ADA orang mengatakan bahawa tiada benda yang percuma di dalam dunia ini. Jika ada yang mengatakan bahawa kita boleh mengambil atau mendapat sesuatu tanpa perlu membayar walau satu sen, adakah ia masuk akal?

Ya, mungkin kedengaran seperti tidak logik tetapi itulah konsep FreeMarket yang diperkenalkan oleh dua bersahabat, Ahamad Emran dan Syed Azmi Alhabshi.

FreeMarket yang pertama telah diadakan pada Julai 2013 di [email protected], Shah Alam. Ia merupakan satu eksperimen untuk melihat sama ada konsep tersebut akan berjaya.

Selain membantu mereka yang memerlukan, konsep FreeMarket juga bertujuan mendidik masyarakat agar mempunyai sikap dermawan dan bersedia untuk menyumbang apa sahaja yang mereka ada, sama ada barangan, tenaga, kepakaran dan sebagainya.

Dalam FreeMarket, setiap penyumbang perlu hadir, mempamerkan barangan yang disumbang dan berkomunikasi dengan mereka yang menerima barangan. Jika ada lebihan, mereka perlu membawa barangan itu pulang.

Ini untuk mengelak daripada lambakan barangan yang tidak dikehendaki atau diperlukan yang akhirnya menjadi sampah.

Secara tidak langsung, ia untuk memastikan penyumbang hanya akan membawa barangan yang masih elok sahaja, iaitu yang masih bernilai pada mata mereka yang bakal menerima.

Syed Azmi ingin melihat lebih ramai ahli masyarakat bersikap budiman dan gemar bersedekah. Setiap wang ringgit dan barangan yang kita miliki ialah harta dunia yang hakikatnya bukan milik kita pun.

Bayangkan ada gelandangan yang mendapat baju atau seluar berjenama, pelajar mendapat barangan atau makanan percuma, orang miskin mendapat barangan dapur dan makan percuma; semuanya sedikit sebanyak membantu mereka.

Selepas kejayaan FreeMarket pertama di Shah Alam, FreeMarket kedua telah diadakan di Taman Tun Dr Ismail pada Februari 2014 dan melibatkan pasukan yang lebih besar iaitu Ahamad Emran, Fadly Daud, Hafiz Kamal, Hayati Ismail, Sarah Lee, Syarifah Athirah Al Tirmidhi dan Syed Azmi Alhabshi.

Sejak itu, mereka telah berjaya menganjurkan lebih 60 FreeMarket dengan melibatkan lebih 30 acara komuniti.

FreeMarket terbesar telah diadakan di Putrajaya pada 17 Januari 2016, anjuran Azmin Ishak dan rakan-rakannya.

Acara bermula pada jam 9 pagi, melibatkan 120 gerai dan lebih 2,000 peserta. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut membuka gerai dan menawarkan sebanyak 708 kg sayur secara percuma.

Idea asal FreeMarket adalah untuk memberikan barangan terpakai secara percuma tetapi ramai juga yang mengeluarkan wang untuk membeli dan memberi barangan secara percuma kepada yang hadir.

Kini, sekumpulan anak muda dari Perkim Wakaf Bharu dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kelantan, dengan kerjasama Macma

Kelantan dan Pusat Informasi dan Dakwah Islam Antarabangsa (IIDAC), menggunakan konsep yang sama dengan mengadakan FreeMarket di pekarangan pejabat IIDAC, Kota Bharu, sepanjang Ramadan, bermula 2 Ramadan.

Sekiranya mendapat sambutan yang baik, ia akan diteruskan sepanjang tahun.

Daripada pengalaman dan pengamatan pada hari pertama penganjuran FreeMarket tersebut, sukarelawan mendapati golongan asnaf di Kota Bharu masih mempunyai masalah sikap.

Walaupun telah diberi taklimat untuk mengambil barangan yang perlu sahaja, masih ada yang tamak dan mengambil lebih daripada yang sepatutnya. Ada yang mengambil beberapa kali sehinggakan orang di belakang pulang dengan tangan kosong.

Sedih pun ada melihat sikap sebegini. Betullah falsafah yang mengatakan sikap itu penting; dalam bahasa Inggerisnya, attitude matters.

Yang lebih menyedihkan lagi, mereka yang tidak mendapat apa-apa memarahi pula sukarelawan yang bukan sahaja menyumbangkan masa tetapi wang ringgit untuk membeli makanan kering dan barangan dapur seperti minyak masak, roti, sardin, biskut, seri kaya, dan sebagainya.

Nasi bungkus untuk berbuka puasa pun semuanya habis hinggakan sukarelawan membeli makanan tambahan agar mereka yang belum mendapat apa-apa tidak pulang dengan tangan kosong.

Semoga semua yang terlibat dalam usaha murni ini tetap tabah dan cekal untuk menghadirkan diri setiap hari dari jam empat hingga enam petang untuk memberikan makanan dan barangan dapur secara percuma kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Sesungguhnya ganjaran besar telah dijanjikan bagi mereka yang melakukannya dengan ikhlas pada Ramadan yang mulia ini.