KEMPEN PRU14 secara rasminya telah bermula dan akan berakhir pada jam 12 tengah malam sebelum hari pengundian. Dalam kerancakan semua pihak berkempen untuk calon dan parti masing-masing, saya berasa terpanggil untuk turut berkempen.

Saya ingin berkempen agar kita semua sentiasa menghargai para guru yang pernah mendidik dan mencurahkan ilmu kepada kita, juga guru kepada anak-anak kita. Hari Guru di Malaysia disambut pada tanggal 16 Mei setiap tahun.

Oleh kerana tarikh tersebut jatuh seminggu selepas PRU, perhatian masyarakat umum mungkin masih tertumpu pada landskap politik negara dan hal-hal yang berkaitan, di samping bertembung dengan awal Ramadan sehingga mungkin menenggelamkan hari untuk memperingati jasa para guru.

Sebenarnya, kempen hashtag #TerimaKasihCikgu ini merupakan ilham Yang Dipertua PIBG SMK Kubang Kerian, Prof Madya Dr Mohd Saat Ismail. Menurut beliau, sambutan Hari Guru biasanya disambut sesama guru dan pelajar, dan persiapan sambutan diuruskan oleh guru, untuk guru.

Pada tahun ini, Dr Mohd Saat ingin membuat kelainan. Beliau mahu para guru diraikan dan persiapan sambutan Hari Guru dibuat oleh ibu bapa pelajar untuk para guru. Ini merupakan satu penghormatan untuk guru dan salah satu cara ibu bapa menzahirkan rasa terima kasih kepada guru-guru yang mendidik anak-anak mereka.

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari bulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai Dasar Pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.

Baru-baru ini saya terserempak dengan guru yang mengajar saya subjek Kesusasteraan Melayu ketika saya belajar di tingkatan enam di SMJK (Cina) Chung Hwa, Kota Bharu. Cikgu yang bernama Chan Eh Gi ini adalah seorang Cina yang memperjuangkan bahasa Melayu.

Hasil didikan beliau, saya mendapat gred A untuk mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dalam peperiksaan STPM. Saya boleh menulis ini pun hasil didikan beliau serta guru-guru lain. Terima kasih Cikgu Chan.

Sebenarnya, saya cukup kagum dengan mereka yang bergelar guru. Mungkin tidak ramai yang tahu tugas guru bukannya selesai sebaik sahaja loceng tamat sekolah dibunyikan. Malah, mungkin ramai yang memikirkan kerja guru itu senang.

Dikatakan kerja sebagai guru banyak cuti; pelajar cuti maka guru pun cuti. Tahukah mereka matlamat sebenar insan mulia yang bergelar guru? Adakah sekadar mengajar menulis, membaca dan mengira sahaja? Atau sekadar memastikan pelajar mendapat A bagi semua mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan?

Guru juga mempunyai pelbagai tugas pentadbiran selain tugas hakiki sebagai pendidik. Bagaimana pula dengan kerenah pelajar? Sememangnya, setiap pekerjaan ada cabarannya. Yang pasti, tugas sebagai seorang pendidik bukan saja untuk mengajar agar anak-anak didiknya berjaya dalam peperiksaan tetapi turut memikul tanggungjawab menginsankan manusia.

Dan ini memerlukan komitmen tinggi serta semangat yang kental serta mental yang kuat. Jika kerenah dua atau tiga orang anak di rumah pun sudah memeningkan, apatah lagi para guru yang perlu menghadapi puluhan pelajar dalam satu-satu kelas.

Ketika memberikan ceramah motivasi kepada sekumpulan para pengawas di Kem Kepimpinan Pelajar SMK Kubang Kerian baru-baru ini, saya boleh lihat betapa guru-guru yang ada sentiasa mengambil berat kebajikan pelajar-pelajar mereka. Ada pelajar yang tidak sihat, ada yang lemah semangat, dan sebagainya.

Tabik hormat kepada guru-guru ini, terutama Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Cikgu Nazrul Koh, yang sentiasa kelihatan di sekolah walaupun pada hari minggu. Beliau seolah-oleh bekerja setiap hari tanpa ada hari rehat. Walaupun sibuk dengan tugas pentadbiran sekolah, Cikgu Nazrul turut mengajar serta sentiasa mengambil berat kebajikan para pelajar.

Ayuh, marilah kita semua meraikan kempen #TerimaKasihCikgu ini dengan meluangkan masa mahupun apa jua sumbangan untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini.

*Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan