WALAUPUN mungkin masih ada segelintir yang belum faham, majoriti masyarakat umum sudah tahu bahawa sambutan Tahun Baharu Cina adalah sambutan kebudayaan, bukan keagamaan. Sebab itulah kita lihat secara umumnya kaum lain di negara ini turut meraikannya bersama masyarakat Cina.

Syabas kepada Masjid Muham-madiah atau lebih dikenali sebagai Masjid Cina di Taman Tasek, Ipoh atas inisiatif menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina sejak beberapa tahun lepas.

Dengan kerjasama Macma Ipoh yang dipimpin oleh Datuk Dr Fadzli Cheah dan barisan jawatankuasa beliau, program ini mendapat sambutan lebih 1,000  pengunjung yang sebahagian besarnya adalah masyarakat Cina bukan Islam.

Mungkin ada yang berasa agak janggal melihat sambutan Tahun Baharu Cina di pekarangan masjid, apatah lagi disertai pula dengan tarian singa, namun Macma mempunyai alasan tersendiri.

Menurut Ustaz Mohd Hafiz Ng yang juga Timbalan Pengerusi Macma Ipoh, penganjuran program sedemikian adalah untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat Cina bahawa mereka masih boleh meraikan perayaan berkenaan asalkan tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Sebagai badan yang mewakili golongan Cina Muslim, pihak Macma ingin membetulkan  tanggapan mengenai Islam, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat Cina bukan Islam yang mana masih ada yang beranggapan bahawa masuk Islam bermakna masuk Melayu. Ini tidak betul kerana bangsa atau kaum tidak boleh ditukar. Mereka tetap orang Cina walaupun sudah Islam.

Program sambutan Tahun Baharu Cina di masjid ini yang mendapat liputan luas media berbahasa Cina seperti Sin Chew Jit Poh dan China Press diharap membantu mengubah salah tanggap masyarakat Cina terhadap Islam.

Kewujudan masjid berseni bina Cina seperti Masjid Muhammadiah, dan masjid seumpamanya di Kelantan dan Melaka, juga merupakan simbol kepada hakikat bahawa Islam adalah universal, bukan untuk bangsa tertentu sahaja.

Selain itu, usaha sebegini juga mampu membentuk permuafakatan dan mengeratkan persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini  dengan memberi ruang masyarakat Melayu dan Cina bukan Islam bergaul mesra hasil usaha golongan Cina Muslim sebagai jambatan perpaduan antara dua kaum terbesar di   Malaysia ini.

Tahniah juga diucapkan kepada Masjid Saidina Abu Bakar AsSiddiq, Bangsar yang turut menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina di masjid mereka semasa sambutan perayaan tersebut baru-baru ini.

Jika masjid berseni bina Cina dan Macma yang menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina, ianya mungkin tidak pelik tetapi jika masjid yang tidak berseni bina Cina yang ahli jawatankuasa dibarisi orang Melayu yang menganjurkan sambutan itu, ia menjadi sesuatu yang sangat menyentuh hati dan pastinya sangat dialu-alukan.

Program tersebut mendapat sambutan luar biasa termasuk daripada pengunjung bukan Islam. Pada mulanya pihak penganjur menganggarkan sekitar 100-150 pengunjung akan hadir tetapi lebih kurang 400 orang telah berkunjung ke Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq pada hari tersebut.

Program selama dua jam yang diadakan di dalam dewan masjid menyaksikan kehadiran pengunjung yang berpakaian tradisi berwarna merah, termasuk batik merah dan baju kurung merah bagi mereka yang bukan Cina.

Malahan, makanan tradisi masyarakat Melayu seperti ketupat dan rendang, nasi minyak dan lain-lain turut dihidangkan bersama dengan limau mandarin. Ia simbolik kepada kehidupan masyarakat pelbagai kaum yang hidup bersama dalam suasana harmoni.

Pengerusi  jawatankuasa  masjid, Datuk  Ibrahim Thambychik berkata, ini adalah kali pertama masjid tersebut menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina demi untuk menunjukkan bahawa masjid itu terbuka untuk semua.

Jika dilihat sejarah Islam, masjid bukan sahaja digunakan sebagai tempat beribadat, malah sebagai pusat kegiatan sosial bagi masyarakat Islam dan bukan Islam.

Menurutnya lagi, kerana sambutan yang menggalakkan daripada penduduk pelbagai kaum dan agama dari kawasan kejiranan Bangsar, pihak masjid bercadang menganjurkan lagi program yang sama pada tahun hadapan.

Sangat baik sekiranya masjid-masjid lain di seluruh Malaysia juga mengamalkan keterbukaan dengan menganjurkan program seumpama ini.

Selain mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum, ia juga dapat membetulkan salah faham terhadap Islam.