SAYA terkelu membaca surat terbuka Siti Kasim yang ditujukan kepada Menteri Pendidikan yang baharu, Dr Maszlee Malik, pada hari pertama Dr Maszlee di Kementerian Pendidikan. Terdahulu, Siti Kasim juga telah membuat petisyen bantahan secara online terhadap cadangan pelantikan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan.

Pelik, apa yang Siti Kasim takut sangat dengan Dr. Maszlee; seolah-olah bagi Siti Kasim, satu kesalahan besar jika mempunyai fikrah Islam.

Fikrah bermaksud menggunakan akal untuk sesuatu yang diketahui, bagi mengungkapkan sesuatu perkara yang tidak diketahui. Secara mudah, fikrah ialah pemikiran. Ibnu Khaldun mengatakan, “Berfikir atau fikr ialah gambaran bayang-bayang yang telah diindera – di balik perasaan dan aplikasi akal di dalamnya untuk membuat analisis dan sintesis.” (Muqaddimah Ibn Khaldun).

Saya juga hairan; sebagai seorang Islam, mengapa Siti Kasim kurang bersetuju subjek pengajian Islam diajar di sekolah, tidak bersetuju kanak-kanak perempuan memakai tudung di sekolah, menutup kantin pada bulan Ramadan, dan sebagainya. Lupakah beliau bahawa Islam adalah cara hidup, bukannya ibadah khusus semata-mata?

Sebaliknya, saya tertarik dengan tulisan Dr Maszlee dalam buku bertajuk Risalah Pemuda Muslim pada tahun 2015. Ia adalah sebuah karya yang cuba menggarap cetusan fikrah dan kefahaman untuk dijiwai oleh masyarakat Malaysia terutamanya golongan muda. Buku itu mengandungi enam bahagian utama yang penuh dengan penyampaian idea bagi pembentukan jasmani dan rohani pemuda Muslim.

Dalam bahagian pertama, Dr Maszlee mengajak pemuda Muslim menyelami pandangan sarwa Islam ataupun “Islamic Worldview”, iaitu bagaimana Islam melihat segala sesuatu. Menurut ajaran Islam, seorang Muslim menyedari bahawa dia adalah makhluk yang diciptakan Allah sebagai khalifah dengan misi untuk menjayakan dua objektif utama kehidupannya.

Objektif pertama, manusia mengabdikan diri kepada ALLLAH (ibadah) dengan mengikuti suruhan-Nya. Objektif kedua adalah meninggalkan larangan-Nya serta melakukan imarah, iaitu memakmurkan dunia ini serta mengelakkan kemusnahan terhadapnya. Pendek kata, hubungan individu Muslim dengan Tuhannya bergantung sejauh mana hubungannya dengan makhluk yang lain juga (Ramadan, 2005: 158-160).

Dalam bahagian kedua buku beliau, pemuda Muslim diajak memahami konsep tajdid dalam Islam. Tajdid berasal daripada kata kerja jaddada dalam bahasa Arab yang bermaksud sesuatu menjadi baharu, atau diperbaharui. Istilah tajdid juga disebut dalam al-Quran sebagai islah (pembaikan) seperti dalam firman-Nya yang bermaksud,

“Kecuali orang-orang yang bertaubat dan mengadakan islah (pembaikan) dan berpegang teguh pada (agama) ALLAH dan tulus ikhlas...” (Surah An-Nisa, ayat 146).

Dalam bahagian ketiga, pemuda Muslim dibawa untuk menghayati peranan pemuda dan perubahan-perubahan yang boleh dilakukan seiring dengan perjuangan Islam. Menurut beliau, pemuda dan politik ada kaitannya antara satu sama lain.

Keterlibatan politik juga bukan sekadar aktiviti mengundi, berkempen dan menghadiri ceramah politik, tetapi kerangkanya lebih menyeluruh dan komprehensif. Di bawah kerangka tauhid, segala penyertaan politik untuk membangunkan masyarakat dan negara juga diiktiraf sebagai amal soleh.

Pada bahagian keempat pula, Dr Maszlee mengajak pemuda Muslim untuk memahami erti sebenar ruang lingkup politik untuk golongan pemuda dan tanggungjawab sebenar yang boleh dijalankan pemuda Muslim dalam kancah politik.

Atas kesedaran dan rasa tanggungjawab inilah Dr Maszlee telah meletak jawatan sebagai pensyarah di UIAM pada 25 April 2018 untuk mengambil bahagian dalam PRU14. Dengan izin Allah, beliau telah memenangi kerusi Parlimen Simpang Renggam dan pada 22 Mei 2018, beliau melapor diri sebagai Menteri Pendidikan Malaysia.

Pada bahagian kelima dan keenam, Dr Maszlee memimpin pemuda Muslim ke arah pembentukan keperibadian dan ketrampilan berbekalkan pengalaman beliau di bumi asing. Jika dibaca tulisan beliau, Dr Maszlee tidaklah terlalu ekstrem dalam menyampaikan perkongsian ilmunya.

Saya lihat gaya penyampaiannya agak santai, kadangkala serius, serta penuh dengan tip dan nasihat agar pembaca tidak terlalu “tertekan” dengan kepadatan intipati buku tersebut.

Bagi saya, Dr Maszlee adalah seorang Islam yang versatil (serba boleh), berjiwa merdeka, berfikiran terbuka, bersikap progresif dan bermentaliti kritikal. Saya percaya beliau boleh mengangkat pendidikan negara setanding dengan negara maju.

* Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan