STAF pusat zakat hanya tunggu di pejabat dan tidak keluar padang. Duit zakat berjuta-juta digunakan untuk membeli bangunan, tidak disalurkan kepada asnaf. Begitulah antara dakwaan mahupun persoalan yang sering kedengaran dan disuarakan di media sosial.

Baru-baru ini, portal Malaysiakini melaporkan dakwaan wujudnya sindiket yang mempergunakan golongan mualaf di negara ini untuk mendapatkan bantuan kewangan. Perkara ini didedahkan oleh Timbalan Pengurus Baitumal MAIWP, Ahmad Tarmizi Yahya, selepas ramai pihak mempersoalkan kesukaran golongan mualaf untuk mendapatkan bantuan kewangan.

Terdapat pula maklum balas dalam media sosial yang mengatakan bantuan zakat memang sukar diperoleh dan jika dapat pun, tidak seberapa. Benarkah begitu?

Sebenarnya, prosedur yang ditetapkan langsung tidak bermaksud untuk menyusahkan asnaf. Sebaliknya, ia adalah langkah kawalan untuk memastikan zakat hanya diagihkan kepada asnaf yang layak dan setiap permohonan diproses dengan betul dalam tempoh yang ditetapkan.

Terdapat permohonan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), sebagai contoh, yang diluluskan dalam masa tidak sampai lima minit kerana ia lengkap dan pemohon benar-benar layak menerima bantuan.

Salah satunya melibatkan permohonan seorang mualaf dalam kecemasan. Marina Lee (bukan nama sebenar) setakat ini telah tiga kali mendapat wang kecemasan kerana ditinggalkan suaminya dalam keadaan beliau tidak bekerja dan mempunyai tiga anak kecil. Oleh kerana Marina mempunyai dokumen untuk membuktikan beliau adalah mualaf dan borang permohonannya lengkap, beliau tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan wang tunai segera.

Tanpa prosedur, wang zakat terdedah kepada penyelewengan terutamanya yang melibatkan permohonan wang kecemasan. Oleh kerana ada sahaja golongan yang  mengambil kesempatan, adalah sangat penting untuk memastikan hanya mereka yang layak sahaja mendapat bantuan zakat.

Majlis agama Islam negeri mengagihkan zakat kepada lapan kumpulan asnaf bersandarkan firman ALLAH SWT dalam surah at-Taubah ayat 60 yang membawa maksud zakat hanyalah untuk lapan asnaf yang telah ditetapkan.

Setiap permohonan juga mempunyai syarat; ia perlu disertakan dengan dokumen sokongan bagi memastikan ketelusan permohonan dan hak zakat dapat dipelihara serta mengelakkan penipuan.

Sebenarnya, jika setiap permohonan memenuhi semua dokumen yang diminta, proses permohonan menjadi mudah dan bantuan dapat diberikan dengan segera. Yang menjadi masalah adalah apabila borang yang dihantar tidak lengkap, misalnya tiada penyata gaji, tiada resit pembayaran bil hospital, tiada pengesahan imam masjid, dan sebagainya. Sudah pasti akan terjadi kelewatan.

Persepsi bahawa wang zakat tidak sampai kepada asnaf juga tidak betul. Orang awam dapat melihat Info Zakat pada laman web setiap pusat zakat. Sehingga artikel ini ditulis, jumlah kutipan zakat semasa Maik, sebagai contoh, adalah RM120.88 juta manakala jumlah agihan semasa adalah RM129.02 juta. Begitu juga negeri-negeri lain. Setiap ringgit yang dikutip diagihkan dengan kadar segera.

Setiap pusat zakat juga perlukan kerjasama semua anggota masyarakat, terutamanya yang mengenali asnaf; ini termasuk pihak NGO, penghulu, penggawa, jawatankuasa penduduk, jawatankuasa masjid, pihak media, serta orang persendirian yang sepatutnya membantu menyalurkan maklumat kepada pusat zakat. Kerjasama ini penting bagi memudahkan usaha membantu asnaf.

Dakwaan kononnya bantuan zakat untuk pelajar bidang pengajian agama sahaja juga tidak benar. Untuk bantuan melanjutkan pelajaran ke IPT, syaratnya adalah bidang pengajian yang memberi manfaat kepada umum; sebagai contoh, bidang perubatan dan kejuruteraan.

Di Kelantan, pegawai Maik juga turut membuat semakan dan siasatan dengan turun ke padang untuk menilai keadaan pemohon. Mereka yang tidak layak atau sudah terkeluar daripada had al-kifayah tidak layak didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin. Ada yang menjadi asnaf selama 3 tahun dan pada tahun ke-4 kejayaan perniagaan telah mengeluarkannya daripada golongan asnaf.

Selain itu, Maik juga menaja golongan asnaf (fakir, miskin, dan mualaf) untuk mengikuti program bengkel kemahiran hidup seperti jahitan, sulaman, automotif dan lain-lain. Malah, Maik juga telah mewujudkan tajaan bagi anak-anak yang cemerlang dalam akademik untuk melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah.

Begitulah usaha berterusan Maik dalam memastikan fungsi pusat zakat berada pada tahap optimum. Maik cakna, asnaf sejahtera.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KITA sering mendengar pepatah orang tua-tua, hidup ini biarlah menjadi benih yang baik. Benih yang baik, jika jatuh ke laut, akan menjadi pulau. Ia bermaksud, orang yang berketu-runan baik, ke mana pun dia pergi, akan sentiasa menjadi baik.
  • BEBERAPA hari lagi masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Lunar yang juga dikenali sebagai Tahun Baharu Cina. Sebagaimana biasa, akan kedengaran ungkapan Gong Xi atau Gong Xi Fa Cai di sana sini.
  • MASYARAKAT kita sudah terbiasa dengan pemi-kiran bahawa pelajar perlu belajar rajin-rajin, masuk universiti, dapatkan segulung ijazah dan apabila selesai pengajian, dapat kerja yang baik-baik.
  • ALLAHYARHAM Abdul Rahman bin Othman, yang lebih terkenal dengan nama Tok Selehor, merupakan seorang ulama kelahiran Kelantan yang zuhud dan warak.
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?