ISLAM ialah agama rahmatan lil ‘alamin yang bererti rahmat dan kesejahteraan bagi seluruh alam. Ia memberi penyelesaian kepada segala permasalahan dan persoalan.

Firman ALLAH dalam Surah al-Anbiya ayat 107 yang bermaksud, “Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”.

Antara rahmat dalam Islam ialah manusia sebagai khalifah yang memakmurkan bumi. Dengan menurut ajaran Islam yang benar, manusia akan menjadi bijaksana dalam mentadbir bumi, memanfaatkan bumi dan menjadi pemimpin atas bumi bagi segala isi dan juga penghuninya.

Islam memberikan petunjuk untuk membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, sedangkan manusia sering tidak mengetahuinya.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Sebagai agama yang komprehensif, Islam membolehkan kita mengatur segala permasalahan kehidupan. Tidak ada agama yang terperinci dalam memberikan panduan kehidupan kepada penganutnya kecuali Islam. Ini termasuklah pengurusan harta warisan atau harta peninggalan orang yang telah mati yang sepatutnya diagih-agihkan di kalangan mereka yang berhak.

Hak-hak tersebut telah pun ditentukan oleh ALLAH SWT secara khusus dan terperinci di dalam al-Quran dan diistilahkan dengan nama hukum faraid.

Jika dikaji dan diteliti panduan-panduan yang diberikan melalui al-Quran, ternyata Islam mengutamakan keadilan demi kesejahteraan umat manusia. Inilah juga ajaran yang dibawa dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW serta para khalifah sehingga terbukti dan jelas kebenaran Islam sebagai rahmat bagi semesta alam.

Inilah yang cuba dicontohi dan dipraktikkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dalam kes kematian seorang saudara baharu dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Dalam kes terbabit, oleh kerana Allahyarham Muhammad Lee berhijrah dari negeri lain dan memeluk agama Islam di Kelantan, tidak ramai yang mengenali ahli keluarga asalnya, maka harta beliau yang berupa kenderaan serta barangan peribadi berserta wang tunai hasil perniagaan restoran nasi ayam di Kota Bharu telah diuruskan oleh Amanah Raya Berhad. Kemudiannya, harta Allahyarham telah diserahkan kepada Baitumal.

Menurut Ustaz Ridhwan Abdul Rahman yang ketika itu berjawatan pemangku Ketua Pegawai Agama Maik dan yang telah mengimamkan solat jenazah Allahyarham Muhammad Lee di bilik mayat USM, pihak Maik telah berusaha sedaya upaya mencari waris Allahyarham Muhammad Lee yang belum Islam, yang sebelum itu tinggal di Bahau, Negeri Sembilan dan kemudiannya telah berhijrah ke Selangor. Mereka akhirnya berjaya menjejaki keluarga Allahyarham dengan bantuan beberapa pihak.

Menurut pandangan ulama Mazhab Syafie, orang Islam tidak boleh mewarisi harta pusaka orang yang bukan beragama Islam, begitu juga sebaliknya. Pembahagian harta pusaka orang bukan Islam pula tertakluk kepada Akta Pembahagian (Pindaan) 1997 -Akta A1004 dan Akta Wasiat 1959.

Walau bagaimanapun, atas dasar Islam sebagai agama rahmatan lil ‘alamin, pihak Maik telah menisbahkannya sebagai hadiah atau hibah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Lee yang belum Islam.

Majlis penyerahan hibah telah diadakan di pejabat Maik di Kompleks Islam Lundang, Kota Bharu. Ia dihadiri dua orang anak lelaki Allahyarham dan juga penulis. Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, turut hadir pada majlis tersebut.

Pihak Maik, dengan ditemani penulis dan beberapa orang pegawai Maik, juga telah membawa kedua-dua anak Allahyarham ke tanah perkuburan Islam tempat Allahyarham disemadikan.

Anak-anak Allahyarham amat terharu dengan layanan yang begitu baik dan mesra yang diberikan oleh pihak Maik terhadap mereka, walaupun mereka bukan Islam. Begitulah akhlak Islam sebenar.

“ALLAH tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Indahnya Islam sekiranya dihayati dan diamalkan dengan sepenuhnya; sungguh, ia membawa rahmat untuk sekalian alam.

*Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan