolkan kecinaan mereka dalam komuniti Cina, sekiranya mereka ingin diiktiraf oleh kedua-dua komuniti tersebut. Identiti bagaimanakah yang harus dibawa setelah kembali kepada Islam?

Rosey Ma, dalam tesis sarjana beliau pada tahun 1996, menyifatkan dilema masyarakat Cina Muslim di Malaysia seperti berikut:

“Mereka merupakan orang Cina, tetapi atas sebab agama yang berbeza, mereka berlainan daripada kebanyakan Cina tempatan. Mereka adalah Islam tetapi etnik mereka berbeza daripada kebanyakan Muslim di negara kita. Mereka menjadi minoriti Muslim dalam masyarakat Cina dan minoriti Cina dalam komuniti Muslim.”

Dalam kertas kerja yang bertajuk Cina Muslim di Malaysia yang dibentangkan pada tahun 2000 di satu persidangan antarabangsa di Taipei, Taiwan, Rosey Ma berpendapat bahawa Cina Muslim di Malaysia harus mengekalkan nama dan budaya orang Cina atas ciri etnik, serta mengikuti ajaran dan nilai hidup Islam atas ciri agama, di samping sedikit sebanyak mengikuti budaya dan adat Melayu.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), identiti bermaksud aspek-aspek tertentu yang dapat menunjukkan sifat diri seseorang atau adat resam yang dapat melambangkan sekumpulan masyarakat. Perkataan sinonim bagi identiti adalah jati diri, keperibadian, sahsiah, keindividuan dan keunikan. Sebagai seorang muhajir yang baru memeluk Islam, mereka senantiasa tercari-cari identiti Cina Muslim.

Salah satu aspek adalah pakaian seseorang. Cina Muslim masih boleh memakai ceongsam atau samfu asalkan ia longgar dan menutup aurat. Salah satu sebab Islam mampu berkembang pantas adalah kerana Islam tidak menghapuskan budaya dan adat resam sesuatu bangsa selagi mana ia tidak bercanggah dengan syarak.

Dalam Islam tiada istilah fesyen Islamik kerana apa-apa pakaian yang menutup aurat dan tidak terlalu menonjol adalah pakaian Islamik; tidak semestinya jubah, baju Melayu, songkok atau kopiah. Masyarakat Islam sepatutnya menggalakkan, atau sekurang-kurang tidak menghalang, komuniti Cina Muslim untuk memakai pakaian yang selesa bagi mereka. Tiada masalah jika mereka ingin menonjolkan pakaian tradisional mereka.

Rasulullah SAW juga bersifat fleksibel dalam soal pakaian selagi tidak melanggar batas syariah dan nilai kesopanan. Baginda menggalakkan warna putih tetapi terdapat juga hadis-hadis yang menunjukkan Baginda juga memakai warna yang lain. Baginda memakai berbagai-bagai pakaian yang berasal dari pelbagai tempat seperti Yaman, Najran, Mesir dan lain-lain.

Rom ketika itu adalah tamadun besar Kristian bagaikan Dunia Barat pada hari ini. Namun, Baginda juga memakai jubah Rom atau `syamiah’ kerana ia tiada kaitan dengan agama berkenaan; ia hanyalah pakaian bangsa Rom. Begitu jugalah sepatutnya pendirian kita terhadap pemakaian pakaian budaya Cina selagi ia menutup aurat.

Kalau diteliti sejarah, Saad ibnu Waqas berdakwah di negara China dan dia diterima dengan mudah kerana yang bertukar hanya tauhid, bukannya budaya.

Tidak hilang identiti Cina jika Cina Muslim dilihat berpakaian baju Melayu dan bersongkok kerana mata mereka tetap sepet dan lidah mereka tetap pelat. Tidak hilang juga identiti Islam semata-mata berpakaian tradisi seperti samfu dan ceongsam selagi pemakainya menutup aurat sebagaimana yang dituntut syariat dan tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak.

Semoga dengan berkembangnya Islam dan hubungan rapat antara kaum, semakin kurang cabaran bagi Cina Muslim dalam mencari identiti baharu.