BILA disebut adiwira, ramai yang akan terbayang watak-watak fiksyen dengan kostum berwarna serta kebolehan luar biasa, keberanian dan “kemuliaan” masing-masing. Ramai juga yang mempunyai adiwira kegemaran.

Kerjaya guru juga amatlah mulia. Apa tidaknya. Profesion perguruan adalah kerjaya yang sangat mencabar kerana sekiranya mendidik anak sendiri pun sudah mencabar, apatah lagi ratusan atau ribuan anak-anak yang datang dari pelbagai latar belakang yang mungkin juga berbeza kaum dan sudah pasti berbeza dari semua segi lainnya.

Jika kerjaya lain meletakkan seseorang di dalam bilik yang selesa dan berhawa dingin, seorang guru pula biasanya ditempatkan di dalam bilik darjah yang tiada penyaman udara, panas dan tidak selesa. Jika tersilap tegur anak murid pula, ada kemungkinan dicederakan, ada yang keretanya dicalarkan dan ada juga yang diugut.

Walaupun cabaran guru semakin besar dengan tugas yang tidak terhad kepada mengajar atau mendidik, tetapi termasuk tugas-tugas perkeranian, pentadbiran, dan sebagainya, di samping tekanan-tekanan dari ibu bapa dan masyarakat, masih ada guru yang bukan sahaja bersungguh-sungguh mengajar tetapi benar-benar ingin melahirkan pelajar yang berketerampilan dalam semua aspek termasuk rohani dan jasmani.

Mungkin kita tidak nampak atau tidak sedar kemuliaan hati adiwira yang tidak didendang ini. Menurut pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian (SMKKK), Tuan Haji Raub Tengah, beliau bangga mempunyai guru-guru yang sangat cakna dengan kebajikan pelajar-pelajar sekolah.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Mohd Nazri Muhamad dan guru-guru lain, begitu mengambil berat terhadap 143 pelajar kategori miskin tegar di sekolah tersebut.

Mereka diberi makan percuma di kantin sekolah dan diberikan kelengkapan sekolah percuma. Bagi yang tidak mampu membayar yuran, mereka diberikan kelonggaran untuk membayar sekadar mampu, walaupun hanya RM10. Selebihnya dibayar melalui duit kutipan bulanan dalam kalangan guru-guru.

Jika sekolah mengadakan lawatan ke luar, sungguhpun gaji tidak besar, guru-guru juga akan mengutip duit sesama mereka, semata-mata untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang tidak bernasib baik untuk merasai pengalaman menyertai lawatan bersama rakan-rakan yang lain. Hasil daripada keprihatinan guru-guru di SMKKK juga, salah seorang pelajar terbaik SPM tahun lepas adalah daripada kelompok yang kurang bernasib baik ini.

SMKKK merupakan sebuah sekolah di pinggir bandar Kota Bharu yang mempunyai 1,200 pelajar dari tingkatan 1 hingga pra universiti. Seperti sekolah-sekolah lain, SMKKK mempunyai pelbagai jenis pelajar; ada yang cemerlang, ada yang mempunyai sakit kronik dan selalu cuti sakit, ada yang samseng, ada yang terlalu nakal dan selalu merosakkan harta benda sekolah, dan ada juga yang miskin dan tidak mampu untuk ke sekolah.

Mungkin pembaca masih ingat pelajar cemerlang SPM 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal yang mendapat 20A (19A1 dan 1A). Beliau merupakan anak seorang nelayan dan tinggal bersama keluarga di sebuah rumah sewa dua bilik yang agak sempit dan daif dengan bayaran RM90 sebulan di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Kehidupan Nik Nur Madihah sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Nik Nur Madihah mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis sejak berumur 12 tahun lagi. Beliau hanya membawa wang poket tidak sampai RM1 malah, kadang-kadang tiada wang langsung. Beliau hanya makan roti atau bekal nasi goreng ke sekolah.

Beliau yang bersekolah di Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) tidak mendapat bantuan daripada mana-mana agensi tetapi guru-guru prihatinlah yang telah mengumpulkan wang sesama sendiri untuk diberikan kepada beliau sebanyak RM200 sebulan melalui Cikgu Mohd Razali Konok.

Ayah Nik Nur Madihah tidak mampu untuk menghantar beliau ke pusat tuisyen di luar sekolah untuk lapan mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah. Sekali lagi, guru-guru di sekolah tersebut membantu dengan mengadakan kelas tambahan setiap hujung minggu untuk mengajar beliau dan rakan-rakan lain.

Sesungguhnya, walaupun ada yang memandang serong terhadap guru-guru terutamanya pada masa kini, mungkin juga atas kesilapan sebilangan kecil daripada mereka yang bergelar guru, hakikatnya masih ramai guru adiwira di luar sana yang harus kita hormati.

* Penulis Oengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan