MASYARAKAT kita sudah terbiasa dengan pemi-kiran bahawa pelajar perlu belajar rajin-rajin, masuk universiti, dapatkan segulung ijazah dan apabila selesai pengajian, dapat kerja yang baik-baik.

Jika lulusan universiti tidak bekerja makan gaji tetapi memilih untuk berniaga nasi lemak contohnya, biasanya akan mengundang persoalan atau dipandang sinis oleh masyarakat umum.

“Belajar tinggi-tinggi, akhirnya berniaga nasi lemak je.”

“Buat apa belajar tinggi-tinggi jika sekadar nak jadi suri rumah?”

Begitulah antara kata-kata yang mungkin lazim kita dengar. Laporan akhbar 2017 menunjukkan bahawa daripada 238,187 siswazah yang menamatkan pengajian di universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta, seramai 54,103 siswazah masih menganggur dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.

Kursus-kursus yang membabitkan kadar pengangguran paling tinggi ialah pengurusan perniagaan, sains gunaan, pengu-rusan sumber manusia, perakaunan, sastera dan sains sosial.

Justeru, banyak peluang dan program usahawan diadakan di peringkat universiti untuk mem-bantu dan memberi panduan kepada graduan agar dapat menjadi 'pencipta pekerjaan' selepas tamat pengajian bukannya hanya berharap untuk jadi pemakan gaji.

Antara universiti yang saya lihat berjaya dalam program sebegini ialah Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Terdapat pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di kampus UMK di Pengkalan Chepa. Ia bagi memudahkan pelajar menubuhkan perniagaan walaupun belum tamat pengajian.

Program keusahawanan yang diadakan bertujuan memastikan budaya usahawan itu wujud dalam kalangan siswa dan siswi supaya mereka mempunyai nilai kreativiti dan inovasi yang tinggi selain mempunyai sifat berani meneroka.

Antara yang mendapat manfaat daripada usaha ini ialah sahabat saya, Hafiz Hiew, yang merupakan graduan ijazah sarjana muda perniagaan dan MBA dari UMK.

Bermula dengan perniagaan cenderamata di Bachok, Hafiz mengorak langkah lebih jauh dengan menubuhkan syarikat Tunas Duta Cemerlang Sdn Bhd (TDC) yang memasarkan produk susu kolostrum dan kalsium, C2Joy yang telah mendapat sambutan hangat.

Ketua Pegawai Eksekutif TDC yang baru berumur 31 tahun ini mencipta peluang pekerjaan bagi mereka yang ingin mendapat pendapatan lumayan melalui penjualan produk tersebut.

Lapan daripada keseluruhan pekerja TDC berkelulusan sarjana muda.

Berbalik kepada nasi lemak, siapa yang tidak suka nasi lemak, bukan? Nasi lemak ialah makanan tradisi Melayu yang bukan sahaja digemari orang Melayu tetapi turut menjadi kegemaran kaum lain di Malaysia, tidak kurang juga orang asing.

Nasi lemak sudah sebati dengan masyarakat Malaysia; ia bukan sahaja dimakan pada waktu sarapan tetapi juga untuk makan tengah hari mahupun makan malam.

Antara kedai nasi lemak kege-maran saya ialah kedai Nasi Lemak Kopi O yang terletak bersebelahan Hopsital USM di Kubang Kerian, Kelantan. Kedai tersebut turut dikunjungi pelanggan Cina dan India.

Sememangnya resipi khas Meor Nazir, pemilik kedai tersebut, menepati cita rasa pelbagai kaum. Walaupun tidak kaya raya, Meor mempunyai kelapangan untuk mendirikan solat lima waktu di masjid serta belajar membaca al- Quran.

Bagi Meor, dengan menjadi usahawan, beliau boleh mengatur masa sendiri dan beliau menggu-nakan kesempatan ini untuk beribadat. Perkara ini mungkin agak sukar untuk mereka yang makan gaji kecuali setelah pencen atau berhenti kerja.

Ada juga peniaga yang kreatif, mempromosikan 'Nasi Lemak Spiderman' dengan menggunakan kostum Spiderman sambil menjual nasi lemak secara jualan but kereta di sekitar Kota Bharu.

Usahawan muda yang berusia 30 tahun itu, Zawawi Ghazali, mampu menjual sehingga 500 bekas nasi lemak yang berharga RM2 sebekas itu, sehari.

Zawawi membeli kostum Spiderman dari negara China pada harga RM500 melalui internet. Gimik tersebut berjaya menaikkan jualan nasi lemak beliau sebanyak lima kali ganda.

Kita juga pernah mendengar tentang perniagaan 'Nasi Lemak Anak Dara' yang diusahakan oleh Siti Hajjar Ahmad, pemilik Ijazah Kejuruteraan Elektronik Perubatan dari Universiti Tun Hussein Onn.

Menurut beliau, nasi lemak yang dijual pada harga RM1.50 bagi nasi lemak biasa dan RM3.50 untuk nasi lemak ayam berempah memberikan pendapatan yang lebih tinggi berbanding gaji asas jurutera sebanyak RM2,000 sebulan.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, semoga lebih ramai graduan mampu menjadi usahawan agar tidak perlu ber-gantung pada kerja makan gaji.