SEBAGAI sebuah negara membangun yang sedang menuju ke arah negara maju, Malaysia terdedah dengan pelbagai cabaran dan antaranya ialah kejadian jenayah.

Kejadian jenayah yang membabitkan keganasan dan trauma telah menjadi isu yang sering membelenggu rakyat Malaysia.

Pihak polis juga sentiasa peka dan cakna dengan menganjurkan program-program pencegahan jenayah bersama komuniti. Namun, jenayah tetap berlaku. Tidak ada sehari pun berlalu tanpa kejadian jenayah. Di manakah silapnya?

Antara faktor yang menyebabkan berlakunya kegiatan jenayah adalah apabila seseorang itu mempunyai banyak waktu lapang yang tidak diisi dengan aktiviti-aktiviti sihat atau yang boleh mendatangkan faedah. Kekurangan peluang pekerjaan turut menyumbang kepada masalah ini. Ramai yang duduk di rumah tanpa apa-apa pekerjaan.

Jika diteliti kes-kes jenayah seperti ragut dan pecah rumah, kebanyakan yang didakwa dilaporkan sebagai penganggur. Thomas M. Aravanites and Robert H. Defina juga menyenaraikan pengangguran sebagai faktor penting dalam peningkatan kadar jenayah seperti yang dilaporkan dalam jurnal Criminology pada tahun 2006.

Persekitaran sosial yang buruk dan tekanan hidup akibat kemiskinan dan kemunduran menjurus kepada kegiatan antisosial, juga gengsterisme, pengedaran dadah, dan pelacuran.

Pengaruh media massa yang semakin banyak menonjolkan hiburan melampau, rancangan atau program berunsur ganas dan bersifat destruktif, tidak kurang juga kandungan seksual yang eksplisit serta budaya hidup liar, juga menyumbang kepada peningkatan jenayah sehingga ia dianggap sesuatu yang biasa dalam kehidupan moden.

Masalah jenayah yang mengancam masyarakat dan negara tidak boleh dibanteras tanpa kerjasama semua pihak. Perkara ini perlu ditangani secara objektif tanpa prejudis terhadap mana-mana kumpulan, tidak mengira agama, fahaman politik dan sebagainya.

Perlu ada usaha bersungguh-sungguh untuk mengkaji dan sama-sama membantu menyelesaikan masalah yang semakin meruncing ini.

Keberkesanan sistem perundangan juga penting dalam usaha membendung masalah sosial dan jenayah. Salah satu cara yang sangat penting dan berkesan untuk menghindarkan jenayah adalah dengan hidup beragama. Tetapi, ia masih tidak cukup jika tidak disertakan dengan kasih sayang.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Ustaz Muhamad Adli Abdul Rozak, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam USM, jika kita demam atau jatuh sakit akibat jangkitan kuman atau bakteria, doktor akan memberikan antibiotik untuk melemahkan atau membunuh kuman tersebut; begitu juga manusia.

Kurangnya antibiotik kasih sayang merupakan salah satu punca remaja terjebak dengan gejala sosial seperti penagihan dadah yang kemudiannya membawa kepada jenayah lain, semata-mata untuk terus mendapatkan najis dadah kerana telah ketagihan.

Ada betulnya apa yang dikatakan oleh Ustaz Muhamad Adli. Masyarakat kita sekarang semakin kehilangan nilai-nilai kasih sayang. Apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, ahli masyarakat begitu cepat menuding jari kepada agensi kerajaan mahupun pihak berwajib, seolah-olah merekalah yang bertanggungjawab sepenuhnya dan harus dipersalahkan.

Persoalannya, adakah kita telah melakukan secukupnya sebagai komuniti mahupun institusi keluarga untuk menangani isu serta punca berlakunya jenayah?

Memang benar, pengukuhan kuasa serta ketelusan pelaksanaan undang-undang membolehkan pihak yang berwajib bertindak dengan lebih tegas termasuk dalam menangani dan mengatasi jenayah yang melibatkan pelbagai pihak.

Kerjasama erat antara polis dan masyarakat juga merupakan konsep permuafakatan bijak yang berkesan dan sesuai dengan usaha membebaskan masyarakat dan negara daripada jenayah.

Bagaimanapun, usaha-usaha ini hanya akan membuahkan hasil sekiranya semua pihak saling menyokong, bantu-membantu, dalam apa jua cara, membuang sikap suka mencari kesalahan dan menjatuhkan orang atau pihak lain, mengutamakan persamaan dan mengetepikan perbezaan.

Semuanya mungkin dengan hati yang bersih dan sifat saling menghormati dan berkasih sayang.

Kerajaan negeri dan Persekutuan walaupun berbeza fahaman politik, perlu mengambil langkah proaktif dengan melibatkan semua agensi berkenaan, sama ada daripada pihak kerajaan atau sebaliknya, untuk sama-sama mencari formula bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan memperbaiki keadaan sosioekonomi supaya anak-anak muda terutamanya memiliki sumber pendapatan dan tidak terlibat dengan masalah sosial.

Bermula dari rumah dan di peringkat apa sekalipun, antibiotik kasih sayang merupakan sesuatu yang penting dan mujarab dalam memastikan keberkesanan segala usaha.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PEGAWAI tentera wanita beragama Islam di Malaysia mempunyai pakaian seragam bertudung.
  • DALAM keluaran sebuah majalah Islam baru-baru ini, seorang sahabat Cina Muslim mengkritik salah satu artikel saya di ruangan ini yang bertajuk Izinkan Hazman bermain tanglung.
  • BARU-baru ini, saya terbaca tulisan sahabat Cina Muslim saya dalam sebuah majalah Islam. Beliau bimbang ada gerakan dalam kalangan Cina Muslim yang lebih mahu 'mencinakan' Islam daripada mengislamkan Cina.
  • NEGARA China yang terletak di tengah-tengah benua Asia juga dikenali sebagai Zhongguo dalam bahasa Mandarin atau Tiongkok dalam dialek Hokkien yang bermaksud negara atau kerajaan tengah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.