BARU-baru ini, usai solat Asar di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, saya sempat bersembang dengan insan yang mesra dengan panggilan Ayah Pa, dan juga sahabat saya, Azkari, yang juga jiran kepada Ayah Pa. Ayah Pa, seorang usahawan minyak gosok terkemuka, sudah berumur 79 tahun.

Beliau masih sihat dan boleh memandu sendiri ke masjid dari rumahnya. Beliau juga tidak memakai cermin mata sebagaimana saya dan Azkari yang umur hanya separuh daripada umur Ayah Pa.

Ayah Pa membayangkan kerisauannya tentang masyarakat Islam sekarang yang semakin jauh daripada al-Quran. Ramai yang tidak tahu membaca al-Quran, apatah lagi mengamalkannya.

Yang membimbangkan Ayah Pa ialah mereka yang tidak mengamalkan Islam ini lebih terdedah kepada pemikiran liberalisme dan pluralisme agama.

Pemikiran ini mencabar akidah Islam daripada kaca mata Ahli Sunnah wal Jama’ah. Idea liberalisme dan pluralisme agama ini bukan sahaja tidak bertepatan dengan pegangan akidah Islam, malah bertentangan secara langsung dengan iktikad yang muktabar.

Sebilangan Muslim menerima pendekatan liberal dalam memahami Islam. Antara pelopor pemikiran liberal dalam Islam ialah Asaf Ali Ashgar Fyzee, seorang pendidik dan sarjana Islam yang berasal dari India, yang meninggal dunia pada 1981.

Beliau berpendapat wahyu perlu ditafsir semula dalam kerangka pelbagai teori yang baru ditemui, seperti dalam disiplin Sejarah dan Sains.

 Selain nama liberal Islam dan Protestan Islam, aliran pemikiran ini juga dikenali dengan nama-nama seperti reformis, ijtihadis, modenis, neo-modenis, moderat, progresif, transformasionis, positivis dan enlightened Islam.

Ayah Pa bimbang, jika setiap orang berpegang pada tafsiran peribadi masing-masing, bukannya mengikut ijmak ulama atau yang digariskan oleh pemerintah, agama akan difahami dengan pelbagai kecenderungan. Mungkin akan ada yang cenderung ke arah liberalisme dan ada juga yang cenderung menjadi ekstrem.

 Jika yang liberal melonggarkan amalan agamanya, yang ekstrem pula mungkin mengamalkan agamanya dengan keras sekali dan mungkin cenderung kepada keganasan, seperti Daesh. Ada juga yang sudah menjadi ateis.

Antara pandangan dalam mentafsirkan kehidupan manusia yang selaras dengan idea liberalisme ialah falsafah pluralisme agama. Asas kepada pemikiran ini ialah fakta bahawa di dunia ini wujud pelbagai agama.

Menurut Alan Race dalam bukunya yang bertajuk, Christians and Religious Pluralism yang diterbitkan pada 1993, pluralisme ialah kepercayaan bahawasanya ada pelbagai cara dan aspek yang menghubungkan manusia dengan penciptanya, dengan matlamat yang sama.

Jika liberalisme mengesyorkan kebebasan individu termasuk dalam hal beragama, sebagaimana yang lantang disuarakan oleh seorang aktivis dan peguam wanita mutakhir ini, pluralisme pula menganjurkan idea kesamarataan agama.

Mereka percaya bahawa semua manusia berhubung dengan Tuhan yang sama, maka semua agama adalah benar. Bagi mereka, yang membezakan  agama-agama ini ialah jalan-jalan menuju Tuhan (all faiths are true and show different paths to the same reality).

Idea pluralisme agama ini mengabaikan iktikad tentang kebenaran agama Islam sendiri. Dalam Islam, kebenaran akidah ialah asas yang membina hubungan manusia dengan ALLAH.

Kebenaran akidah ini yang akhirnya membolehkan manusia diselamatkan oleh ALLAH di akhirat kelak, daripada dimasukkan ke dalam neraka, kepada nikmat di dalam syurga.

Perbezaan didikan dan keadaan dunia yang semakin moden menyebabkan generasi baharu terlalu menekankan keduniaan dan material menyebabkan ramai generasi muda yang muflis rohani. Ini yang benar-benar merisaukan Ayah Pa; nasib generasi cucu dan cicit beliau.

Kesan langsung muflis rohani ini boleh dilihat dengan senang apabila generasi baharu begitu mudah terpengaruh dengan idea liberalisme dan pluralisme agama.

Golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Trans-gender (LGBT) juga semakin berani menonjolkan diri di tanah air kita. Mereka menjadi lebih berani dengan adanya pertubuhan Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process (Comango) yang memperjuangkan kebebasan dan kesaksamaan gender bagi pihak mereka.

Selain pendidikan formal, pendidikan langsung di rumah dan keluarga yang menekankan pembangunan sahsiah selain akademik, merupakan "pendinding semula jadi” yang lebih utama agar generasi sekarang dan akan datang terhindar daripada anasir-anasir negatif.

Kita semua sangat perlu kembali kepada Islam yang sebenar. Semo-ga kerunsingan Ayah Pa akan terubat dan akidah Islam terus terpelihara.