ITULAH tajuk sebuah buku yang ditulis oleh sahabat saya, Dr Raja Shamri Raja Husin. Buku tersebut ditulis setahun selepas banjir besar di Kelantan yang umpama tsunami sungai yang telah menyebabkan kemusnahan yang teruk. Raja Shamri berkongsi pengalaman beliau dalam menangani bencana di barisan hadapan; pengalaman sewaktu di lapangan apabila mengetuai sebuah organisasi kemanusiaan yang dinamakan Thirdforce.

Antara pesanan yang disampaikan dalam buku tersebut ialah kita harus membantu orang susah tanpa mengharapkan balasan. Sebenarnya, apabila kita membantu orang, kita membantu diri kita sendiri. Ini adalah perkara yang masyarakat kita tidak berapa faham atau kurang jelas.

Biasanya, apabila kita tengok orang susah, kita akan membantu dengan harapan untuk menyelesaikan masalah mereka. Seperti yang ditulis oleh Raja Shamri dalam bukunya, ketika beliau dan ahli kumpulannya bertungkus-lumus menyiapkan rumah mangsa banjir, bermacam-macam peristiwa yang berlaku yang memberikan keinsafan kepada mereka.

Antaranya, apabila rumah sudah siap, ada antara mangsa banjir yang tidak sempat mendiami rumah tersebut. Mangsa banjir berkenaan meninggal dunia pada hari yang dia dan keluarganya sepatutnya masuk ke rumah yang telah disiapkan untuk mereka. Ada pula yang bila rumah siap, mereka mengambil keputusan untuk tinggal di tempat lain. Maka, rumah itu diberikan kepada orang lain. Malah, ada juga yang meruntuhkan rumah yang dibuat selepas beberapa bulan tinggal di situ dan mereka menghilangkan diri entah ke mana.

Terdapat juga kes kanak-kanak sakit jantung dalam kalangan mangsa banjir. Thirdforce telah mengumpulkan sumbangan orang ramai untuk membantu kanak-kanak tersebut tetapi takdir ALLAH menentukan adik itu meninggal dunia disebabkan kencing tikus.

Apa yang cuba disampaikan oleh Raja Shamri ialah kita sebenarnya membantu orang dalam kesusahan bukannya untuk menyelesaikan masalah mereka tetapi kita hendak mengambil saham akhirat masing-masing. ALLAH memberi peluang untuk kita berbuat baik, maka rebutlah peluang tersebut. Jangan fikirkan apa-apa balasan.

Kadang-kadang, kita terasa apabila orang yang kita bantu masih tidak berubah. Kehidupan mereka juga tidak pula menjadi lebih baik. Ada juga yang langsung tidak tahu berterima kasih. Kita menjadi kecewa kerana tidak dapat selesaikan masalah mereka.

Adakah jika kita bantu seseorang, apabila kehidupannya tidak berubah menjadi lebih baik, atau mereka langsung tidak berterima kasih kepada kita, kita tidak mendapat pahala? Pastinya tidak. Malah kita akan mendapat pahala yang berlipat ganda sekiranya bersabar dan mengambil iktibar daripada perkara tersebut. Kita tidak mampu mengubah nasib manusia kecuali mereka sendiri berusaha dan dengan izin ALLAH.

Maka, apabila kita menolong orang, kita tidak perlu meletakkan apa-apa pengharapan atau mengharapkan apa-apa balasan. Kita hanya cuba sebaik mungkin dan sehabis upaya untuk membantu. Selebihnya, kita serahkan kepada ALLAH. Mungkin suatu hari nanti apabila kita pula ditimpa musibah atau memerlukan bantuan, ada hamba ALLAH yang akan menolong kita.

Dalam berbuat kebaikan, yang penting, kita hanya mengharapkan reda ALLAH SWT semata-mata. Apabila kita melakukan sesuatu kebaikan, hati kita akan berasa tenang, ibadat kita pun terasa lebih khusyuk dan kita rasa sangat hampir dengan ALLAH. Malam pun dapat tidur dengan lena dan tenang.

Raja Shamri juga mengajak kita untuk bermuhasabah diri. Kita perlu tanya diri sendiri apakah yang kita kejar sebenarnya. Kita bukannya perlu kereta mewah tetapi kita hendak sampai ke destinasi dengan selamat. Kita bukannya perlu rumah besar tetapi kita perlukan kehidupan bahagia bersama keluarga walau cuma di rumah sewa.

Apa yang kita perlu ialah rezeki yang berkat, bukan sekadar naik pangkat. Kita mahukan kerjaya yang memberikan kita masa untuk beribadat dan ada ruang untuk bersedekah membantu orang miskin dan sebagainya. Kita juga bukan ingin bertemu jodoh semata-mata tetapi kita perlukan pasangan yang boleh membawa kita ke syurga ALLAH.

Jadilah manusia yang paling bermanfaat kepada orang lain. Jom jadi orang baik-baik.



* Johari Yap, Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?
  • MINGGU ini bermulanya penggal persekolahan bagi tahun 2018. Barangkali, ramai anak yang mengeluh kerana perlu kembali bersiap awal pagi untuk ke sekolah, setelah lama bercuti.
  • SAYA cukup tersentuh apabila diingatkan oleh seorang sahabat tentang murka manusia dan murka ALLAH.
  • TINDAKAN Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengisytiharkan Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu negara Israel telah menyebabkan ramai yang menyeru agar seluruh umat Islam di Malaysia memboikot barangan Amerika Syarikat dan Israel.
  • RAMAI yang teruja apabila mendengar berita mengenai sembilan kanak-kanak Tionghoa yang menyertai program Khatan Perdana di Pejabat Pilihan Raya BN, Dun Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan. Program tersebut disertai seramai 80 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.