BAGI ibu bapa yang ingin melihat anak cemerlang dalam sukan, mereka akan menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Jika ingin cemerlang dalam akademik pula, ada banyak pilihan sekolah berasrama penuh (SBP) mahupun sekolah harian yang hebat-hebat. Begitu juga terdapat sekolah tahfiz yang diwujudkan untuk melahirkan insan-insan huffaz.

Bagaimana pula untuk mendapatkan tempat yang dapat mendidik anak-anak menjadi seorang pemimpin, serta mempunyai kehebatan yang seimbang dalam bidang sukan, akademik dan juga sahsiah?

MTD yang ditubuhkan pada 3 Julai 1952 tidak seperti SBP yang lain. Satu-satunya sekolah di bawah Kementerian Pertahanan, dengan moto “Rumah kepada pemimpin masa hadapan”, MTD telah berjaya melahirkan ramai golongan pemimpin sama ada dalam bidang ketenteraan, pengurusan mahupun ekonomi.

Di samping akademik, para pelajar MTD mendapat latihan ketenteraan dan diterapkan dengan nilai-nilai kerohanian demi pembentukan sahsiah yang baik. Penulis berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Ghazali di MTD baru-baru ini.

Menariknya, khutbah Jumaat disampaikan sendiri oleh wakil pelajar. Mereka diberi peluang bukan sahaja sebagai pemegang pangkat untuk menguruskan sendiri perjalanan setiap aktiviti dan program maktab tetapi juga sebagai pemimpin kerohanian.

Pelajar-pelajar bukan Islam juga diterapkan dengan nilai-nilai kerohanian mengikut kepercayaan mereka. Tepat jam 7 petang, sebuah trak tentera 3 tan akan tiba untuk membawa pelajar-pelajar beragama Hindu ke kuil.

Pelajar beragama Buddha dan Kristian pula dibawa ke kuil Buddha dan gereja setiap pagi Ahad. Pendek kata, Rukun Negara yang pertama, iaitu “Kepercayaan kepada Tuhan”, amat dititikberatkan di MTD.

Tidak guna jika kita hanya hebat dalam bidang ekonomi jika lemah iman. Kebijaksanaan tanpa kekuatan spiritual akan membuka ruang ke arah pelbagai jenayah termasuk jenayah kolar putih akibat tiada perasaan takut kepada Tuhan.

Seorang kolonel bersara, yang juga dikenali sebagai Kolonel Jihad, Abdul Manaf Kasmuri, pernah menceritakan mengenai latihan ketenteraan pasukan Malaysia dan Turki pada tahun 1993 sebagai persiapan untuk bertugas di Bosnia di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ketika itu, Turki amat mendukung sekularisme hingga ke tahap melarang anggota-anggota tenteranya solat lima waktu, solat Jumaat dan berpuasa ketika bertugas pada Ramadan.

Ketibaan tentera Malaysia telah membuka sedikit sebanyak mata dan minda mereka dalam mengadun aspek-aspek kerohanian dalam aktiviti-aktiviti ketenteraan. Pasukan tentera Turki teruja apabila anggota tentera Malaysia diberi masa dan ruang untuk melakukan kewajipan beragama dan latihan ketenteraan yang dijalankan menepati kehendak waktu solat harian dan solat Jumaat.

Kita juga biasa mendengar dan melihat bagaimana pelajar cemerlang, yang hebat dalam akademik, menghadapi tekanan setelah memulakan alam pekerjaan. Mereka stres kerana tidak mampu menghadapi tekanan kerja; kekurangan masa sedangkan kerja banyak dan bertimbun ditambah pula dengan pelbagai kerenah manusia.

Tetapi di MTD, pelajar telah didedahkan dengan tekanan. Bukan seperti SBP lain yang mungkin sebahagian besar masa mereka dihabiskan untuk menelaah serta melakukan latihan untuk peperiksaan, pelajar-pelajar MTD perlu menjalani latihan ketenteraan serta latihan fizikal yang memenatkan badan dan minda di samping pembelajaran seperti biasa. Ini mengajar mereka menguruskan masa dengan baik.

Pendek kata, lulusan MTD bukan sahaja dididik dengan ilmu akademik dan ilmu ketenteraan, mereka juga dilatih dengan ilmu untuk menguruskan masa dengan baik, di samping tidak melupakan tuntutan keagamaan sebagai seorang pemimpin yang beriman.

Tidak kiralah di mana sahaja seorang pelajar menuntut ilmu, hidup beragama mesti ditekankan agar dapat menjadi seorang manusia yang kenal antara baik dan buruk, pahala dan dosa, agar mampu hidup dengan memberi kebaikan dan manfaat kepada orang lain, bukannya menjadi beban.

Kerana akhirnya tidak kiralah siapa kita, lelaki atau perempuan, apa jua status, kita adalah pemimpin kepada diri sendiri dan seseorang atau orang lain dan kita akan dipersoalkan atas apa sahaja yang kita telah lakukan di dunia yang sementara ini.

Lebih ramai yang di bawah pimpinan kita, lebih besar dan beratlah tanggungjawab kita. Maka, buatlah persediaan yang sebaiknya. Jadilah pemimpin yang beriman.

*Penulis pengerusi MACMA Kelantan dan AJK Perkim Kelantan