PADA penghujung 2016, seorang anak muda Melayu yang umurnya belum mencecah 30 tahun, telah berjaya melancarkan jenama kasut Hilman Authentic.

Jenama tersebut mendapat sambutan luar biasa; dengan memanfaatkan rekaan teknologi yang kreatif, hampir 1,500 pasang kasut telah ditempah dalam masa tiga bulan sejak penampilan pertama Hilman Authentic dalam industri fesyen.

Setelah hanya beberapa bulan dilancarkan, jenama Hilman Authentic telah berjaya menembusi pasaran Singapura dan Indonesia.

Apa yang hebatnya jenama Hilman Authentic ini? Yang membezakan kasut jenama ini dengan kasut lain adalah selain mengambil kira unsur fesyen, ia membantu menyelesaikan masalah pengguna yang kurang ketinggian untuk tampak lebih tinggi.

Pengguna kasut ini mampu meningkatkan ketinggian sebanyak 7 cm. Ia menggunakan insole increaser yang bermutu tinggi bagi memastikan keselesaan maksimum kepada pengguna.

Menariknya, kasut ini nampak sama seperti kasut lain.

Kini, anak muda yang bernama Muhammad Noor Hilman ini telah melancarkan inovasi terbaharunya yang dinamakan Full Kevlar Tactical Boots. Beliau mengambil masa setahun untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan kasut tersebut dan lebih 10 sampel telah dihasilkan.

Foto: Iqqi Vr

Kasut taktikal ini merupakan rekaan Hilman Authentic yang terbaik setakat ini. Ciri-ciri yang direka mendahului semua jenama besar di pasaran dunia.

Apakah ciri-ciri tersebut? Pertama, kasut taktikal ini dilapisi dengan fabrik kevlar untuk ketahanan paling maksimum.

Mungkin ramai yang belum mengetahui apa itu kevlar? Kevlar adalah sejenis fiber sintetik para-aramid (sejenis plastik) yang mempunyai ketahanan yang amat tinggi dan digunakan sebagai bahan untuk jaket kalis peluru.

Ia dikatakan lima kali lebih kukuh daripada besi jika diuji dengan berat yang sama. Menurut Hilman, rekaan ini bakal merubah dunia fesyen kasut. 

Kasut taktikal Hilman Authentic merupakan yang pertama di dunia dilindungi 100 peratus lapisan kevlar kerana sebelum ini cuma tapak kasut sahaja yang dilindungi kevlar.

Selain itu, rekaan Hilman ini menggunakan smart locking system, di mana proses untuk melonggar atau mengetatkan kasut hanya dengan menggunakan satu butang. Ini cukup memudahkan pengguna.

Kasut tersebut juga menggunakan zip YKK yang 100 peratus kalis air. Kasut taktikal Hilman Authentic ini sememangnya mendahului mana-mana kasut taktikal yg pernah dihasilkan oleh jenama-jenama gergasi dunia.

Lebih menarik lagi, walaupun kasut taktikal tersebut 100 peratus kalis air, ia menggunakan teknologi breathable waterproof, teknologi terkini yang membolehkan pengudaraan keluar masuk untuk keselesaan kaki pengguna.

Ini amat sesuai dengan keadaan cuaca di negara tropika seperti Malaysia. Kasut ini sesuai untuk mereka yang meminati aktiviti lasak mahupun aktiviti santai.

Rekaan ini benar-benar unik; dicipta dengan ketahanan yang maksimum namun tetap mengutamakan keselesaan pengguna. Bayangkan anak tempatan menghasilkan sesuatu yang mampu mengubah arus rekaan kasut taktikal dunia.

Saya cukup tertarik dengan usaha dan semangat Hilman yang merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja ini. Projek ini memerlukan modal yang agak besar.

Dengan izin ALLAH, beliau berjaya mempersembahkan idea beliau untuk pendanaan ramai di Kickstarter, sebuah perbadanan yang berpangkalan di Brooklyn, New York, yang menyediakan platform bagi komuniti antarabangsa untuk merealisasikan impian mereka.

Ia disokong oleh lebih 10 juta pemberi dana dari seluruh dunia. Hilman merupakan usahawan Bumiputera pertama yang berjaya meletakkan dirinya di Kickstarter.

Tanpa ragu dan gentar, Hilman malah yakin bahawa dengan cara ini beliau bukan sahaja boleh mendapat pendanaan ramai untuk merealisasikan impiannya, tetapi ia juga merupakan satu pendedahan untuk jenama kasut Hilman Authentic kepada lebih 10 juta masyarakat dunia, satu potensi pasaran yang sememangnya besar. Saya percaya Hilman mampu pergi lebih jauh lagi.

Saya juga berpendapat bahawa agensi-agensi kerajaan seperti ATM, PDRM, JPJ, Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan lain-lain, juga harus memberi peluang kepada anak muda ini dengan menjadikan kasut taktikal rekaannya sebagai sebahagian daripada pakaian seragam rasmi mereka.

Sokongan terhadap bakat dan perniagaan tempatan amat penting dan diharapkan akan menjadi pembakar semangat bagi mereka untuk terus berkarya dan menyumbang kepada semua sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

* Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan