APABILA tiba musim cuti sekolah, selain daripada undangan majlis perkahwinan, ramai yang akan mengambil kesempatan mengkhatankan anak-anak lelaki mereka. Disebut sebagai bersunat dalam bahasa lokal, istilah bahasa Arabnya adalah qulfah dan dalam bahasa Latin pula disebut praeputium glandis. Mungkin ramai yang tidak tahu tetapi dalam bahasa kampung, ia dipanggil masuk Jawi.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Jawi bermaksud Melayu manakala Jawi peranakan bermaksud orang yang berketurunan Melayu dan India. Bahasa Jawi pula bermaksud bahasa Melayu. Manakala masuk Jawi bermaksud berkhatan atau bersunat.

Seorang kanak-kanak Melayu dikatakan 'masuk Jawi' setelah bersunat, kebiasaannya apabila sudah akil baligh. Maka boleh disimpulkan bahawa Jawi ialah orang Melayu Islam yang telah dewasa dan berakal. Seseorang yang baru memeluk Islam juga perlu masuk Jawi.

Istilah masuk Jawi dan masuk Melayu bagi melengkapkan keislaman seseorang adalah persepsi betapa orang Melayu itu semestinya beragama Islam. Secara tidak langsung, mereka ini dikatakan sudah masuk Melayu kerana sudah masuk Jawi.

Namun, persepsi masuk Islam sebagai masuk Melayu sudah mula berkurangan kerana khalayak sudah mula sedar dan faham berkenaan keuniversalan Islam. Ungkapan masuk Jawi juga sudah tidak kedengaran kerana telah digantikan dengan perkataan berkhatan.

Berkhatan ialah perbuatan memotong kulit yang menutupi bahagian hujung alat kelamin lelaki manakala bagi perempuan pula bahagian kulit atas saluran kencing. Bagi perempuan, disunatkan agar dinipiskan atau dikemaskan sahaja dan tidak melampau dalam memotong. Secara bahasa, khitan berasal dari kata khotana yang bererti memotong dalam bahasa Arab. Berkhatan merupakan ajaran warisan Nabi Ibrahim as, namun agama-agama Samawi lain seperti Yahudi dan Kristian juga mengajar penganutnya untuk berkhatan.

Menurut kitab Injil, Genesis 17:12, anak lelaki dianjurkan untuk berkhatan ketika berusia 8 hari. Nabi Isa as juga dikhatankan ketika berumur 8 hari dan kemudian secara rasmi diberi nama Jesus (Luke 2:21).

Menurut Mazhab Hanafi, Maliki, salah satu pendapat Imam Syafie dan salah satu riwayat Imam Hambali, berkhatan hukumnya sunat bagi lelaki dan keutamaan bagi perempuan. Mungkin itu sebabnya ia dipanggil bersunat.

Pendapat ini disandarkan pada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Berkhatan itu sunat bagi lelaki dan keutamaan bagi wanita.” (riwayat Baihaqi). Dalil lain yang dijadikan sandaran bahawa ia tidak wajib adalah kerana Salman al-Farisi tidak disuruh berkhatan sewaktu memeluk Islam.

Terdapat juga pendapat mazhab Syafie dan Hambali serta ulama Malikiyah yang mengatakan bahawa berkhatan hukumnya wajib bagi lelaki dan perempuan.

Pendapat ini dilandaskan pada ayat yang memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar mengikuti ajaran Nabi Ibrahim. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bahawa Nabi Ibrahim berkhatan ketika berumur 80 tahun dengan menggunakan kapak (riwayat Bukhari). Walaupun telah berusia 80 tahun, Nabi Ibrahim tetap berkhatan apabila diperintahkan. Ini menunjukkan kuatnya perintah untuk berkhatan.

Pendapat ketiga, diriwayatkan oleh Ibnu Qudamah dalam kitab Al- Mughni bahawa berkhatan hukumnya wajib bagi lelaki dan sunat bagi perempuan. Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradawi, setelah meneliti dalil-dalil dan hadis- hadis berkaitan khatan, menyimpulkan

bahawa khatan adalah wajib bagi lelaki dan tidak wajib, juga tidak sunat bagi wanita. Ia harus bagi wanita; digalakkan jika boleh membawa kepada manfaat dan tidak digalakkan jika sebaliknya.

Waktu berkhatan bagi mazhab Syafie dan Hambali adalah ketika baligh kerana khatan bertujuan menyempurnakan thaharah (bersuci) dalam beribadat. Namun disunatkan ketika berumur tujuh hari kerana Rasulullah SAW telah melaksanakan akikah dan mengkhatankan kedua-dua cucunya, Hasan dan Husain, ketika berumur tujuh hari (riwayat Thabrani dan Baihaqi).

Menurut pandangan dan kajian Imam Ibn Qayyim, Rasulullah SAW juga telah dikhatankan oleh datuknya, Abdul Mutalib, serta dinamakan Muhammad, pada hari ketujuh setelah dilahirkan.

Hikmah di sebalik tuntutan berkhatan telah dibuktikan melalui pelbagai kajian yang telah dijalankan secara saintifik. Kepada kanak-kanak lelaki yang bakal masuk Jawi cuti sekolah nanti, selamat mengorak langkah ke alam dewasa!

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • RAMAI yang teruja apabila mendengar berita mengenai sembilan kanak-kanak Tionghoa yang menyertai program Khatan Perdana di Pejabat Pilihan Raya BN, Dun Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan. Program tersebut disertai seramai 80 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.
  • HUJAN mencurah-curah di tiga negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia sejak minggu lepas. Kita sedia maklum, hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari boleh mengakibatkan banjir, sama ada pada skala kecil atau besar.
  • ANTARA kisah yang tersimpan dalam lipatan sejarah, adalah tentang seorang putera raja bernama Siddhartha Gautama yang lahir pada 623 sebelum Masihi di Lumbini, Kapilavasthu, Nepal.
  • PEGAWAI tentera wanita beragama Islam di Malaysia mempunyai pakaian seragam bertudung.
  • SKIM Ponzi adalah salah satu skim penipuan yang mendapat namanya rentetan penipuan Charles Ponzi terhadap rakyat Amerika yang melibatkan wang sejumlah AS$20 juta pada 1920. Ponzi menawarkan pulangan jangka pendek yang luar biasa tinggi untuk menarik pelabur.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.