KERAJAAN Malaysia baharu cukup terbuka menerima kritikan dan memberikan lebih kebebasan kepada media. Perbezaan pandangan diraikan dan ruang bersuara yang lebih bebas diberikan kepada rakyat. Apa yang membimbangkan ialah ruang bersuara ini disalahgunakan apabila terdapat pihak yang galak menyebarkan berita palsu ataupun yang tidak sahih.

Nampaknya, masih ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak dapat membezakan antara kritikan dan fitnah. Ramai yang masih berterusan dengan sewenang-wenangnya menyebarkan berita yang tidak pasti kebenarannya, malah ditokok tambah dengan kecaman, sebagai cara mengkritik pihak yang tidak kena dengan selera politik mereka.

Fitnah adalah mengada-adakan sesuatu yang tiada atau menokok tambah maklumat yang sengaja direka untuk menyedapkan cerita. Baru-baru ini, telah tersebar satu sedutan video yang memaparkan seorang menteri menghina orang Melayu yang menerima BR1M. Sedutan video tersebut hanya menumpukan pada ungkapan yang disebut beliau berkenaan BR1M tersebut dan ia telah diputarbelitkan di luar konteks. Video penuh rakaman terbabit sepanjang 31 minit dan 6 saat boleh didapati di YouTube.

Sepatutnya, mereka yang telah mengecam dan menyumpah seranah menteri berkenaan menonton video penuh tersebut terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan.

Saya telah menonton video penuh tersebut yang bertajuk Lee Ta’arafu: Apa Lagi Cina Mau? yang telah dikeluarkan selepas PRU13. Dalam video itu, menteri itu merupakan pengacara dan seorang lagi individu yang berdarah kacukan Melanau dan Cina merupakan orang yang ditemu ramah.

Saya tertanya-tanya apa motif penyebar video tersebut yang hanya memaparkan ayat, “Orang Melayu tidak boleh hidup kalau tiada BR1M” itu sedangkan banyak lagi topik dan persoalan yang dibincangkan dalam video tersebut.

Saya juga tertanya-tanya, adakah penyebar video terbabit sudah menonton keseluruhan video tersebut kerana dia seolah-olah telah terkeliru antara pengacara dan orang yang ditemu ramah. Sesiapa yang menonton keseluruhan video tersebut akan tahu bahawa mereka turut mengkritik orang Cina yang ultra kiasu serta orang Cina yang tidak mahir berbahasa Melayu dengan betul.

Dalam video tersebut juga disebut tentang pendeta Za’ba yang mengkritik budaya Melayu dalam bukunya, “Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri”. Saya tidak tahu berapa ramai antara kita yang pernah membaca buku Za’ba ini.

Dalam buku tersebut, Za’ba mengkritik orang Melayu yang kebanyakannya selalu berharap kepada orang lain dalam mengerjakan sesuatu serta menegur sikap orang Melayu yang hanya menurut sahaja amalan-amalan yang dikerjakan oleh orang tua-tua secara bulat-bulat (taklid buta).

Kritikan Za’ba lebih keras jika dibandingkan dengan sindiran dua individu dalam video yang telah viral ini agar orang Melayu bangkit daripada tidur dan mengubah nasib mereka sendiri. Maka, sangat ironi apabila banyak pula pihak yang menularkan fitnah dengan mengatakan bahawa mereka ini bersifat rasis dan perkauman.

Memfitnah adalah suatu bentuk penyakit hati yang mungkin disebabkan dendam dan rasa benci yang tinggi. Mereka yang menularkan cerita ini pula apabila ditegur mengatakan bahawa mereka hanya mengkritik dan kerajaan Malaysia baharu bersikap terbuka dengan kritikan. Kritikan atau teguran apakah jika yang ditularkan itu tidak benar? Bukankah itu merupakan tuduhan, atau fitnah? Sebagai orang Islam, kita sangat maklum bahawa memfitnah itu lebih kejam daripada membunuh.

Golongan ini seperti musuh Islam yang islamofobia, yang menyerang Islam dengan mengambil satu ayat al-Quran atau hadis sahaja tanpa mengendahkan dan memahami keseluruhan al-Quran dan hadis. Lebih parah mereka membuat pentafsiran sendiri. Sebagai contoh, perintah membunuh orang kafir dalam al-Quran (Surah al-Baqarah, ayat 191); ayat ini sering ditonjolkan tanpa menjelaskan ayat-ayat sebelum dan sesudahnya.

Sebenarnya, ayat sebelumnya berkaitan orang kafir yang mengusir kaum Muslimin dari kampung mereka atas alasan agama atau tanpa alasan yang benar. Apa yang sepatutnya perlu difahami daripada ayat-ayat ini ialah orang Islam hanya boleh memerangi orang yang memerangi mereka tanpa alasan yang benar dan umat Islam juga tidak boleh melampaui batas. Umat Islam harus memaafkan sekiranya musuh mereka meminta maaf dan berhenti daripada bersifat bermusuhan.

Maka, bagi mereka yang suka atau terbabit dengan fitnah, segeralah bertaubat dan memohon maaf kepada mereka yang difitnah. Adalah mulia orang yang mengaku kesalahan dan ikhlas menarik balik keterlanjuran kata-katanya. Renung-renungkanlah.

* Penulis ialah pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan