KARYA telefilem Pok Ya Cong Codei masih hangat dibica-rakan di media sosial sejak ditayangkan pada penghujung Januari yang lalu.

Ia mengisahkan seorang gengster tua bernama Pok Ya yang diminta oleh Datuk Sahak, sahabat lamanya yang merupakan seorang peguam kaya berasal dari Pasir Mas, untuk mencari anaknya yang hilang dan dipercayai telah diculik.

Perkataan Cong Codei yang menjadi tular ini merujuk kepada hotel Concorde, yang merupakan kata nama dalam bahasa Inggeris, tetapi tidak disebut dengan betul.

Pok Ya begitu yakin dengan sebutan nama Cong Codei mengikut pemahamannya. Ini satu kebiasaan dalam masyarakat kita yang menyebut sesuatu nama atau istilah dengan penuh yakin walaupun mungkin tidak betul atau tepat.

Pok Ya digambarkan sebagai seorang gengster tua yang memiliki aura kehebatan yang tersendiri seperti berani, jujur, berprinsip, mempunyai rakan-rakan yang setia serta sering menepati janji.

Yang menarik dalam telefilem tersebut ialah watak-watak yang diwujudkan memiliki nilai-nilai kemanusiaan yang sebenar, dengan maksud hitam tak semuanya hitam dan putih tak semuanya putih.

Pok Ya yang kelihatan seperti samseng dan jahat, mempunyai hati yang mulia. Manakala Datuk Sahak seorang peguam yang kaya dan berpengaruh tetapi mempunyai hati yang hitam.

Mesej yang cuba disampaikan adalah jangan menilai seseorang daripada luarannya sahaja. Ma-langnya, inilah kebiasaan dalam kehidupan kita.

Masyarakat sering melihat pada luaran sahaja dan teramat cepat serta mudah menilai seseorang tanpa berfikir dan menyelidik terlebih dahulu.

Bak kata pepatah, jangan menilai buku berdasarkan kulitnya. Sebaliknya, kita perlu membaca buku tersebut dengan teliti untuk mengetahui dan memahami isi kandungannya

. Malah, acap kali juga kita tidak mampu untuk memahami tanpa membuat rujukan atau pertanyaan lanjut kepada sumber atau pihak yang lebih arif. Nah! Begitu juga dalam hidup.

Walaupun Pok Ya seorang 'gedebe', dia tidak sama sekali makan duit haram.

Bukan itu sahaja, duit sebanyak RM40,000 sebagai upah membawa balik Aina, anak Datuk Sahak yang hilang, disedekahkan kesemuanya kepada Rasydan untuk mengubati ibunya yang mempunyai masalah jantung.

Bahkan, duit tambahan sebanyak RM10,000 juga diserahkan kesemuanya kepada anak-anak buahnya yang membantunya mencari Aina.

Dalam satu babak Pok Ya digambarkan memberi RM100 kepada bekas gengster yang pernah dimusuhinya dan kini buta. Mesej dakwah yang cuba disampaikan adalah, kita semua perlu mengamalkan sedekah, tidak kira sedikit atau banyak.

Walaupun Pok Ya merupakan watak rekaan namun sifat-sifatnya adalah berdasarkan watak-watak sebenar. Di sebalik sifatnya yang gedebe dan tidak boleh ditegur, Pok Ya mempunyai hati yang baik, bijak dan pandai menyelesaikan masalah. Ini menyebabkan ramai orang menghormatinya.

Antara mesej penting yang cuba disampaikan oleh Pok Ya adalah, sehebat mana pun kita, gedebe macam mana sekalipun semasa muda, ia akan hilang apabila sudah tua.

Sewaktu kita kuat dan berada di atas, mungkin kita akan disanjung ramai tetapi apabila kita sudah lemah dan tua, adakah kita masih tetap disanjung? Adakah gelaran gedebe atau Datuk atau apa sekalipun akan dibawa sampai mati?

Mungkin ada antara kita yang bercita-cita tinggi dalam politik, untuk satu hari nanti menjadi pembesar negeri atau negara. Apa sekalipun, kita harus ingat bahawa hidup ini umpama roda. Tidak selamanya kita akan berada di atas. Satu hari nanti, pasti akan jatuh jua.

Hebat sungguh cara Pok Ya berdakwah dalam telefilem tersebut. Ketika babak Pok Ya berhadapan dengan Eah Chu, kawannya dari Siam yang telah mengkhianatinya, Pok Ya reda dan percaya pada takdir ALLAH.

Sememangnya kita sebagai hamba hendaklah meyakini bahawa semua yang berlaku dalam hidup ini, baik atau buruk, semuanya dalam pengetahuan dan kekuasaan ALLAH SWT.

Syabas kepada Sabri Yunus yang berjaya menyampaikan dakwah melalui telefilem Pok Ya Cong Codei.

Semoga mesej dakwah yang cuba disampaikan, difahami dan diterima baik segenap lapisan masyarakat dan semoga istiqamah berdakwah melalui seni. Mudah-mudahan menjadi asbab diberkati ALLAH SWT.