ALLAHYARHAM Abdul Rahman bin Othman, yang lebih terkenal dengan nama Tok Selehor, merupakan seorang ulama kelahiran Kelantan yang zuhud dan warak.

Beliau juga dikenali sebagai Tok Selehong dan merupakan sahabat kepada Tok Kenali yang juga berasal dari Kelantan. Beliau telah berguru dengan pelbagai ulama hebat, termasuk di Pattani selama 7 tahun dan di Makkah selama 18 tahun.

Sekembali dari Makkah, Tok Selehor telah membuka pengajian pondok di tepi Sungai Selehor. Pelajar-pelajar Tok Selehor bukan sahaja terdiri daripada anak tempatan tetapi ramai juga yang datang dari Pattani, Palembang, Jawa, Kemboja, Siak dan seluruh Tanah Melayu.

Ketokohan Tok Selehor yang sangat terserlah terutama di Kelantan dan juga dalam kalangan penduduk dari seberang menyebabkan beliau sangat disanjungi ramai. Setiap kali beliau mengadakan kuliah, ribuan para hadirin akan datang untuk menuntut ilmu. Malah, ada yang sanggup memanjat pokok untuk melihat Tok Selehor dengan lebih jelas.

Untuk mengelak daripada sifat riak dan takbur dengan sanjungan tersebut, Tok Selehor telah membina kubur sedalam 7 kaki. Beliau akan masuk ke dalam kubur tersebut untuk bersuluk. Ini dilakukan untuk mengasingkan diri dan mengingati mati dengan niat untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Bagi Tok Selehor, berada di dalam kubur buatannya itu akan membuatkan beliau lebih mengingati mati dengan membayangkan keadaan kubur yang sempit. Hal itu akan menginsafkan beliau agar terus ikhlas dalam beribadah. Biarpun perlu bergelap dan kepanasan, Tok Selehor sering meluangkan masa menyendiri di dalam kubur tersebut bagi mendekatkan diri kepada Pencipta.

Setinggi mana pun pangkat seseorang, sama ada seorang pembesar mahupun orang kaya yang mempunyai harta bertimbun di dunia ini, setiap manusia tidak dapat lari daripada mati.

Setiap kita akan ditempatkan di dalam tanah yang gelap, bersendirian, ditemani cacing dan hidupan tanah yang lain. Tok Selehor pernah menghabiskan masa sehingga 40 hari berturut-turut di dalam kubur buatannya itu tanpa menyalin pakaian atau bertemu sesiapa.

Setelah dibina lebih daripada 100 tahun yang lalu, kubur suluk Tok Selehor masih kukuh dan terpelihara hingga kini. Asalnya, kubur tersebut hanya berdindingkan tanah dan dibiar terbuka. Bagaimanapun, ia telah diubah suai dengan dibina bilik kecil di tapak kubur tersebut bagi mengelakkannya daripada tertimbus akibat runtuhan tanah.

Saya sendiri telah berkesempa-tan melawat kubur suluk Tok Sele-hor pada pertengahan 2017 bersama Pegawai Zakat Maik, Ustaz Ridhwan Abdul Rahman, dan Pengerusi Hidayah Centre Kelantan, Haji Mat Daud Deraman.

Saya juga mengambil kesempatan untuk baring di kubur tersebut. Ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan walaupun kami berada di situ hanya seketika. Walaupun ketika itu waktu siang, keadaan dalam kubur begitu gelap; bulu roma tetap meremang, apatah lagi terbayangkan kubur-kubur lain yang berdekatan.

Ketokohan, keilmuan dan kesederhanaan Tok Selehor turun kepada cicitnya, Senator Datuk Dr Asyraf  Wajdi Dusuki. Dr Asyraf Wajdi yang merupakan graduan terbaik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 2000 serta memiliki PhD dalam Perbankan dan Kewangan Islam (Universiti  Loughborough, UK) merupakan seorang pemimpin muda Islam yang berjiwa besar.

Beliau pernah diamanahkan sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 29 Julai 2015.

Inilah salah satu keistimewaan Dr Asyraf Wajdi; beliau lahir dalam keluarga yang tinggi ilmu agama. Dengan karismanya yang tersendiri, beliau juga merupakan Pengerusi Yayasan Darul Hanan, sebuah yayasan yang didaftarkan pada 1999 dan beralamat di Pondok Tok Selehor.

Yayasan ini bertujuan menjaga kebajikan orang tua yang tidak berwaris serta anak yatim. Dengan ketokohan yang ada padanya, saya berharap Dr Asyraf Wajdi diberi peluang untuk pergi lebih jauh lagi.

Dalam keadaan dunia yang semakin mencabar, yang semakin menghampiri akhir zaman, bertambah penting bagi kita semua untuk mencontohi tokoh seperti Tok Selehor yang sentiasa menyisihkan waktu untuk menyendiri dan mengingati mati. Hakikatnya juga, tidak kira orang biasa mahupun pemimpin, waktu yang berbaki bagi kita di dunia ini semakin sedikit.

***Johari Yap, Pengerusi Macma Kelantan & AJK Perkim Kelantan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BEBERAPA hari lagi masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Lunar yang juga dikenali sebagai Tahun Baharu Cina. Sebagaimana biasa, akan kedengaran ungkapan Gong Xi atau Gong Xi Fa Cai di sana sini.
  • MASYARAKAT kita sudah terbiasa dengan pemi-kiran bahawa pelajar perlu belajar rajin-rajin, masuk universiti, dapatkan segulung ijazah dan apabila selesai pengajian, dapat kerja yang baik-baik.
  • PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?
  • MINGGU ini bermulanya penggal persekolahan bagi tahun 2018. Barangkali, ramai anak yang mengeluh kerana perlu kembali bersiap awal pagi untuk ke sekolah, setelah lama bercuti.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.