CINA Muslim di Malaysia bukanlah satu komuniti yang homogen atau seragam tetapi terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza dan kompleks. Berdasarkan istilah atau gelaran Cina Muslim, ramai yang faham ia merujuk kepada seseorang atau golongan etnik Cina yang beragama Islam. Walaupun mata mereka sama sepet, mereka tidak semestinya sama.

Cina Muslim di Malaysia secara umumnya terbahagi kepada dua kelompok utama, iaitu mereka yang dilahirkan Islam dan mereka yang memeluk Islam. Mereka yang dilahirkan Islam pula terbahagi kepada: (1) keturunan Hui dari negara China, (2) anak keturunan pemeluk Islam Cina tempatan, dan (3) anak perkahwinan campur Cina-Melayu.

Di China, terdapat 10 kumpulan etnik Muslim dan masyarakat Hui merupakan kumpulan etnik yang terbesar. Selain Hui, kumpulan lain terdiri daripada kaum Uyghur, Kazak, Kirgiz, Uzbek, Tatar, Tajik, Dongxiang, Sala dan Bao’an. Hampir kesemua Muslim dari Tanah Besar China yang berhijrah ke Malaysia juga adalah daripada keturunan Hui. Antaranya ialah Datuk Haji Mustapha Ma, anak Allahyarham Haji Ibrahim Ma Tien-Ying.

Begitu juga di Sabah. Pada tahun 1903, seramai 108 keluarga dari Tianjin di Utara China telah dibawa masuk ke Sabah (dikenali sebagai North Borneo ketika itu) oleh pihak British. Dalam kumpulan tersebut, terdapat keluarga Cina Muslim (keturunan Hui) yang kemudiannya membentuk masyarakat Cina Muslim Shandong di Kota Kinabalu, Sabah.

Saya sempat mengenali Dr Fadzil Wong Chee Ping, Pensyarah UMS yang sebelum ini mengambil pengajian PhD di USM Kampus Kesihatan, Kubang Kerian. Apabila ditanya bila beliau memeluk Islam, beliau mengatakan sudah lebih tujuh keturunannya beragama Islam. Bahasa Mandarin yang beliau gunakan juga agak pekat, mirip Mandarin Tanah Besar China.

Golongan kedua Cina Muslim yang dilahirkan Islam adalah daripada keturunan pemeluk Islam Cina tempatan.

Saya mempunyai seorang sahabat berketurunan Lee dari Kuching, Sarawak. Arwah datuk dan neneknya memeluk Islam ketika zaman penubuhan Perkim. Ayahnya pula berkahwin dengan perempuan Cina yang memeluk Islam. Beliau sendiri juga berkahwin dengan perempuan Cina yang memeluk Islam. Anak-anak beliau merupakan generasi keempat Cina Muslim di Malaysia.

Golongan ketiga pula ialah anak-anak hasil perkahwinan campur, sama ada bapa Melayu dan ibu Cina Muslim; bapa Cina Muslim dan ibu Melayu; bapa Cina Muslim dan ibu India Muslim; bapa India Muslim dan ibu Cina Muslim; dan lain-lain yang seumpamanya. Mereka yang merupakan anak kahwin campur biasanya bersifat lebih terbuka dan arif tentang kedua-dua budaya sebelah ayah dan ibu mereka.

Antara sahabat saya yang kahwin campur ialah Dr Jaysuman Pusppanathan (India Muslim) yang berkahwin dengan Prof Madya Dr Fatin Aliah Phang. Yang menariknya, Dr Jaysuman amat fasih berbahasa Mandarin tetapi terpaksa berbahasa Melayu dengan saya kerana saya lebih fasih berbahasa Melayu.

Sebahagian besar Cina Muslim di Malaysia terdiri daripada mereka yang dilahirkan bukan Islam dan telah memeluk Islam atas pelbagai faktor. Antaranya adalah faktor perkahwinan. Tidak kurang juga yang  minat terhadap agama Islam. Ada yang sudah lama berminat dengan ajaran Islam tetapi terdorong untuk memeluk Islam setelah mempunyai pasangan Muslim, sama ada Melayu mahupun Cina Muslim sendiri.

Mereka yang memeluk Islam ini pula terdiri daripada suku dan dialek yang berbeza. Enam kumpulan dialek yang utama di Malaysia ialah Hokkien, Hakka, Kantonis, Teochew, Hainan dan Hokciu. Sebagai contoh, nama keluarga saya ialah Yap dan kami daripada suku Hokkien manakala Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin pula daripada suku Hakka. Walaupun mempunyai nama keluarga yang sama, bahasa dan budaya kami berbeza.

Sungguhpun Cina Muslim di Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang, mereka kini disatukan di bawah payung Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) yang dipimpin oleh Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Macma komited dalam usaha perpaduan bukan sahaja dalam kalangan Cina Muslim di Malaysia tetapi juga sebagai penghubung antara Melayu dan Cina bukan Muslim. Kepelbagaian bukan penghalang kepada perpaduan dan kesatuan.